MMToon

SYAITAN APAKAH MALAM TADI?

Oleh Admin Kisah Seram

Oleh ROSHIHAN ANNUAR YUB

Rosman pantas menyumbat pakaiannya ke dalam beg. Dalam hati dia menyumpah dan mengomel. Ini semua gara-gara panggilan dari penyelia tempat kerjanya tadi yang meminta agar pulang segera ke Kuala Lumpur untuk menghadiri mesyuarat menggantikan tempat rakannya Taufik yang terpaksa mengambil cuti kecemasan kerana tidak sihat.

Selepas bersalaman dan mengucapkan selamat tinggal kepada kedua ibu bapanya, Rosman menghidupkan enjin kereta dan memecut pergi. Sudah pukul 12.15 tengah malam, bisiknya dalam hati. Dia mesti sampai awal ke rumah kerana perlu menyiapkan pakaian dan keperluan lain, maklumlah esok pagi dia terpaksa menghadiri mesyuarat penting.

Untuk memudahkan perjalanan, dia melalui laluan Sungai Manik dan seterusnya ke Tapah untuk ke lebuh raya. Walaupun jaraknya jauh sedikit, namun dia dapat memendekkan waktu perjalanan berbanding jika melalui jalan lama Kuala Selangor.

Rosman menjeling jam di kereta. Sudah hampir pukul 1 pagi. Suasana cukup gelap sehinggakan dia tidak mampu melihat persekitaran dengan jelas. Kini dia hanya berpandukan pada cahaya lampu kereta kerana di kawasan tersebut lampu jalan hanya berjarak sebatu satu.

Sedang tekun memandu, tiba-tiba dia tersentak. Entah kenapa enjin keretanya tiba-tiba tersengguk-sengguk seakan mahu mati. Rosman panik. Kakinya lantas menginjak-nginjak pedal minyak, namun tidak berhasil. Enjin kereta yang dipandunya tiba-tiba mati. Dia cemas. Dipulasnya kunci berkali-kali namun tetap tidak berhasil.

Manik-manik peluh sudah terbit di dahinya. Dia seakan hilang punca, tak tahu apa yang perlu dilakukan ketika itu. Kilat di luar sudah saling sabung menyabung sambil diselangi dentuman guruh. Rosman mengintai langit dari dalam kenderaan. Dia gelisah. Dengan siapa pula dia ingin meminta pertolongan.

Lantas dia mengambil keputusan memeriksa enjin keretanya. Dia perlu segera, takut kalau hujan nanti pasti dia akan ‘tersangkut’ lebih lama di situ. Keadaan persekitaran cukup gelap. Langsung tiada apa yang kelihatan kecuali deretan pohon sawit yang memenuhi kiri kanan jalan. Rosman semakin cuak, tambah pula sesekali telinganya menangkap bunyi sahutan burung hantu dan salakan anjing dari hutan berdekatan.

Dia membuka hud hadapan keretanya. Lantas meninjau jika ada sebarang kerosakan. Namun semuanya masih dalam keadaan baik. Pelik! Sekali lagi Rosman garu kepala.

Sedang otaknya ligat berfikir mencari jalan penyelesaian, tiba-tiba hidungnya menangkap bau kurang enak. Bau busuk hanyir menerobos masuk ke rongga hidungnya.

Rosman berasa cukup loya dan terasa nak muntah. Kembang kempis hidungnya cuba menahan nafas.
“Uwekkk…uwekkk…uwekkkk… Rosman muntah di tepi kenderaannya. Dia benar-benar sudah tidak tahan. Rasanya seumur hidup tak pernah lagi dia mencium bau busuk seperti itu. Tekaknya berasa kembang dan loya, lantas dia mengambil keputusan untuk masuk semula ke dalam kereta.

Dum! Sebaik sahaja hud enjin dihempas ke badan kereta, Rosman tergamam kaku. Lidahnya serta merta menjadi kelu. Matanya terbeliak sambil tertumpu ke arah objek yang berada di atas bumbung keretanya ketika itu. Jantungnya berdegup laju. Perlahan-lahan dia menggosok mata. Apakah yang disaksikannya ketika itu realiti ataupun khayalan semata.

