MMToon

‘TURUNKAN SAYA DI KUBUR…’

Oleh ROSHIHAN ANNUAR YUB

Khairi menekan pedal minyak kenderaannya dengan perlahan sambil matanya liar memandang di sepanjang kiri kanan jalan. Dia terfikir untuk mengambil penumpang terakhir malam itu sebelum pulang ke rumah. Dijelingnya jam di papan pemuka kenderaan, sudah hampir pukul 12.30 malam bisik hati kecilnya.

Sedang dia leka melihat deretan neon yang melimpahkan pelbagai warna, tiba-tiba dia tersentak. Kakinya pantas menekan brek apabila seorang wanita yang berdiri di bahu jalan menahan teksi yang dipandunya.

Nak ke mana cik..? Tanya Khairi sambil menekan meter tambangnya. Serta-merta hidungnya menangkap bau wangian yang memenuhi ruang kenderaannya ketika itu.

“Selayang…” Jawabnya ringkas. Khairi mengerutkan dahi. Ringkas sangat jawapan yang diberikan wanita tersebut. Dalam hatinya berkata, Selayang itu cukup besar daerahnya, kalau diberi lokasi yang tepat alangkah bagusnya.

“Err… Selayang tu kat area mana cik? Tanya Khairi lagi inginkan kepastian.

“Tak apa, abang drive je, nanti bila nak sampai saya tunjukkan jalan…,” kata wanita tersebut sambil membetulkan duduknya. Khairi mengangguk. Dia tidak mahu bertanya lagi takut kalau-kalau pelanggannya itu tidak berminat untuk bersembang. Khairi sedia maklum penumpang teksi ini ada pelbagai ragam, ada yang kaki bersembang dan ada tidak. Jadi kena ikut rentak penumpang itu sendiri.

Khairi jeling dari cermin sisi. Penumpang wanita yang dibawanya ini mungkin berusia awal 30-an. Raut wajahnya manis dan matanya sedikit sepet. Rambutnya hitam separas bahu. Dari cara pemakaiannya mungkin dia baru pulang dari kerja atau mesyuarat.

“Abang memang bawa teksi sampai larut malam ke?” tanyanya.

Khairi tersentak. Dia tak sangka akhirnya wanita tersebut ingin berbual dengannya.

“Errr… kadang-kadang saja cik. Selalunya pukul 11 malam saya dah balik rumah, tapi sebabkan siang tadi saya keluar lewat jadi malam ini saya baliklah lewat sikit daripada biasa. Cik ini pun pelanggan terakhir saya malam ini. Lepas hantar cik, teruslah saya balik. Kebetulan rumah saya di Gombak, jadi sekali jalan jugalah…” jelas Khairi panjang lebar.

Mereka berdua akhirnya berbual rancak. Ketika kereta yang dipandu melewati Taman Wahyu, sekali lagi Khairi bertanya.

“Cik, kita dah masuk area Selayang ni. Saya nak hantar cik dekat mana?” Tanya Khairi sekali lagi.
“Itulah saya pun tengah berfikir mana nak berhenti ini, sebab saya ingat nak tengok tapak rumah baru saya..” jawab wanita tersebut sambil sesekali membetulkan rambutnya.

Sekali lagi Khairi pening dengan jawapan wanita tersebut. Dalam hatinya tertanya sendiri kenapalah wanita ini ingin melihat tapak rumah di waktu malam-malam buta begini. Kalau waktu siang kan lebih bagus.
“Err… tapak rumah dekat mana pula tu? Kalau ada alamatnya boleh saya bawa cik terus ke sana..” soal Khairi lagi inginkan jawapan.
“Abang tahu tak tanah perkuburan dekat Selayang ini?” tanya wanita itu kembali.
Tersirap darah Khairi mendengar kata-kata yang keluar daripada mulut wanita tersebut. Dia mula rasa tak sedap hati. Jantungnya tiba-tiba berdebar kencang.

