Oleh Roshihan Annuar Yub
“Ingat pesan aku, kita jangan tamak. Bila sudah dapat dalam seguni, nanti terus balik,” kata Zaril seraya memandang ke arah dua rakannya.
Manan dan Razak sekadar tersengih sambil menganggukkan kepala. Rasanya sudah acap kali Zaril ingatkan mereka tentang hal tersebut. Mereka faham Zaril lebih arif berkenaan selok-belok ‘projek’ yang ingin mereka jalankan malam ini kerana Zaril bukan sahaja dikategorikan ‘orang lama’ malah dianggap ‘sifu’ berdasarkan pengalamannya sebelum ini.
Setelah berbincang tentang lokasi perjumpaan malam nanti mereka akhirnya pulang ke rumah. Sepanjang jalan Manan dan Razak tersengih puas hati. Akhirnya tercapai juga hasrat mereka mengikut Zaril memikat burung wak-wak kerana sebelum ini Zaril sentiasa mengelak dan memberi pelbagai alasan kononnya takut mereka melanggar pantang larang.
Selesai solat Isyak mereka bertemu di warung Mak Semah. Segala kelengkapan sudah siap sedia dibawa, kini Manan dan Razak hanya perlu menunggu arahan daripada Zaril sahaja.

Okey, ingat pesan aku ni! Yang pertama jangan tamak, yang kedua jangan cakap besar dan yang ketiga kalau ada ‘benda-benda’ pelik yang kita nampak jangan tegur,” kata Zaril sambil menghidupkan enjin motosikalnya.”
Manan dan Razak mengangguk faham. Setelah memeriksa barang-barang yang dibawa mereka akhirnya memecut motosikal menuju ke arah baroh berhampiran hutan di Bukit Tunggal.
Setiba di lokasi mereka lantas mengeluarkan segulung jaring yang dilipat kemas dalam bakul motosikal. Setelah memacak kayu pancang, mereka terus memasang jaring merentangi batas besar berhampiran anak sungai di situ.
Hampir setengah jam juga mereka bertungkus lumus menyiapkannya, maklumlah sukar juga membuat kerja di dalam cuaca gelap.
Zaril berdiri bercekak pinggang di hadapan jaring yang terpasang kemas di hadapannya. Sesekali dia menolak-nolak jaring tersebut dengan jari untuk memastikan ia kuat dan kukuh. “Okey, sekarang ini jaring semua sudah siap pasang, sekejap lagi bolehlah kita mula,” kata Zaril memberi arahan.
Manan dan Razak mengangguk faham. Mereka melihat ke arah jaring yang terpasang kemas di hadapan. Ikut perkiraan panjangnya mungkin dalam 10 ke 15 meter. Tak sabar rasanya hendak mengutip burung wak-wak yang tersangkut di jaring nanti. Maklumlah, selama ini mereka hanya dengar cerita daripada mulut orang sahaja, tetapi kini pengalaman itu mereka yang lalui.

Semua sudah sedia? Kalau sudah, bolehlah kita mula,” kata Zaril sambil menjinjing sangkar kecil yang berisi seekor anak burung wak-wak.”
Zaril meletakkan sangkar tersebut berhampiran jaring yang dipasang sebelum bersembunyi di belukar berhampiran.
Dia kemudiannya meniup buluh kecil berukuran sejengkal panjangnya. Bunyi yang keluar daripada buluh tersebut amat merdu dan berlagu, tidak ubah seperti suara bunyi seekor burung wak-wak.
Zaril begitu asyik dengan tiupannya. Seekor burung wak-wak yang dijadikan ‘pemikat’ di sangkar berhampiran turut berbunyi seakan menyahut bunyi yang didengarnya ketika itu.
Tidak sampai beberapa minit, tiba-tiba terdengar bunyi hiruk-pikuk dari arah baroh di hadapan. Dalam samar cahaya bulan jelas kelihatan sekumpulan burung wak-wak bertempiaran lari menuju ke arah mereka.
Dan seperti yang diduga burung tersebut akhirnya tersangkut di jaring yang direntang. Riuh rendah bunyinya, Manan dan Razak terlopong tidak percaya dengan apa yang disaksikan ketika itu.
Hampir 15 minit Zaril kemudian barulah Zaril berhenti meniup buluh yang dibawanya. Dia lantas memberi isyarat kepada Manan dan Razak agar mengikutnya keluar .

