MMToon

DIKEJAR LIDAH API

Sewaktu berusia belasan tahun, saya pernah melihat pancaran api yang agak aneh. Ketika itu pukul 8.30 malam dan di udara kelihatan bebola api sebesar duit syiling.

Ia bergerak laju, ke atas dan ke bawah berserta ekor yang panjang seperti tali, sebelum hilang begitu saja. “Itu tuju-tuju,” kata seorang kawan yang turut melihatnya.

Dalam kepercayaan masyarakat Melayu, tujutuju ialah sihir yang dihantar oleh seseorang kepada orang yang dibencinya. Sihir ini akan meluncur di udara mencari mangsanya dan dapat dilihat dalam bentuk api yang terawang-awang.

Saya terkejut, semasa ke Fiji pada 1999 bagi membuat tugasan untuk majalah Mastika, saya mendapati apa yang saya lihat itu seperti ada persamaannya dengan kepercayaan masyarakat tersebut.

Joe Martin berusia 57 tahun. Saya temuinya di Kampung Naula, Nousori. Menurut Joe, sewaktu usianya 17 tahun, dia telah diserang oleh hantu berbentuk nyalaan api yang digelar Dawcina.

Cerita Joe, pukul 1.30 pagi ketika sedang berjalan pulang ke rumah, dia melihat ada gumpalan api terawang-awang di udara, beberapa puluh meter darinya.

Saiznya sebesar buah epal dan menyala-nyala. Joe berhenti melangkah. Sewaktu leka memerhati, gumpalan api itu tiba-tiba menerkam ke arahnya.

Ia semakin membesar dan seterusnya jatuh di hujung kaki Joe. Teringat akan pesanan orang-orang tua, Joe terus menjerit.

“Siapa kau?” Serentak itu api tersebut melayang semula ke udara dan terus lenyap.

Joe berasa lega, kalau tidak tentu dia akan dirasuk oleh Dawcina. Saya bertanya, apa itu Dawcina? Menurut Joe, ia adalah sejenis hantu yang digunakan oleh seseorang untuk merosakkan musuhnya.

Biasanya mangsa Dawcina ialah perempuan. Dawcina boleh dipanggil. Caranya cukup mudah.

Selepas minum yaqona (diperbuat daripada akar pokok berkenaan) iaitu air suci masyarakat asli Fiji, kita perlu mengangkat setempurung lagi air tersebut ke hadapan seolah-olah sedang mempersembahkannya kepada seseorang, kemudian berkata, “Air ini untuk engkau, Dawcina. Aku mahu engkau hancurkan si polan itu!”.

Air itu kemudian dibuang ke luar melalui tingkap. Air yaqona tersebut dipercayai akan diminum oleh hantu Dawcina.

Sejurus yaqona itu habis dihirup, Dawcina akan terbang mencari mangsa yang diarahkan.

Kewujudan Dawcina itu boleh dilihat dalam bentuk api seperti yang dilihat oleh Joe. Dawcina dihantar kerana perasaan dendam, iri hati mahu pun sekadar untuk memuaskan hati.

Misalnya akibat cemburu melihat kekayaan jiran, orang yang dengki itu akan menghantar Dawcina untuk merosakkan salah seorang ahli keluarga jirannya. Biasanya yang menjadi mangsa ialah perempuan.


Apabila dirasuk Dawcina, wanita itu akan menjadi murung, enggan berbual, tidak mahu keluar rumah dan bencikan lelaki. Jika tidak diubati, wanita itu boleh menjadi gila.

Selain itu, Dawcina juga dihantar apabila seorang lelaki gagal mendapatkan wanita idamannya. Daripada jatuh ke tangan orang lain, lelaki terbabit menghantar Dawcina bagi menjadikannya gila dan akhirnya mati.

Ada juga kes mangsa Dawcina membunuh diri dengan merempuh kenderaan yang sedang bergerak laju atau terjun dari tempat yang tinggi.

Bagaimanapun, pemilik Dawcina sangat sukar dikesan. Mereka bijak menyembunyikan rahsia itu dan tidak menunjukkan sebarang keganjilan.

Selain daripada di Fiji, fenomena hantu api sebenarnya wujud dalam hampir semua masyarakat dunia. Ia dikatakan wujud oleh pelbagai sebab, antaranya roh orang yang baru mati, syaitan, sihir serta penunggu tempat harta karun disembunyikan.

