MMToon

SIAPA JIRAN AKU SELAMA INI?

Oleh Roshihan Annuar Yub

Sudah tiga hari Hisham menginap di flat dua bilik itu, namun dia masih belum berkesempatan mengenali penyewa di bilik sebelahnya. Tetapi saban malam ketika ingin melelapkan mata telinganya dapat menangkap bunyi pintu bilik sebelah dibuka dan ditutup. Tanda jiran sebelahnya sudah pulang dari kerja.  Pernah juga Hisham terfikir untuk keluar sebentar dan menyapa rakan barunya itu, namun bila fikirkan sudah lewat malam, rasa tidak molek pula.

Yang menghairankan Hisham, setiap pagi ketika bangun untuk menuju ke bilik mandi, pintu bilik jirannya itu sudah siap berkunci kemas. Pening dia fikir. Entah jam berapa jiran sebelahnya itu bangun dan keluar bekerja. Mungkin selepas solat subuh agaknya. Fikirnya dalam hati.

Malam itu hujan lebat dan petir sabung menyabung membingitkan suasana sunyi di rumah flat yang terletak di tingkat lima itu. Sedang Hisham menggelamun tiba-tiba dia tersentak bila terdengar pintu rumah dibuka perlahan. Hisham menoleh. Kelihatan seorang lelaki muda lingkungan usia 30-an sedang basah kuyup melangkah masuk.

Mungkin inilah jiran sebelah biliknya, fikir Hisham dalam hati. Lantas dia berjalan menuju ke arah lelaki tersebut untuk memperkenalkan diri.

“Assalamualaikum. Saya Hisham, dan awak pula? tanya Hisham sambil menghulurkan salam perkenalan.

“Saya Zaini…,” kata pemuda tersebut sambil menyambut jabat Hisham.

Raut wajah Zaini di hadapannya sedikit cengkung dan pucat mungkin akibat kesejukan menunggang motosikal dalam hujan lebat tadi. Selepas bersembang seketika, Zaini meminta diri masuk ke bilik.

Hisham tersenyum lega. Akhirnya dapat juga bertemu jiran di sebelah biliknya.

Keesokan paginya ketika ingin ke bilik mandi dia menjeling ke arah bilik Zaini. Seperti biasa biliknya sudah  berkunci. Hisham tinjau di dapur. Topi keledar dan baju hujannya juga sudah tiada di tempat penyidai.

Nampaknya Zaini memang awal pagi sudah keluar ke tempat kerja. Fikirnya dalam hati.

Malam itu, selepas Maghrib Hisham pulang ke rumah. Namun sebaik masuk tiba-tiba dia terhidu bau kemenyan dan kapur barus yang cukup kuat. Hisham menggosok hidungnya berkali-kali, namun bau tersebut terus menusuk ke rongga hidungnya. 

Hisham jeling ke arah bilik Zaini. Masih berkunci kemas. Pelik! Dari mana pula datangnya bau ini, takkan dari luar pula kerana tingkap semua berkunci dan tertutup rapat. Hisham garu kepalanya yang tidak gatal. Lantas dia mencapai tuala dan berlalu ke bilik mandi.

Sebaik sahaja selesai mandi dan berjalan menuju ke arah biliknya tiba-tiba dia terdengar pintu rumah dikuak dari luar.

Dilihatnya Zaini terpacul di pintu sambil menggalas baju hujannya yang basah kuyup di tangan.

Lewat balik hari ini. Memang setiap malam kerja overtime ke?” Sapa Hisham sambil menggosok-gosok rambutnya dengan tuala kecil.

Zaini hanya tunduk sambil mengangguk kepala. Dia langsung tidak menjawab pertanyaan Hisham. Lantas dia ke dapur meletakkan topi keledar dan menyangkut baju hujannya di ampaian sebelum masuk ke dalam bilik. Pelik Hisham lihat gelagat jirannya yang berat mulut itu.

Nasib baiklah dia menyewa di situ hanya enam bulan sahaja kerana dihantar majikannya untuk melakukan kerja audit. Kalau tinggal lebih lama mahu mati kutu dibuatnya. Tambah pula bila dapat rakan serumah yang tak suka bercampur gaul.

