Oleh GHAZALI ALIAS
SEJAK di usia remaja, Azri (bukan nama sebenar) sudah terbiasa dengan dunia barangan terpakai (bundle) memandangkan abangnya juga mempunyai minat yang sama.
Kadangkala dia dan abangnya akan bersama-sama pergi menyelam bundle untuk mencari pakaian berjenama tersembunyi atau dikenali sebagai jackpot.

Namun, menerusi minat itu juga, pemuda asal Johor itu pernah mengalami pengalaman yang sehingga hari ini membuatkan dia tidak berani membeli pakaian bundle sembarangan.
Berkongsi kisah itu, Azri memberitahu dia pernah pergi ke sebuah kedai bundle di Kuala Lumpur semasa dia dan rakan-rakan berkunjung pada hujung minggu di sana.

“Saya memang kerap ke Kuala Lumpur dan memang akan pergi kedai bundle untuk mencari jika ada sebarang jackpot pakaian.
“Kali ini, saya berkunjung ke sebuah kedai dan terjumpa satu jaket denim berjenama yang terletak di rak pakaian RM5,” katanya kepada CitaRasa.

Tambahnya, teruja dengan penemuan itu, dia tanpa berfikir panjang terus membelinya dan membawanya pulang ke Johor Bharu.
Sejak membawa jaket itu pulang, Azri yang tinggal bersama keluarga berasa ada sesuatu yang tidak kena berlaku.
Sepulangnya ke rumah, dia memberitahu anak buahnya yang masih bayi menangis seperti ternampak sesuatu.

Tetapi pada ketika itu dia merasakan hal itu biasa dan berfikir mungkin kerana lapar atau disakat anak buah lain.
Kemudian, selepas dia meletakkan beg ke dalam bilik, anak buahnya itu berhenti menangis.
Pada sebelah malamnya pula, sesuatu yang aneh juga berlaku apabila dia mula bermimpi sesuatu yang aneh.

Saya mula bermimpi sebuah insiden kemalangan ngeri dan ada sosok seorang lelaki penuh darah datang ke arah saya.
“Mimpi itu sangat ngeri tetapi apabila sosok itu sudah mendekat saya terus terjaga dari tidur,” ujarnya.

Kongsinya lagi, mimpi itu kerap berulang dalam beberapa hari, namun Azri tidak berkongsi kejadian itu kepada sesiapa dan hanya menanggap itu sekadar mimpi biasa.
Sehingga dia melihat ada sesuatu yang pelik berlaku apabila anak buahnya mula tidur berjalan dan berhenti di biliknya.

Lebih anehnya dia mula bercakap-cakap dan bertanya tentang rasa sakit dan ada ketikanya ketawa seolah berbicara dengan seseorang.
Tidak hanya itu, pernah suatu hari ketika melihat cermin di dalam bilik, dia melihat sosok lelaki penuh darah dibelakangnya dan menunjuk ke arah almari tempat dia menyimpan jaket denim tersebut.

Hal itu membuatkan dia berasa seram dan kemudian melaporkan hal itu kepada bapanya.
Dia menceritakan apa yang berlaku dan bapanya kemudian menjemput rakannya yang merupakan seorang pakar perubatan tradisional.

“Apabila saya menceritakan apa yang berlaku pada kawan ayah, dia memberitahu bahawa saya ada membawa barang kotor ke rumah.
“Mulanya saya pelik kerana tidak ada barang syirik atau kotor yang pernah saya miliki dan apabila dijelaskan katanya ada pakaian yang merupakan bekas orang mati,” kongsinya.

Apabila Azri berfikir tentang kejadian yang berlaku dan ia bermula sejak dia membawa pulang jaket denim itu, dia kemudian mengambilnya dan menunjukkan kepada kawan bapanya.
Selepas ditunjukkan pakaian itu, kawan bapanya menjelaskan memang benar pakaian itu adalah punca kejadian aneh yang berlaku.

Dia kemudian menyuruh Azri membakarnya dan sejak itu tiada lagi kejadian aneh yang dialami pemuda itu.
