MMToon

RASUKAN DARPANA DAN LINGSIR WENGI

Oleh Admin Kisah Seram

Oleh SITI SARAH NURUL LIYANA

HIDAYAH (bukan nama sebenar) penggemar sejarah dan memiliki koleksi barangan antik di rumahnya.


Tetapi ada satu barangan antik yang masih menghantuinya sehingga ke hari ini iaitu sebuah cermin lama bernama Darpana.

Cermin tersebut dibelinya di sebuah kedai barangan terpakai ketika bercuti di Yogyakarta, Indonesia beberapa tahun lalu.

Menurut pekerja di sebuah bank tempatan itu, dia tidak berfikir panjang kerana cermin itu persis cermin antik di Museum Negeri Sonobudoyo.

“Saya memang terpegun apabila terjumpa cermin lama yang sangat jarang dijumpai. Ia sama seperti yang ada di muzium.

Saya pernah lihat orang jual lelong di atas talian dengan harga permulaan RM 500, walaupun tidak dapat dikenal pasti keasliannya.

“Tetapi di kedai antik itu, saya dapat dengan harga RM20 sahaja dan ia bukan sahaja lebih cantik, malah tampak asli,” katanya kepada Panorama.

Untuk rekod, Darpana merupakan cermin yang digunakan wanita di Jawa untuk perhiasan sekitar abad ke-14 dan 15.

Bagaimanapun cermin tersebut turut dipercayai berasal dari India dan digunakan dalam upacara keagamaan.

Darpana digunakan untuk memandikan sang dewa dengan adanya pantulan arca dewa pada cermin melalui sinar matahari, kemudian dibasahi dengan air.

Biarpun peka dengan sejarah tersebut, Hidayah tidak takut dengan sebarang mitos yang dikaitkan dengan barangan antik.

Manakan tidak, rumahnya penuh koleksi antik yang pernah dikaitkan dengan pelbagai cerita misteri.

Itu termasuk harta pusaka daripada arwah moyangnya yang masih disimpan rapi, tetapi tidak pernah memiliki masalah.

Padanya, mitos merupakan cerita yang disampaikan kaki gosip kerana mereka sukakan ‘drama’.

Namun, perkara tersebut berubah apabila rakan serumahnya, Anita (bukan nama sebenar) memberi tahu bahawa dia berperangai aneh sejak bawa pulang cermin tersebut.

“Anita kata saya gemar merenung cermin usang tersebut sambil mengusap rambut pada waktu maghrib.

Sambil itu, saya akan menyanyi lagu dalam bahasa asing dan nampak seperti sedang khayal.

“Anehnya, saya langsung tak ingat saya lakukan semua itu kerana cermin itu disimpan dalam almari koleksi saya,” ujarnya.

Risau dengan nyanyian rakannya setiap waktu maghrib, Anita merakam aksi Hidayah secara sembunyi.

Alangkah terkejutnya apabila Hidayah menyaksikan sendiri dirinya menyebut perkataan-perkataan yang dia sendiri tidak faham.

Lebih menyeramkan, dia berjalan jongkok ( jalan mencangkung dan perlahan-lahan) ke arah almari ketika mahu mengambil cermin tersebut.

“Saya google lirik yang saya sebut dan ia rupanya lagu bahasa Jawa yang berjudul Lingsir Weng’.

Lagu itu dikaitkan dengan lagu ritual memanggil hantu di Jawa. Terkejut saya dibuatnya,” katanya.

Tidak melengahkan masa lagi, Hidayah terus membuat keputusan terbang semula ke Yogyakarta untuk memulangkan cermin tersebut ke kedai tersebut.

Ini kerana dia tidak mahu menganayai sesiapa yang menjumpai cermin tersebut sekiranya dia buang begitu sahaja.

Alangkah terkejutnya dia apabila dapati kedai antik itu bukan sahaja tidak wujud, malah ia bangunan lama kosong sahaja.

Tidak memiliki pilihan lain, Hidayah meletakkan semula cermin itu di dalam bangunan dengan seni bina kolonial Belanda tersebut.

“Syukur Alhamdulillah. Sehingga hari ini, saya tidak lagi berkelakuan aneh lagi setelah cermin itu diletakkan semula.

Saya sangat berterima kasih dengan Anita yang takut, malah ikhlas bantu saya sedar. Kalau bukan sebab dia, mungkin lagi teruk saya dirasuk,” ujarnya.

 

Kisah seram ini telah diterbitkan di akhbar Kosmo! Ahad . Ilustrasi janaan AI

You may also like

MMToon dimiliki oleh Media Mulia Sdn. Bhd. yang memegang hak cipta dan menerbitkan akhbar Utusan Malaysia, Mingguan Malaysia, Kosmo! dan Kosmo!Ahad
Tidak dibenarkan menerbitkan semula dalam sebarang bentuk atau dengan apa-apa cara, termasuk fotokopi, rakaman, atau lain-lain kaedah elektronik atau mekanikal
tanpa kebenaran pihak MMToon dan Media Mulia Sdn Bhd.

Hak cipta terpelihara © 2025, MMTOON
Media Mulia Sdn. Bhd. 201801030285 (1292311-H)

error: Content is protected !!