Benar! Dalam samar cuaca gelap dia masih mampu melihat satu makhluk hodoh berbadan besar sedang mencangkung di atas bumbung keretanya.

Wajah makhluk tersebut cukup menyeramkan. Mukanya hitam dan menggerutu diselaputi bisul yang pecah dan bernanah. Rambutnya pula panjang mengerbang sehingga menutupi sebahagian tubuhnya ketika itu. Matanya merah menyala terjegil keluar seperti bola api yang sedang marak menyala sementara lidahnya terjelir panjang hingga mencecah ke cermin keretanya.

Rosman rasa seperti hendak pengsan. Jantungnya seolah disentap keluar dari tubuh. Lidahnya kelu. Kakinya seakan terpasak ke bumi. Dia tidak percaya dengan apa yang disaksikan di hadapan matanya ketika itu. Makhluk tersebut memandang tepat ke arahnya sambil merengus kuat. Sesekali dia menggerakkan badannya sehingga menyebabkan kereta tersebut bergoyang ke kiri ke kanan.

Tiba-tiba tanpa disangka makhluk tersebut menggilai dengan kuat. Rosman rasa seperti hendak tercabut nyawa. Kumat-kamit mulutnya cuba membaca ayat-ayat suci al-Quran, namun kerana perasaan takut bacaannya terus menjadi tunggang-langgang.

Makhluk hodoh tersebut memandang tepat ke arahnya. Rosman menggigil dan lencun dibasahi peluh. Seumur hidupnya tak pernah lagi dia mengalami situasi menyeramkan seperti itu. Dia sudah tidak mampu untuk berdiri lagi. Pandangannya berpinar dan bertukar gelap, lantas tanpa disedari dia terjelepok jatuh.

Dia tersedar setelah terasa percikan air hinggap di mukanya. Di sisinya kelihatan seorang pemuda lewat 30-an sedang bertinggung sambil memegang sebotol air. Rosman bingkas bangun dan memandang sekeliling. “Maaf bang. Saya berhenti tadi sebab nampak abang terbaring kat tepi jalan ni. Apa yang dah jadi bang? Tanya lelaki tersebut inginkan kepastian.

Rosman masih kelu dan bingung. Fikirannya masih dihantui peristiwa yang berlaku malam tadi. Lantas dia menceritakan apa yang terjadi.

Menurut pemuda tersebut apa yang berlaku kepada Rosman bukanlah sesuatu yang pelik. Ramai yang sudah ‘terkena’ terutamanya pemandu luar yang tidak biasa dengan jalan tersebut. Katanya, jalan tersebut memang ‘keras’, sebab itulah jarang pengguna melaluinya ketika lewat malam.

Sebaik sahaja pemuda tersebut pergi Rosman bingkas masuk ke kereta dan menghidupkan enjin.
Vroom… vroom… vroom…. Dia garu kepala kehairanan. Ketika kenderaannya baru bergerak beberapa ratus meter ke hadapan, barulah Rosman perasan di sebelah kirinya terdapat tanah perkuburan. Rosman menelan air liur. Tanpa fikir panjang, dia terus memecut keretanya.

Kisah seram ini telah diterbitkan di akhbar Mingguan Malaysia. Ilustrasi janaan AI

 

You may also like

MMToon dimiliki oleh Media Mulia Sdn. Bhd. yang memegang hak cipta dan menerbitkan akhbar Utusan Malaysia, Mingguan Malaysia, Kosmo! dan Kosmo!Ahad
Tidak dibenarkan menerbitkan semula dalam sebarang bentuk atau dengan apa-apa cara, termasuk fotokopi, rakaman, atau lain-lain kaedah elektronik atau mekanikal
tanpa kebenaran pihak MMToon dan Media Mulia Sdn Bhd.

Hak cipta terpelihara © 2026, MMTOON Media Mulia Sdn. Bhd. 201801030285 (1292311-H)
error: Content is protected !!