MMToon

MISTERI PENUNGGU KERETA USANG ARWAH DATUK

BIARPUN sudah lebih sedekad berlalu, namun adakalanya Azman (bukan nama sebenar) akan teringat peristiwa diganggu makhluk halus yang menghuni kereta usang milik arwah datuknya.

Membuka bicara, Azman berkata, datuknya meninggal dunia kira-kira 12 tahun lalu itu, dan semasa hayatnya mempunyai beberapa buah kereta klasik yang tersimpan elok di dalam garaj rumah.

“Datuk merupakan seorang ahli perniagaan di sebuah negeri di Utara tanah air. Semasa hidup, dia memang gila mengumpul kereta, lebih-lebih lagi model klasik.

“Namun selepas jatuh sakit, semua kereta itu hanya terbiar begitu sahaja memandangkan tiada ahli keluarga kami yang mempunyai minat sama dengan arwah,” ujar Azman.

Pada tahun 2012, datuk Azman mula jatuh sakit. Oleh sebab datuknya tinggal seorang diri di kampung, ibu bapa Azman membawanya tinggal bersama keluarga di ibu kota.

“Memandangkan semua anak-anak arwah datuk iaitu adik-beradik ibu saya menginap di Kuala Lumpur, maka kami bergilir-gilir menjaga arwah sehingga datuk meninggal dunia pada 2013.

“Beberapa bulan sebelum arwah datuk meninggal, saya dan seorang sepupu, Budin ditugaskan untuk pulang ke kampung mengemas rumah serta mengambil beberapa barang keperluan datuk.

“Kami merancang untuk tidur di rumah datuk selama satu malam kerana bimbang keletihan jika terus memandu pulang ke Kuala Lumpur selepas selesai mengemas rumah datuk.

“Disebabkan ada masa terluang, maka saya pun pergi ke garaj datuk untuk melihat koleksi kereta yang ditinggalkan.

“Ketika itu, terdapat enam buah kereta klasik, di mana salah satunya merupakan model Mercedes klasik berwarna coklat yang juga merupakan antara kereta paling disayangi arwah.

“Namun, ia sebenarnya sudah lama tidak bergerak dan hanya tersadai sebagai perhiasan di garajnya,” ujarnya.

Azman kemudian masuk ke dalam kereta yang tidak berkunci itu. Dia membelek-belek setiap inci kereta itu sambil membayangkan datuknya memandu kenderaan tersebut ketika zaman mudanya.

Baru beberapa saat di dalam, pintu kereta kemudiannya tiba-tiba terkunci sendiri. Enjin kereta juga tiba-tiba hidup sendiri sebentar hingga menyebabkan Azman berasa ketakutan.

“Enjin cuma hidup sekejap, sebelum tiba-tiba mati. Saya menghela nafas lega, sebelum cuba membuka pintu kereta.

Namun, ia tidak boleh dibuka walaupun sudah mencuba berkali-kali hingga menyebabkan saya panik.”

“Ketika itu waktu maghrib dan di luar masih hujan lebat. Mujur, saya membawa telefon bimbit dalam poket seluar. Saya menelefon Budin untuk meminta pertolongan.

“Budin terus keluar dari rumah datuk dan berusaha mengeluarkan saya dari kereta itu.

“Dalam keadaan tercungap-cungap, Budin terus memarahi saya sambil memaklumkan bahawa kereta berkenaan memang ‘berpenghuni’,” kata Azman.

Ternyata Budin sudah lama tahu tentang kereta klasik itu. Oleh sebab itu, dia tidak pernah sesekali mencuba untuk mendekati kenderaan itu.

Selepas datuk Azman dan Budin meninggal dunia, rumah tersebut dibiarkan kosong.

“Saya tidak tahu apa jadi dengan koleksi kereta arwah datuk.

“Apa yang saya tahu, salah seorang pak cik saya sudah menguruskan semua harta datuk termasuk kereta-kereta tersebut sebelum dia dan keluarganya berpindah ke luar negara,” katanya.

Kisah ini telah disiar di akhbar Kosmo! Ahad. Ilustrasi janaan AI

MMToon dimiliki oleh Media Mulia Sdn. Bhd. yang memegang hak cipta dan menerbitkan akhbar Utusan Malaysia, Mingguan Malaysia, Kosmo! dan Kosmo!Ahad
Tidak dibenarkan menerbitkan semula dalam sebarang bentuk atau dengan apa-apa cara, termasuk fotokopi, rakaman, atau lain-lain kaedah elektronik atau mekanikal
tanpa kebenaran pihak MMToon dan Media Mulia Sdn Bhd.

Hak cipta terpelihara © 2026, MMTOON Media Mulia Sdn. Bhd. 201801030285 (1292311-H)
error: Content is protected !!