Sudah, jom kita pergi kutip burung-burung tu, rasanya sudah banyak tu,” kata Zaril perlahan. Manan dan Razak perlahan-lahan menuruti rakannya itu. Namun tiba-tiba Manan terpaku apabila terdengar deruan kuat dari arah hutan di baroh.”
Dalam samar cahaya bulan jelas kelihatan sesuatu yang ganjil berada di sana, seperti satu sosok lembaga bertubuh besar datang menuju ke arah mereka.
Manan mengerutkan dahi seakan tidak percaya apa yang dilihatnya, terus dia menggamit Razak dan Zaril yang sedang asyik memungut burung di jaring.
“Cepat…cepat, mari sini,” jerit Manan. Zaril dan Razak berpandangan. “Cuba tengok itu?” Jerit Manan dengan cemas sambil menuding jari ke arah hutan di hadapan. Sebaik menoleh wajah mereka serta merta bertukar pucat lesi.
“Eh, apa benda tu?” Tanya Razak cemas. Jelas kelihatan satu sosok tegap berwarna hitam berjalan perlahan ke arah mereka.
Mereka bertiga terlopong tanpa sepatah kata. Masing-masing tidak berkelip memandang ke arah sosok yang menyeramkan itu.
Kicau dan ciap burung wak-wak yang tersangkut di jaring semakin bingit memecah kesunyian malam. Ingin rasanya Manan pergi untuk mengutip burung-burung tersebut dan masukkan ke dalam guni, namun bila memikirkan risiko yang bakal dihadapinya terus dia batalkan hasrat. Risau pula kalau lembaga tersebut menyedari keberadaannya di situ.

Sosok menakutkan itu semakin hampir dengan tempat persembunyian mereka. Sekali imbas ia tidak ubah seperti watak King Kong yang pernah popular di kaca TV dahulu, cuma bezanya dia tidak berbulu hanya bertubuh besar berwarna hitam pekat.”
Jantung mereka berdegup laju, tubuh pula sudah lenjun dibasahi peluh. Mereka hanya mampu berdoa agar sosok tersebut beredar dan tidak menyedari kehadiran mereka di situ.
Tiba-tiba makhluk tersebut berhenti di hadapan jaring yang dipasang sambil mendengus kuat sebelum menarik keluar beberapa ekor burung wak-wak yang tersangkut sebelum memakannya. Ketika itulah mereka dapat melihat dengan jelas wajah sosok tersebut. Matanya merah menyala dan giginya berceracak tajam seakan seperti seekor serigala yang lapar.
Mereka bertiga membatukan diri menahan nafas. Jantung masing-masing berdegup laju seakan tidak percaya dengan apa yang disaksikan ketika itu. Seekor demi seekor burung tersebut dimasukkan ke mulutnya. Jelas kelihatan titisan darah pekat meleleh keluar daripada mulutnya.
Tidak lama kemudian barulah sosok menakutkan itu beredar semula ke arah hutan di baroh, mereka bertiga lantas keluar dari persembunyian sambil menarik nafas lega.
“Jom kita balik. Bawa saja berapa yang kita dapat dalam guni itu,” kata Zaril cemas.
Manan dan Razak bergegas mengemaskan kelengkapan yang dibawa sebelum meninggalkan tempat tersebut.
“Beb, kau rasa makhluk apa yang kita nampak tadi?” Tanya Manan perlahan. Zaril tidak segera menjawab. Nampak wajahnya berkerut seakan mencari jawapan.
“Entahlah, mungkin penunggu hutan,” jawabnya bersahaja. Manan dan Razak berpandangan. Rasanya ini adalah kali pertama dan terakhir dia mengikut Zaril menangkap burung wak-wak.
Kalaulah dia tahu begini jadinya, taubat dia tidak akan pergi. Entah kenapa tiba-tiba badannya terasa panas dan berpeluh.
Kisah ini telah disiarkan diakhbar Mingguan Malaysia pada 26 Mei 2024. Imej janaan AI