Di Jepun misalnya, mereka percaya kepada kewujudan Osabi, iaitu dua gumpalan api yang berlegar-legar di Tasik Misuma, yang terletak di Nobeoka. Dua bebola api ini dikatakan muncul ketika hujan turun pada malam hari.

Osabi kononnya roh dua orang wanita yang bertelagah, tetapi akhirnya lemas di dalam tasik berkenaan. Diceritakan bahawa Osabi masih lagi kelihatan pada waktu-waktu tertentu dan sesiapa yang melihatnya akan ditimpa bencana.

Penduduk di Pulau Omi pula percaya kepada Oborabi, iaitu roh orang mati yang menjelma dalam bentuk bebola api dan muncul sama ada di atas kuburnya atau di tengah-tengah laut.

Kane no Kami no Hi ialah hantu api yang hadir bersama suara jeritan manakala Kumobi terdiri daripada ratusan ekor labah-labah yang bergumpal lalu membentuk nyalaan api yang terapung-apung di udara. Sesiapa yang terkena nyalaan Kumobi akan menderita dan seterusnya mati.

Satu lagi hantu api yang terdapat dalam masyarakat Jepun ialah Shironko. Kononnya ia adalah jelmaan roh seorang gadis cantik yang mati akibat ditanam hidup-hidup oleh seorang lelaki yang gagal mengahwininya.

Gentayangan bebola api juga dilaporkan pernah muncul di Scotland Highlands pada 1897 tempat berlakunya banyak kematian. Kemudian pada 1902, bebola api dilihat terawang-awang di dalam tong tempat mayat seorang wanita ditemui.

Sementara itu, hantu api yang digelar Saratiga Light dilihat oleh banyak pengembara yang melalui Old Bragg Road di Hardin County, Texas, Amerika Syarikat.

Ada yang mengaitkannya dengan roh orang yang mati kemalangan di situ, pemilik harta karun dan juga tentera yang terkorban dalam pertempuran. Kemunculan bebola api itu semakin kerap dilihat pada tahun 1960-an, hingga turut dilaporkan oleh majalah The National Geographic dalam keluaran Oktober 1974 lengkap dengan gambarnya sekali.


Dari mana datangnya bebola api itu? Kalau kepercayaan tradisional mengaitkannya dengan roh, hantu dan sihir, kajian paranormal Barat pula mengatakan ia berpunca daripada pelbagai faktor.

Antaranya ialah kesan aktiviti elektrik, pembakaran gas yang mudah terbakar seperti metana, batu petir, meteor, percikan api akibat kebakaran atau salah tanggap terhadap sesuatu objek yang menyala dan juga gurauan. Mana satu yang betul?

Kalau hendak melihatnya sendiri, apa kata kalau anda pergi ke kawasan bukit antara Jalan Durian Hijau – Pulau Tawar di Jerantut, Pahang. Dikatakan kawasan berbukit sejauh lapan kilometer dan dipenuhi hutan itu juga didiami oleh ‘hantu api’.

Diceritakan bahawa terdapat penduduk yang pernah dikejar oleh gumpalan api tersebut sewaktu melaluinya pada lewat malam. Selain mengejar, gumpalan api itu juga menghadang laluan menyebabkan ada pengguna jalan tersebut yang terpaksa melanggarnya.

Apa yang berlaku apabila lidah api itu dilanggar? Nah, inilah peluang untuk anda menguji sama ada apa yang diceritakan ini benar atau sebaliknya. Seandainya anda dapat merempuh gumpalan api berkenaan, hubungi saya dan ceritakan pengalaman anda itu. Ada berani?

Kisah ini telah disiar di akhbar Mingguan Malaysia. Ilustrasi janaan AI

 

MMToon dimiliki oleh Media Mulia Sdn. Bhd. yang memegang hak cipta dan menerbitkan akhbar Utusan Malaysia, Mingguan Malaysia, Kosmo! dan Kosmo!Ahad
Tidak dibenarkan menerbitkan semula dalam sebarang bentuk atau dengan apa-apa cara, termasuk fotokopi, rakaman, atau lain-lain kaedah elektronik atau mekanikal
tanpa kebenaran pihak MMToon dan Media Mulia Sdn Bhd.

Hak cipta terpelihara © 2026, MMTOON Media Mulia Sdn. Bhd. 201801030285 (1292311-H)
error: Content is protected !!