MMToon

DITINDIH LEMBAGA HITAM KETIKA TIDUR

Oleh Admin Kisah Seram

Oleh RIZAM ZAKARIYA

PELBAGAI kisah seram dan mistik sering kita dengari dari semasa ke semasa, sama ada menerusi cerita lisan, mahupun penceritaan berbentuk audio, visual dan penulisan.

Sebahagian daripadanya, mungkin kelihatan seakan-akan benar terjadi, dan ada juga yang dilihat tidak lebih daripada sekadar sebuah cerita rekaan semata-mata.

Namun bagi Aishah (bukan nama sebenar), dia mempunyai sebab untuk mempercayai bahawa gangguan makhluk halus sememangnya wujud setelah dia sendiri berhadapan dengan situasi seram terbabit.

Memulakan cerita, Aishah yang kini berusia 35 tahun memberitahu, kejadian mistik tersebut berlaku kira-kira 10 tahun lalu ketika dia mula berpindah ke kuarters di sebuah kem tentera di negeri Pahang.

Jelasnya, disebabkan suaminya bertugas sebagai anggota tentera, dia tidak mempunyai pilihan selain terpaksa mengikuti suaminya yang dipindahkan ke tempat kerja baharu di kem tersebut.

“Ketika itu, suami saya masih berpangkat rendah dan disebabkan itu, kami tidak mampu untuk menyewa rumah melainkan terpaksa memilih kuarters anggota tenteta di dalam kem sebagai kediaman kami.

“Tambahan pula, saya baru sahaja melahirkan anak sulung yang ketika itu berusia lima bulan dan sudah pasti memerlukan perbelanjaan yang tinggi.

“Oleh itu, keputusan untuk tinggal di kuarters berbanding menyewa rumah di luar kem adalah bagi menjimatkan perbelanjaan bulanan kami,” katanya.

Cerita Aishah lagi, pada minggu pertama mendiami rumah tersebut yang terletak di tingkat lima pangsapuri berkenaan, dia sudah dapat merasakan kelainan apabila anaknya kerap menangis terutama pada waku malam.

Malah jelasnya, kedudukan pangsapuri tersebut yang terletak di hujung jalan dan bersebelahan kawasan hutan turut membuatkan keadaan di situ sedikit seram.

Jelas Aishah lagi, pada awalnya, dia berpandangan situasi anaknya yang kerap menangis pada waktu malam adalah disebabkan oleh cuaca panas yang berlaku ketika itu menyebabkan suhu di dalam rumah juga turut tinggi.

Bagaimanapun katanya, selepas pendingin hawa dipasang di bilik tidur utama, anaknya masih juga kerap menangis menyebabkan dia mengesyaki ada sesuatu yang tidak kena dengan rumah tersebut.

Sangkaan saya bahawa terdapat gangguan mahkluk halus di rumah berkenaan adalah benar apabila saya sendiri berhadapan dengan situasi seram tersebut.

“Pada satu malam, saya terjaga dari tidur kira-kira pukul 2 pagi dan berasa tubuh tidak dapat bergerak.

“Sebaik membuka mata, saya dapat melihat seakan-akan satu lembaga hitam bertubuh besar dan berbulu lebat sedang menindih badan saya.

‘Ketika itu, saya cuba menjerit dengan sekuat hati untuk mengejutkan suami yang sedang tidur di sebelah, tetapi jetitan saya tidak berhasil menyebabkan saya memejamkan mata dan membaca sebanyak mungkin ayat al-Quran,” katanya.

Ujar Aishah lagi, selepas kira-kira lima minit berlalu, dia mula merasakan tubuh badannya kembali dapat bergerak menyebabkan dia bingkas bangun dan menggerakkan suaminya.

Setelah menceritakan kejadian yang menimpa dirinya, suaminya telah menghubungi seorang ustaz yang bertugas di sebuah masjid berdekatan kem tentera tersebut untuk mendapatkan bantuan.

Menurut ustaz tersebut, lembaga hitam berkenaan sebelum ini dikesan mendiami sebuah pokok besar yang terletak bersebelahan pangsapuri tersebut.

Disebabkan terdapat penghuni lain pernah diganggu oleh lembaga berkenaan, maka pokok besar tersebut telah ditebang beberapa minggu sebelum Aishah mendaftar masuk untuk tinggal di pangsapuri itu.

Jelas ustaz itu lagi, berkemungkinan gangguan terbaru itu berlaku disebabkan oleh rasa tidak puas hati lembaga tersebut terhadap tindakan pengurusan kem menebang pokok yang menjadi tempat tinggalnya selama ini.

Tambahnya, setelah pelbagai usaha dilakukan termasuk ‘memindahkan’ makhluk halus tersebut ke tempat baru jauh di dalam kawasan hutan, akhirnya tiada lagi gangguan seperti itu berlaku terhadap penghuni pangsapuri tersebut termasuk dirinya.

Malah katanya, anaknya juga kembali dapat tidur dengan lena, menyebabkan perancangannya untuk berpindah ke kediaman lain dibatalkan.

Kata Aishah lagi, dia juga beruntung kerana setelah suaminya dinaikkan pangkat sebagai pegawai, mereka kemudiannya ditawarkan untuk berpindah ke kuarters baharu, sekali gus dapat menghindarkan diri dari kemungkinan berhadapan dengan gangguan lembaga hitam terbabit.

Kisah seram ini telah diterbitkan di akhbar Kosmo! Ahad. – Ilustrasi janaan AI

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

You may also like

MMToon dimiliki oleh Media Mulia Sdn. Bhd. yang memegang hak cipta dan menerbitkan akhbar Utusan Malaysia, Mingguan Malaysia, Kosmo! dan Kosmo!Ahad
Tidak dibenarkan menerbitkan semula dalam sebarang bentuk atau dengan apa-apa cara, termasuk fotokopi, rakaman, atau lain-lain kaedah elektronik atau mekanikal
tanpa kebenaran pihak MMToon dan Media Mulia Sdn Bhd.

Hak cipta terpelihara © 2026, MMTOON Media Mulia Sdn. Bhd. 201801030285 (1292311-H)
error: Content is protected !!