MMToon

PENAMPAKAN BAYI MERANGKAK DI LUAR HOSPITAL

Oleh Admin Kisah Seram

Oleh SAFINA RAMLI

MALAM itu, sekitar tahun 2005 Rose (bukan nama sebenar) yang merupakan seorang jururawat di Hospital Bersalin Pulau Pinang di George Town mengambil gilirannya bertugas shif malam. Rose yang telah bertugas di situ sejak lima tahun lalu sering mendengar pelbagai kisah seram dan misteri membabitkan hospital berkenaan.

Setiap kali bertugas pada waktu malam, pelbagai kisah seram yang pernah didengarinya bermain-main difikiran. Ada yang mendakwa pernah ternampak kelibat wanita berpakaian putih di tepi tangga, terdengar bayi menangis di wad yang kosong, malah ada yang terserempak dengan bayi yang merangkak di luar bangunan hospital.

Namun Rose bernasib baik kerana tidak pernah diganggu dengan apa juga entiti menyeramkan sepanjang bertugas di hospital yang dibina sejak zaman penjajahan British itu.

Sekitar pukul 11 malam, seperti biasa Rose bersiap sedia untuk melakukan rondaan dan memantau keadaan di wad bersalin serta memeriksa keadaan bayi yang baru bersalin.

Tiba-tiba telefon di kaunter petugas berdering, suara pemanggil yang kedengaran seperti rakan setugasnya, Haslinda meminta Rose untuk mengambil bayi yang baharu dilahirkan di wad bersalin di tingkat satu. Rose yang ketika itu berada di tingkat dua tanpa berlengah lagi terus turun ke tingkat satu menuju ke wad seperti yang diminta rakannya.

Entah kenapa sebaik sahaja tiba di tingkat satu, tiada satu lampu pun dipasang dan suasana menjadi gelap gelita di situ malah tiada sesiapa di situ.

Secara automatik Rose baru sahaja teringat bahawa wad tingkat satu itu baharu sahaja ditutup penggunaannya kerana Hospital Bersalin itu akan berpindah ke blok lain tidak lama lagi bagi memberi laluan kepada projek pembinaan semula hospital itu.

Perlahan-lahan Rose mengatur langkah menapak keluar dari wad, bulu romanya terasa meremang terkenangkan kisah-kisah misteri di situ, sebelum ini dia hanya mendengar kisah itu kini dia sendiri telah mengalaminya.

Siapa yang menelefon Rose meminta dia mengambil bayi di tingkat satu juga tidak diketahui memandangkan Haslina tidak bertugas malam itu.

Kisah Rose itu hanya secebis daripada kisah-kisah misteri yang sering dikaitkan dengan Hospital Bersalin Pulau Pinang itu yang mempunyai sejarahnya tersendiri.

Bangunan Hospital Bersalin Pulau Pinang itu dibina pada tahun 1939 dan masih kekal hingga sekarang.

Namun ia tidak lagi digunakan sejak lebih lima tahun dahulu bagi memberi laluan kepada pembinaan semula Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Pulau Pinang.

Bagi seorang bekas pekerja di hospital berkenaan yang hanya ingin dikenali sebagai Awang, selain kisah Rose ‘diusik’ begitu, dia juga pernah terdengar kisah beberapa petugas kesihatan ternampak kelibat pasangan suami isteri yang mahu mengambil bayi mereka di hospital berkenaan.

Awang berkata, kelibat pasangan suami isteri itu sering ternampak pada waktu malam berjalan ke hospital bersalin yang telah pun ditutup penggunaannya kepada orang ramai.

Ada rakan saya seorang pengawal keselamatan menegur mereka berdua, ketika ditanya mereka jawab mahu mengambil anak mereka di Hospital Bersalin. Tetapi selepas beberapa ketika mereka berjalan ke situ, kelibat mereka terus hilang dan rakan saya baru sedar hospital bersalin sebenarnya telah lama ditutup.”

Menurut Awang, dia yang telah bersara sebagai pekerja di hospital itu bernasib baik kerana tidak pernah diganggu atau diusik entiti yang menyeramkan sepanjang bertugas di situ. Dia hanya mendengar kisah-kisah misteri hospital itu daripada rakan-rakan jururawat dan pengawal keselamatan yang bertugas pada waktu malam di situ.

“Bagi saya, di mana-mana sahaja makhlus halus ada namun mereka berada di dimensi alam yang berbeza daripada manusia. Apa pun yang berlaku adalah dengan izin Allah dan manusia tidak boleh terlalu takut dengan makhluk halus.

“Hospital bersalin ini pun sudah lama ditutup bagi memberi laluan kepada pembinaan semula hospital baharu dan kisah-kisah misteri di situ hanya tinggal kenangan petugas di sana,” katanya.

Kisah ini telah disiar di akhbar Kosmo! Ahad bertarikh 28 Mac 2021 • Ilustrasi janaan AI

You may also like

MMToon dimiliki oleh Media Mulia Sdn. Bhd. yang memegang hak cipta dan menerbitkan akhbar Utusan Malaysia, Mingguan Malaysia, Kosmo! dan Kosmo!Ahad
Tidak dibenarkan menerbitkan semula dalam sebarang bentuk atau dengan apa-apa cara, termasuk fotokopi, rakaman, atau lain-lain kaedah elektronik atau mekanikal
tanpa kebenaran pihak MMToon dan Media Mulia Sdn Bhd.

Hak cipta terpelihara © 2026, MMTOON Media Mulia Sdn. Bhd. 201801030285 (1292311-H)
error: Content is protected !!