MMToon

JELMAAN NENEK AJAK MAIN CONGKAK

Oleh FARID AHMAD TARMIJI

DIKURNIAKAN dengan cahaya mata yang ketiga ternyata mengembirakan seorang wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Izah dan suaminya. Cahaya matanya itu kemudiannya dinamakan sebagai Nabilah.

Berbeza daripada abang dan kakaknya sewaktu di dalam pantang Nabilah sering menangis terutama kali menjelang masuk waktu maghrib.

Saya amat risau pada ketika itu dan kami pergi untuk berjumpa dengan doktor untuk mendapatkan  rawatan lanjut. Namun anak kami ini sihat dan tiada sebarang masalah.

“Selain itu, kami juga turut mendapatkan rawatan secara tradisional. Ada yang mengatakan bahawa mungkin anak saya ini dikurniakan dengan hijab terbuka dan dia mampu melihat makhluk halus yang orang lain tidak dapat lihat dengan mata kasar,” kata Izah.

Pada mulanya sukar untuk dia mempercayai semua itu kerana perkara itu tidak terjadi kepada abang dan kakak kepada Nabilah sebelum ini. Tetapi setelah usia Nabilah mula mencapai setahun lebih Izah mula melihat akan perubahan yang berlaku pada anaknya itu.

Kadangkala saya meninggalkannya bersendirian di ruang tamu untuk melakukan kerja-kerja rumah. Ada ketikanya saya mendengar dia ketawa bersendirian seperti ada orang lain bermain dengannya,” katanya.

Tambahnya, dia juga sering melihat anaknya itu suka tersenyum setiap kali memandang bahagian atas almari yang ada dalam rumah mereka. Pada ketika itu, anaknya masih belum mampu berbicara dan sukar untuk Izah bertanyakan sebarang soalan kepadanya.

Memasuki umur dua tahun lebih, anaknya itu mula sukar tidur malam dan kadangkala ketika mereka semua sudah tertidur dia masih belum lagi tidur. Pada suatu malam ketika pukul dua pagi Izah tersedar dari tidur dan dia mendapati anaknya itu tidak ada di dalam bilik bersama mereka.

“Saya keluar mencarinya dan saya terdengar seperti ada orang sedang bermain congkak di bilik atas yang dijadikan tempat penyimpanan barang.

Saya naik dan masuk ke dalam bilik itu dan melihat Nabilah sedang bermain congkak berseorangan. Saya sendiri hairan kerana congkak itu sudah lama dibiarkan di dalam bilik itu dan bagaimana dia boleh bersendirian untuk bermain di situ,” katanya.

Tambahnya, tanpa melengahkan masa dia mengambil anaknya itu dan kemudiannya membawanya turun ke bilik mereka. Keesokan harinya, Izah cuba bertanya kepada anaknya itu kenapa dia naik ke bilik atas dan bermain congkak.

Anaknya itu, seakan memberitahu bahawa dia ada mengikuti seorang nenek untuk pergi ke bilik itu. Izah mengakui rumah yang mereka tinggal itu adalah rumah pusaka tinggalan nenek kepada suaminya.

Suaminya juga ada menceritakan bahawa sewaktu dia kecil pernah ternampak neneknya menyediakan makanan seperti telur kuning, ayam dan telur rebus dan kemudian meletakkannya di kawasan belakang rumah mereka.

Apabila suaminya meningkat dewasa dan dia ada mendengar cerita bahawa neneknya itu ada membela makhluk ghaib bertujuan untuk menjaga tanah dan kawasan rumah mereka.

Maka tidak hairanlah anaknya itu kini mampu melihat benda-benda ghaib.

Sementara itu, Izah menegaskan apabila anaknya itu semakin membesar dan boleh bercakap dengan jelas dia ada memberitahu tentang apa yang dilihatnya.

Nabilah mengatakan dia sering ternampak satu makhluk yang tinggi, berambut panjang, berwarna gelap dan memiliki gigi yang tajam yang kadangkala akan keluar masuk dalam rumah mereka.

“Apabila Nabilah semakin membesar dan mula mengerti dia sering menangis kerana sering diganggu makhluk itu. Ada satu malam dia seakan dirasuk dan kami memanggil orang kampung yang memiliki  kemahiran perubatan untuk mengubatinya,” jelas Izah.

Sewaktu Nabilah diubati dia mula bercakap perkara yang merapu dan menjerit dengan kuat sewaktu pengamal perubatan itu cuba untuk mengeluarkan makhluk itu dari tubuhnya.

Tuan aku dah lama tak bagi aku makan,” itulah antara kata-kata yang keluar dari mulut Nabila sewaktu sedang dipulihkan.

Izah menjelaskan mereka sering menjemput pakar perubatan tradisional untuk merawat anaknya itu dan memagar kawasan rumah agar tidak diganggu oleh makhluk-mahkluk ghaib.

“Seingat saya Nabilah mampu melihat benda-benda ghaib ini sehingga umurnya antara sembilan hingga 10  tahun dan  apabila semakin membesar matanya sudah tidak lagi mampu melihat perkara-perkara begitu,” jelasnya.

Kisah ini telah disiar di akhbar Kosmo! Ahad. Ilustrasi janaan AI

MMToon dimiliki oleh Media Mulia Sdn. Bhd. yang memegang hak cipta dan menerbitkan akhbar Utusan Malaysia, Mingguan Malaysia, Kosmo! dan Kosmo!Ahad
Tidak dibenarkan menerbitkan semula dalam sebarang bentuk atau dengan apa-apa cara, termasuk fotokopi, rakaman, atau lain-lain kaedah elektronik atau mekanikal
tanpa kebenaran pihak MMToon dan Media Mulia Sdn Bhd.

Hak cipta terpelihara © 2025, MMTOON
Media Mulia Sdn. Bhd. 201801030285 (1292311-H)

error: Content is protected !!