MMToon

DIGANGGU PUAKA LEPAS POKOK BESAR DITEBANG


BAGI kebanyakan orang, berjaya memiliki rumah sendiri merupakan salah satu momen yang cukup bermakna dalam hidup.

Namun bagi seorang lelaki dikenali sebagai Adha, pengalaman membeli sebuah rumah flat di Cheras, Kuala Lumpur menjadi mimpi ngeri yang tidak pernah dilupakannya.

Kongsi pemuda berusia 30-an itu, rumah yang dibeli secara subsale tersebut kelihatan sempurna pada pandangan mata.

Ini kerana, rumah itu mempunyai reka bentuk moden, bersih dan terletak berdekatan dengan kemudahan pengangkutan awam.

“Namun, di sebelah rumah saya ada sebatang pokok besar. Menurut jiran-jiran, pokok itu berpuaka kerana pernah dikaitkan dengan kejadian ganjil.

“Saya tidak mengambil serius dengan cerita misteri itu dan melihat pokok berkenan seperti pohon lain yang ada di kawasan flat tersebut,” katanya ketika dihubungi CitaRasa baru-baru ini.

Segalanya mula berubah apabila pokok itu ditebang oleh pihak pengurusan flat sehingga membawa episod seram dalam hidup Adha.

Awalnya, alasan pokok itu ditebang kerana mengganggu struktur rumah dan pemandangan beberapa buah rumah di tingkat bawah.

Selepas pokok itu ditebang, gangguan aneh mula berlaku. Pada malam pertama selepas pokok itu ditebang, Adha berasa seperti kakinya ditarik-tarik dari bawah selimut ketika sedang tidur.

“Saya cuba menepisnya tetapi rasa sakit dan tekanan itu terlalu kuat. Malam berikutnya, rambut saya pula seolah-olah ditarik semasa sedang tidur.

“Saya mula berasa tidak selesa, tetapi berfikir ia mungkin akibat stres selepas berpindah rumah,” ujarnya.

Namun, perkara pelik semakin menjadi-jadi.

Ada harinya, Adha terdengar bunyi kanak-kanak sedang bermain guli dari ruang tamu rumahnya.

Hakikatnya, semua jiran Adha tiada mempunyai anak kecil atau kanak-kanak.

Kongsinya, pada suatu malam, dia melihat kerusi dan meja di dapur bergerak sendiri, seolah-olah ada tangan ghaib menariknya.

Tambah seram, televisyen di ruang tamu menyala sendiri dan mengubah saluran tanpa disentuh remote control.

“Kejadian yang lebih menakutkan berlaku apabila kerusi rotan di balkoni tiba-tiba bergoyang walaupun tiada angin kuat pada malam itu.

“Saya cuba mengabaikannya, tetapi ketakutan mula menebal selepas ternampak kelibat lembaga hitam di kawasan pokok besar ditebang,” katanya.

Lembaga itu memiliki susuk seperti manusia, tinggi dan gelap. Ia berdiri seakan mengawasi kawasan dalam diam. Setiap kali Adha menatapnya, lembaga itu lenyap sekelip mata, sekali gus meninggalkan rasa seram yang sukar digambarkan.

Adha cuba menutup tingkap dan mengunci pintu, tetapi gangguan itu tidak berhenti di situ.

Pada setiap malam, Adha akan mimpi buruk, sekali gus menyebabkan kehidupan hariannya terjejas.

“Saya mula mengelak untuk tidur di bilik, sebaliknya tidur di ruang tamu dengan lampu menyala. Namun gangguan itu tetap ada, seperti mengikut ke mana saja saya pergi.

“Akhirnya, saya pergi berjumpa seorang bomoh yang tinggal berhampiran flat itu.

“Bomoh tersebut memberitahu bahawa pokok yang ditebang itu berpuaka kerana ada roh yang menjaganya.

“Pokok itu sepatutnya tidak ditebang kerana telah menjadi tempat tinggal entiti ghaib. Entiti itu kini mula mencari mangsanya,” kongsinya.

Akhirnya, Adha mengambil keputusan untuk berpindah dan menjual rumah flat itu walaupun baru beberapa bulan tinggal di situ.

Gangguan menakutkan itu membuatkan Adha tidak tahan lagi tinggal di situ.

Walaupun dia berjaya berpindah ke rumah lain, namun ingatan tentang lembaga hitam, bunyi guli kanak-kanak, dan tarikan ghaib pada kaki sentiasa menghantuinya.

Menurut Adha, dia sedar bahawa ada perkara di dunia ini yang tidak boleh dijangkau oleh akal manusia.

Katanya, ada puaka yang tidak boleh diabaikan sekiranya terdapat pokok lama ditebang.

Pengalaman Adha menjadi pengajaran kepada mereka yang ingin mengubah alam semula jadi di sekeliling rumah tanpa memahami sejarahnya.

Kadang-kadang, keinginan untuk ‘membersihkan ruang’ boleh membawa bencana yang jauh lebih besar daripada dijangka.

Pokok puaka itu mungkin sudah tiada secara fizikal, tetapi kisahnya terus hidup dalam bentuk gangguan yang tidak berpenghujung.

Kisah seram ini telah diterbitkan di akhbar Kosmo! Ahad. Ilustrasi janaan AI

MMToon dimiliki oleh Media Mulia Sdn. Bhd. yang memegang hak cipta dan menerbitkan akhbar Utusan Malaysia, Mingguan Malaysia, Kosmo! dan Kosmo!Ahad
Tidak dibenarkan menerbitkan semula dalam sebarang bentuk atau dengan apa-apa cara, termasuk fotokopi, rakaman, atau lain-lain kaedah elektronik atau mekanikal
tanpa kebenaran pihak MMToon dan Media Mulia Sdn Bhd.

Hak cipta terpelihara © 2026, MMTOON Media Mulia Sdn. Bhd. 201801030285 (1292311-H)
error: Content is protected !!