
Oleh Roshihan Annuar Yub
Johari berlari-lari anak menuju masuk ke lorong rumahnya. Sesekali matanya mencuri pandang ke arah tanah merah di bawah, risau pula jika kakinya tersadung pada akar pokok yang berselirat di kiri kanan jalan.
Memang begitulah aktiviti rutinnya jika hujung minggu. Dia akan berjogging ambil angin di sekitar kawasan berdekatan. Baginya itulah sahaja cara untuk dia mengeluarkan peluh setelah penat bekerja.

Kerana itulah dia dan tiga rakannya sengaja menyewa rumah di pinggir bandar kerana penempatan di situ seperti kampung yang masih punya banyak rumah kayu dan pohon hijau.
Udara dan suasananya pula cukup nyaman dan tenang. Kalau waktu malam pula meriah dengan bunyi unggas dan cengkerik, tidak ubah seperti berada di kampung halaman sendiri.

Remang senja semakin dilitupi gelap malam. Johari toleh jam di tangan, sudah hampir pukul 7.45 malam. Sebaik sampai di tangga terus dia membuka kasut dan stoking sambil meluru masuk.
Dilihatnya pintu tidak berkunci, terus dia intai ke arah dalam nampak rakannya Rauf sedang duduk di sofa ruang tamu sambil membelek helaian akhbar yang berada di tangannya.

Eh, ada pula hang? Kata semalam nak balik kampung? Awat, tak jadi ke?” Tanya Johari sambil melangkah ke arah dapur.
“Nantilah sembang beb. Aku hendak solat dulu, nanti habis pula waktu Maghrib,” sambungnya lagi sambil mencapai tuala di kerusi.
Rauf tidak menoleh mahupun menjawab. Dia masih lagi khusyuk membaca akhbar di tangannya. Hampir 20 minit kemudian barulah Johari muncul ke ruang tamu. Terus dia duduk berdekatan Rauf sambil membuka televisyen di hadapannya.

Eh, kenapa kau tak buka TV ini? Kan sudah terlepas berita utama,” tanya Johari.
Rauf masih tidak menjawab. Johari mengerling ke arahnya sambil mengerutkan dahi.
“Eh, kau kata hendak balik kampung sebab ada kenduri? Kenapa tiba-tiba tak jadi balik pula?” tanya Johari lagi.
Rauf tidak memandang wajah rakannya. Matanya masih lagi tertumpu ke arah akhbar yang dipegang.

Memang aku ingat hendak balik, tapi badan rasa tak sedap pula. Itu yang aku cancel,” kata Rauf perlahan.
Johari mengangguk tanda faham. Sekali lagi dia jeling ke arah Rauf yang masih khusyuk menatap akhbar yang dipegang. Pelik pula dia melihat rakannya itu. Biasanya Rauf cukup banyak cakap kalau ditanya, tetapi malam ini sikapnya cukup berbeza. Sepatah ditanya, sepatah sahaja yang dijawabnya.
Ingin sahaja rasanya dia mengajak rakannya itu berbual, tetapi apabila melihatkan reaksi Rauf yang seakan tidak mahu diganggu terus dibatalkan hasratnya.

Dingin malam semakin terasa. Sesekali kelihatan pancaran kilat di cermin tingkap berdekatan. Johari belek telefon bimbit di tangan, bosan juga fikirnya kalau rakan serumah tiba-tiba tiada mood dan tidak mahu bercakap. Dia mengeluh panjang, entah kenapa tiba-tiba perutnya rasa berkeroncong lapar.
“Eh, aku nak keluar cari makanan, kau nak ikut tak?” Tanya Johari.
Rauf hanya menggeleng tanpa menoleh ke arahnya. Johari bingkas bangun sambil mencapai topi keledar di tepi pintu.

Kau nak kirim apa-apa makanan tak?” tanya Johari ketika ingin melangkah keluar.
Ketika itulah Rauf menoleh ke arahnya sambil tersenyum.
“Tak apalah, kau pergilah makan. Aku dah kenyang ni,” jawab Rauf ringkas.
Johari memecut motosikal yang ditungganginya. Kedai makan yang ingin dituju hanya berjarak kira-kira satu kilometer dari rumahnya. Dahulu ada juga sebuah warung berdekatan simpang rumahnya, tetapi sejak peniaganya berpindah warung tersebut terus kosong tanpa penyewa baharu.

Sebaik sampai Johari terus memesan makanan. Ketika itulah timbul rasa bosannya kerana terpaksa makan seorang diri. Jika sebelum ini pasti rakan serumahnya Adib, Samsuri atau Rauf ada bersama, tetapi dua daripadanya ambil keputusan untuk pulang ke kampung menjenguk orang tua.
Dan sepatutnya Rauf juga mengikut mereka pulang ke kampung, tetapi seperti katanya mungkin disebabkan tidak sihat terus dia batalkan niat. Bagaimanapun dia tetap bersyukur sekurang-kurangnya ada juga temannya di rumah malam nanti, fikirnya dalam hati.

Sedang dia mengelamun sambil menunggu pesanan, tiba-tiba bahunya ditepuk dari belakang.
“Eh, Jo kau tapau makanan ke?” kedengaran satu suara menegurnya.
Serta merta Johari menoleh. Rupa-rupanya jiran berdekatan rumahnya, Hisham yang menegur.
Johari mengangguk sambil menghulurkan tangan bersalam. Lantas mereka berbual rancak sementara menunggu makanan siap.

Wah, malam ini kau line clearlah eh, sorang-sorang di rumah,” kata Hisham tersengih.
Johari mengerutkan dahi seakan tidak faham apa yang disampaikan oleh jirannya itu.
“Laa, kan kawan serumah kau semua balik kampung, kira line clearlah tu,” sambung Hisham lagi.
Johari tersengih. Barulah dia faham maksud Hisham sebentar tadi.

Eh, bila masa pula aku tinggal seorang? Rauf ada di rumah, dia tak jadi balik kampunglah,” sambung Johari.
Hisham garu kepala sambil kerutkan dahi.
“Eh, kau biar betul Jo! Tengah hari tadi aku jumpa dia orang bertiga di bus stop di pekan. Aku tunggu sampai semua naik bas kot,” kata Hisham panjang lebar.
Johari memandang Hisham tanpa kata-kata.

Ishh, Rauf tak jadi baliklah, dia ada je di rumah tadi. Tadi sebelum keluar ini pun aku ada ajak, tapi dia tak nak,” sambung Johari.
Hisham masih tidak berpuas hati. Mati-mati dia mengatakan Rauf pulang ke kampung bersama dua rakannya.
Dia lantas menyuruh Johari bertanya kepada Adib atau Shamsuri untuk dapatkan penjelasan. Tanpa banyak soal terus Johari hubungi rakannya di kampung.

Betullah Adib kata mereka sama-sama balik ke kampung tadi, tapi aku rasa mesti Rauf balik semula ke sini. Tak apa, aku nak call Rauf pula,nak tahu cerita sebenar,” kata Johari selepas selesai berbual dengan Adib.
Beberapa ketika berbual dengan Rauf, tiba-tiba wajah Johari bertukar pucat.
“Aku call Rauf, betullah dia ada di kampung sekarang ini,” jelas Johari dengan suara bergetar.

Hisham seolah-olah dapat meneka apa yang berlaku ketika itu. Lantas dia cuba menenangkan Johari yang sudah pucat lesi dan ketakutan.
Mereka saling berpandangan tanpa sebarang kata-kata. Cuma yang bermain di benak mereka sekarang ini siapa lelaki di rumah tersebut yang menyerupai Rauf itu.