Khairi masih belum menjawab soalan wanita tersebut. Jari jemarinya yang kemas memaut stereng ketika itu terasa kaku. Manik-manik peluh sudah mula terbit di dahinya walaupun udara dalam kereta cukup dingin ketika itu. Kaki Khairi masih menekan pedal minyak. Dia buntu tidak tahu ke mana arah yang perlu ditujunya ketika itu, namun dia cuba kuatkan semangat.

Jadi sekarang ini kita nak ke mana cik? Saya tak tahu nak berhenti di mana ini…” jawab Khairi sedikit gugup.

Wanita itu tidak menjawab. Sesekali terdengar suaranya perlahan seolah menggomel sendirian. Khairi semakin tak sedap hati. Lantas dia memperlahankan kenderaannya.

“Abang bawa saya ke mana-mana tanah perkuburan yang abang tahu. Saya nak turun dekat situ nanti…” jawab wanita tersebut.

Ahhh, sudah! Khairi memang tidak mampu lagi membendung rasa takutnya ketika itu. Dalam hatinya sudah mula curiga dan rasa ada sesuatu tidak kena dengan wanita yang menjadi penumpangnya ketika itu. Lantas Khairi memberhentikan keretanya di bahu jalan.

“Err.. kenapa nak turun di kubur pula? tanya Khairi sedikit cuak. Namun dia masih berasa was-was dan takut untuk menoleh ke arah wanita yang berada di belakangnya ketika itu.

Tiba-tiba tanpa disangka wanita tersebut mengilai dengan kuat. Khairi tersentak. Nasib baiklah dia sudah memberhentikan kereta tadi, jika tidak pasti sudah dirempuhnya penghadang jalan ketika itu.

Seluruh anggota tubuh Khairi sudah dibasahi peluh. Waktu itu hanya Allah SWT sahaja yang tahu perasaannya. Ingin sahaja dia keluar dari kereta dan berlari selaju-lajunya, namun kakinya seolah terpasak di bumi dan tak mampu berbuat apa.

Hilaian panjang wanita tersebut masih belum berakhir. Dari cermin sisi di hadapannya Khairi dapat melihat wajah yang cukup menyeramkan berada di kerusi belakang keretanya. Bau wangi yang dihidunya sebentar tadi sudah bertukar hanyir dan busuk sehinggakan dia berasa loya dan nak muntah.

Wajah wanita tersebut cukup hodoh. Nampak bola matanya yang merah serta barisan giginya yang berceracak tidak tersusun.

“Kenalah tengok rumah baru bang. Nanti rumah baru abang dekat situ juga… Hiiiiiiii… Hiiiiiiiii… Hiiiiiiiii….. Hiiiiiiii…” katanya sambil mengilai kuat.

Khairi pengsan di kerusi pemandu. Dia langsung tidak tahu apa yang terjadi lagi selepas itu. Ketika azan subuh berkumandang barulah dia tersedar itu pun bila telefon bimbitnya berdering bertalu-talu. Selepas menjawab panggilan dari isterinya, dia terus pecut kereta pulang ke rumah.

Gara-gara kejadian itu Khairi terlantar demam hampir seminggu. Pengalaman tersebut juga membuatkan Khairi tidak berani lagi membawa teksi hingga larut malam. Dia juga lebih berhati-hati memilih penumpang, apatah lagi penumpang wanita berseorangan. Pengalaman lalu cukup memberi kesan dalam hidupnya.

Kisah ini telah disiar di akhbar Mingguan Malaysia bertarikh 20 September 2020. Ilustrasi janaan AI

MMToon dimiliki oleh Media Mulia Sdn. Bhd. yang memegang hak cipta dan menerbitkan akhbar Utusan Malaysia, Mingguan Malaysia, Kosmo! dan Kosmo!Ahad
Tidak dibenarkan menerbitkan semula dalam sebarang bentuk atau dengan apa-apa cara, termasuk fotokopi, rakaman, atau lain-lain kaedah elektronik atau mekanikal
tanpa kebenaran pihak MMToon dan Media Mulia Sdn Bhd.

Hak cipta terpelihara © 2025, MMTOON
Media Mulia Sdn. Bhd. 201801030285 (1292311-H)

error: Content is protected !!