MMToon

PENGSAN LIHAT HANTU HISAP PAD

Oleh Admin Kisah Seram

DALAM masyarakat Melayu tradisional, terdapat banyak pantang larang yang diwarisi turun-temurun, termasuk yang berkaitan dengan tuala wanita atau ‘pad’.

 

Orang Melayu percaya bahawa tuala wanita yang dibuang merata-rata boleh menarik roh atau makhluk halus kerana masih ‘mempunyai tenaga hidup’ daripada wanita yang menggunakannya.

Biarpun perkara itu sudah tidak begitu diendahkan oleh masyarakat masa kini, Ayu (bukan nama sebenar) tidak menyangka bahawa kepercayaan lama itu akan muncul secara nyata dalam kehidupannya sendiri.

Berkongsi kepada CitaRasa, Ayu berkata, suatu hari, ibunya lewat menjemputnya daripada kelas tambahan selepas waktu sekolah, menyebabkan remaja berusia 15 tahun itu terpaksa menunggu seorang diri sehingga hampir waktu maghrib.

 

Tiba-tiba, rasa ingin ke tandas muncul, lalu dia berjalan menuju ke tandas perempuan di tingkat paling bawah sekolah tanpa sebarang rasa curiga.

Menurut Ayu, dia terdengar bunyi aneh dari bilik tandas hujung, seakan-akan sesuatu sedang dihisap perlahan dan basah.

 

“Mula-mula ingatkan ada kucing atau anjing yang terlepas masuk tandas. Kadang-kadang perkara itu berlaku, jadi saya tak fikir panjang dan pergi tinjau.

 


“Tapi semakin saya hampir, bau hanyir semakin kuat. Saya tutup hidung dengan sebelah tangan dan menolak pintu tandas tersebut dengan sebelah tangan lagi,” katanya.

 

Ayu amat terkejut melihat susuk seorang wanita berbaju putih sedang mencangkung dan menghadap ke dinding tandas, rambutnya panjang sehingga ke lantai.


Namun, Ayu ketika itu tidak fikir itu hantu kerana pakaian baju kurung sekolah juga berwarna putih dan kelihatan sama jika dilihat sekali imbas.

 

Ayu terdetik untuk menegur ‘pelajar’ itu tentang perlakuannya di tandas yang dikiranya sedang mengambil bahan terlarang.


Tetapi sangkaan Ayu meleset apabila wanita itu kemudian mengangkat kepala perlahan-lahan lalu menampakkan wajah yang sangat hodoh.

 

“Wajah wanita itu pucat lesi, bibirnya koyak dan penuh darah, matanya kosong menatap ke arah saya seolah-olah tiada nyawa di dalamnya.

“Tangannya yang kurus memegang tuala wanita itu, sementara mulutnya bergerak perlahan, menjilat darah dengan bunyi hisapan yang menusuk telinga,” ceritanya.

 

Tubuh Ayu kaku, lututnya lemas dan kepalanya berdenyut. Dunia di sekelilingnya seolah berpusing dan udara terasa dingin menusuk hingga ke tulang.


Nafasnya tersekat dan matanya tidak mampu berpaling dari pemandangan mengerikan itu.

Tidak mampu menahan diri, Ayu tersandar ke dinding, kakinya lemah dan tubuhnya terhuyung-huyung. Kepala berdenyut, pandangannya mula kabur dan akhirnya tubuhnya rebah serta pengsan di lantai tandas.

Setelah tersedar dari pengsan, Ayu membuka mata dan melihat wajah ibunya yang cemas melihat dia terbaring di lantai. Tuala wanita itu masih di lantai tetapi hantu rambut panjang berbaju putih itu sudah hilang tanpa jejak.

 

“Selepas peristiwa itu, emak bawa saya berubat agar semangat saya pulih semula dan saya juga telah bertukar sekolah bagi mengelakkan trauma berulang.


“Saya percaya, kalau orang tua-tua memberi pantang larang itu, pasti ada sebab. Tidak kiralah betapa modennya dunia sekarang ini,” katanya.

Kisah ini telah disiar di akhbar Kosmo! Ahad. Imej janaan AI

 

 

You may also like

MMToon dimiliki oleh Media Mulia Sdn. Bhd. yang memegang hak cipta dan menerbitkan akhbar Utusan Malaysia, Mingguan Malaysia, Kosmo! dan Kosmo!Ahad
Tidak dibenarkan menerbitkan semula dalam sebarang bentuk atau dengan apa-apa cara, termasuk fotokopi, rakaman, atau lain-lain kaedah elektronik atau mekanikal
tanpa kebenaran pihak MMToon dan Media Mulia Sdn Bhd.

Hak cipta terpelihara © 2026, MMTOON Media Mulia Sdn. Bhd. 201801030285 (1292311-H)
error: Content is protected !!