Oleh SITI SARAH NURUL LIYANA
SUARA riang kanak-kanak berlari dan bergurau senda pada tengah malam sering mengganggu tidur lena Nasir (bukan nama sebenar).
Setiap kali lelaki berusia 45 tahun tersebut terjaga akibat bunyi berlari, matanya pasti melirik ke arah jam di dinding untuk melihat masa.
Seperti biasa jam di dinding akan menunjukkan pukul 3 pagi dan ia seakan-akan sudah menjadi rutin wajib harian kanak-kanak tersebut.
Nasir yang tinggal di rumah pangsa puri lima tingkat itu mengesyaki suara tersebut merupakan suara anak jiran atas rumahnya.
Menurut lelaki kelahiran Sabah itu, tahap kesabarannya sudah berakhir dan dia nekad untuk menegur jirannya pada keesokannya.
“Bayangkan pukul tiga pagi setiap hari, tiba-tiba suara ketawa kanak-kanak riang riuh rendah macam malam raya.

Sehari dua saya boleh tahan. Ini dah sudah berbulan buat perkara yang sama sahaja, saya nekad pergi tegur,”katanya kepada Panorama.
Pada keesokannya, Nasir yang tinggal di tingkat empat naik ke tingkat paling atas pangsapuri tersebut untuk berbincang dengan jirannya itu.
Setibanya di pintu rumah tersebut, Nasir terkejut melihat pintu rumah bernombor 515 itu terbuka sedikit dan tidak berkunci.
Nasir mengetuk pintu dan memberi salam namun panggilannya itu tidak disahut oleh tuan rumah.
Tiba-tiba Nasir ternampak kelibat dua orang kanak-kanak sedang berlari di dalam rumah tersebut sambil ketawa riang.
Tidak mahu membuang masa, Nasir menolak pintu berkenaan dan meninjau ke dalam rumah itu.
Ujarnya, keadaan rumah tersebut agak bersih dan kemas sekali gus tidak langsung seperti ada kanak-kanak menghuninya.
“Saya terkejut juga melihat keadaan rumah yang sangat teratur biarpun suasananya agak malap akibat daripada tingkap yang tidak dibuka.
“Kanak-kanak berlari tadi tiada di ruang tamu, saya yakin mereka terkejut lalu menyorok di dalam bilik,”katanya.
Tiba-tiba, Nasir ditegur seorang lelaki berkopiah putih dan berjubah putih yang muncul secara tiba-tiba di belakangnya.
Setelah diberitahu bahawa itu merupakan tuan rumah, Nasir terus menegur lelaki itu agar mengawal tingkah laku anak-anaknya pada waktu malam.
Tidak seperti yang disangka Nasir, lelaki itu hanya senyum tanpa berkata apa-apa dan terus melangkah masuk ke dalam rumah.
Melihat lelaki itu menutup pintu, Nasir tidak lagi mampu bersabar lalu mula menggunakan kata-kata kesat.
Ujar Nasir, tindakan tersebut seperti memakan dirinya setelah gangguan kanak-kanak itu terasa semakin dekat.
“Selalunya suara kanak-kanak jam tiga pagi kedengaran dari atas rumah, sekarang saya rasa seperti di luar bilik saya.
“Saya takut untuk keluar bilik. Tetapi seperti biasa, mula sahaja azan Subuh, suara tersebut hilang,” ujarnya.
Sewaktu hendak ke tempat kerja, Nasir terserempak dengan jiran sebelah rumahnya lalu berkongsi pengalaman misteri tersebut.
Alangkah terkejutnya apabila mendapat tahu bahawa rumah di atas rumahnya sudah lama tidak berpenghuni.
Kejadian itu menyebabkan dirinya mula menumpang di rumah rakan sekerja selama sebulan sebelum berpindah di rumah sewa lain.
Kisah ini telah disiar di akhbar Kosmo! Ahad. Imej janaan AI