Bau kapur barus dan kemenyan yang kuat semerbak tadi sudah beransur hilang. Hisham menarik nafas lega. Sekarang ini dia hanya mahu tidur lena sebab esok dia bercadang untuk keluar membeli-belah di pekan.

Keesokan paginya ketika ke bilik mandi Hisham menjeling ke arah bilik jirannya. Seperti biasa bilik tersebut berkunci dari luar.

Hisham mengerutkan dahi. Pening dia memikirkan perangai rakan serumahnya ini. Sudahlah tak banyak cakap, rutinnya pula hanya pergi kerja, balik kerja dan tidur. Jarang dia jumpa lelaki bujang berperangai begitu.

Sedang dia khusyuk bersiap di hadapan cermin tiba-tiba dia mendengar pintu rumah diketuk dari luar.

Bergegas Hisham membuka pintu. Rupa-rupanya Cikgu Azmi, tuan rumahnya datang menziarah.

Maaf Sham. Ganggu pagi-pagi ini. Saya ada bawa sedikit makanan. Isteri masak lebih tadi. Nanti bolehlah makan,” kata Cikgu Azmi sambil menghulurkan bungkusan plastik di tangannya.

“Alhamdullillah. Terima kasih bang. Susah-susah saja. Nanti sampaikan salam saya buat kakak ya,” kata Hisham sambil menjinjit kemas bungkusan di tangannya.

“Alah, benda kecil saja. Kami tahu kamu seorang diri dekat sini. Takkanlah asyik nak makan di kedai saja. Jadi, sesekali kami masaklah lebih,” jawab Cikgu Azmi panjang lebar.

“Terima kasih bang. Nanti bolehlah saya makan dengan kawan bilik sebelah ini,” jawab Hisham sambil menyarung stoking di kakinya

“Err… kawan yang mana pula ini Sham? tanya Cikgu Azmi kehairanan.

“Laaa… Zainilah bang. Kawan bilik sebelah saya ni. Abang tak tahu nama  dia?

Lelaki separuh abad itu mengerutkan dahi. Air mukanya serta-merta bertukar gelisah.

Kau ada jumpa Zaini?” Cikgu Azmi bertanya sedikit gugup.

Hisham mengangguk kehairanan. Pelik pula dia dengan soalan Cikgu Azmii.

“Err… berapa kali kau dah jumpa dia?,” soal Cikgu Azmi lagi  ingin tahu.

“Setiap malam juga saya jumpa dia, tapi kami tak sembang panjang pun. Dia pula sampai rumah terus masuk bilik,” jawab Hisham tersengih.

Muka Cikgu Azmi berubah gelisah. Dia percaya Hisham tak akan menipu.

Errr…macam ini lah. Saya nak cakap pun serba salah, tapi biarlah saya jujur saja supaya tak berlaku perkara yang tak diingini selepas ini,” kata Cikgu Azmi sedikit gugup.

“Sebenarnya, Zaini yang kau maksudkan itu, sudah meninggal dunia tiga bulan lalu. Dia meninggal masa pulang dari kerja.

Waktu itu hujan lebat. Motor yang dia naiki berlanggar dengan lori pasir. Arwah meninggal di tempat kejadian,” tutur Cikgu Azmi sambil mengusap mukanya.

Terlopong Hisham mendengar cerita yang keluar dari mulut Cikgu Azmi. Jantungnya tiba-tiba terasa luluh. Serta-merta seluruh anggotanya berasa lemah.

Dia tergamam. Tak tahu apa yang ingin dikatakannya ketika itu.

Jadi siapakah yang dilihatnya pulang ke rumah setiap malam selama ini?

Kisah ini telah disiar di akhbar Mingguan Malaysia bertarikh 2 Ogos 2020. ilustrasi janaan AI

MMToon dimiliki oleh Media Mulia Sdn. Bhd. yang memegang hak cipta dan menerbitkan akhbar Utusan Malaysia, Mingguan Malaysia, Kosmo! dan Kosmo!Ahad
Tidak dibenarkan menerbitkan semula dalam sebarang bentuk atau dengan apa-apa cara, termasuk fotokopi, rakaman, atau lain-lain kaedah elektronik atau mekanikal
tanpa kebenaran pihak MMToon dan Media Mulia Sdn Bhd.

Hak cipta terpelihara © 2025, MMTOON
Media Mulia Sdn. Bhd. 201801030285 (1292311-H)

error: Content is protected !!