MMToon

APA JADI DENGAN JENAZAH TOK LEMAN

Kisah ini berlaku lebih kurang 25 tahun lalu, tetapi masih saya ingat sehingga kini. Bila dikenangkan kembali memang cukup menginsafkan, apatah lagi jika perkara tersebut berkaitan kematian. Semoga kisah yang saya ceritakan ini akan menjadi pengajaran serta pedoman buat kita semua dalam menjalani kehidupan seharian sebelum dijemput sakaratul maut satu hari nanti. Begini ceritanya…

Selesai menunaikan solat Maghrib, saya dan rakan-rakan berehat santai di ruang beranda surau. Sedang kami rancak berbual, tiba-tiba muncul Deris dengan wajah pucat dan termengah-mengah.

Assalamualaikum semua, saya baru dapat berita, Tok Leman meninggal dunia,” katanya sambil memandang kami dengan nafas tercungap.”

Saya dan beberapa rakan lain terkejut sambil berpandangan, pelik juga rasanya kerana baru pagi tadi kami berjumpa dengan Datuk Leman sewaktu majlis gotong royong membersihkan tanah perkuburan di hujung kampung.“Innalillahiwainnalillahihirojiun… betul ke apa yang kau cakap ini Deris? Tanya Alang Kadir yang masih sangsi dengan berita tersebut.

“Betul Lang, saya baru lepas balik dari rumah arwah. Datin yang beritahu saya tadi, Sekarang ini mereka tengah tunggu jenazah sampai dari hospital,” sambung Deris sebelum meminta diri.

Saya lihat Alang Kadir mengeluarkan telefon bimbit dari kocek baju Melayunya dan membuat penggilan. Saya tidak tahu siapa yang dia hubungi dan apa butir bicaranya, yang pasti wajahnya cukup serius ketika itu. Selang beberapa ketika kemudian barulah Alang Kadir menamatkan panggilan. Terus dia datang ke arah saya dan rakan-rakan yang ada di situ.

Wajahnya sugul seperti ada sesuatu terbuku di hatinya. “Saya baru lepas maklumkan dengan tok ketua, dia dalam perjalanan pulang dari pekan, nanti lepas Isyak dia minta kita semua terus ke rumah arwah,” kata Alang Kadir perlahan.

Saya dan jemaah lain berada di situ hanya menganggukkan kepala. Fikiran masih melayang jauh memikirkan berita kematian Tok Leman yang baru didengar ketika itu.

“Aku baru bercakap dengan isteri Tok Leman. Katanya, lepas dia balik dari gotong royong siang tadi terus dia sesak nafas kemudian anaknya bawa ke hospital, dan sebelum Maghrib tadi terus dia meninggal,” Kata Alang Kadir perlahan.

Kami yang berada di situ mengangguk faham. Ikutkan hati banyak lagi yang ingin saya tanyakan, tapi saya tahu Alang Kadir juga seperti kami, tidak tahu cerita yang sebenarnya jadi adalah lebih baik kalau nanti bertanyakan dengan isteri atau ahli keluarga arwah, pasti dapat cerita sebenarnya.

Selesai solat Isyak, kami semua menuju ke rumah Tok Leman. Sebaik sampai kami disambut oleh beberapa ahli keluarga arwah. Memang nampak raut kesedihan di wajah mereka, apatah lagi bila arwah pula meninggal dalam keadaan mengejut seperti ini, pasti ramai yang tidak menyangka.”

“Kami semua tidak sangka ayah meninggal dunia mengejut macam ini, sedangkan siang tadi elok saja dia pergi majlis gotong royong dan ke pekan,” kata Hafiz, salah seorang anaknya.

Saya angguk perlahan sambil memegang bahunya. Saya faham sebagai anak bukan mudah untuk menerima berita seumpama ini apatah lagi dalam keadaan mengejutkan seperti ini.

“Itulah, saya pun terkejut juga bila dengar arwah meninggal dunia. Sedangkan pagi tadi dia ada bersama-sama orang kampung datang membantu gotong royong kat tanah wakaf,” kata saya lagi.

Ikutkan penduduk kampung memang kenal sangat dengan arwah Datuk Leman. Dia orang paling berpengaruh dan kaya di daerah kami. Pelbagai jenis perniagaan dia ada, dari yang kecil sehinggalah yang besar.

Hartanya memang melimpah ruah, tidak terkira banyaknya, termasuklah ladang sawit dan kelapa yang berpuluh ekar luasnya.

Datuk Leman juga ada syarikat kontraktor dan pemegang AP yang menjalankan kerja-kerja menggorek pasir di sungai di daerah kami. Di situ sahaja dia ‘makan tak habis’, perniagaan lain yang kami tidak tahu, wallahualam.

Arwah juga bukan orang sembarangan, pengaruhnya cukup besar dan disegani. Dia banyak bergaul dengan orang politik, sebab itulah dia mudah dapat pelbagai tender di kawasan ini.

Ketika hayatnya dia tidaklah bergaul sangat dengan penduduk kampung kerana masanya lebih banyak dihabiskan di bandar, kalau dia muncul di kampung pun biasanya atas urusan perniagaan atau mendapat apa-apa jemputan.

Sebelum ini ramai juga penduduk kampung yang bekerja dengan arwah, terutamanya di ladang-ladang kepunyaannya Namun ramai juga yang berhenti atas beberapa faktor, tetapi saya tidaklah tahu dengan jelas, sekadar masuk telinga kanan dan keluar telinga kiri sahaja.

Beberapa rakan saya pernah bekerja dengannya tetapi semuanya telah berhenti. Dan salah seorangnya Malik, sebelum ini dia pernah juga bercerita dengan saya tentang ketidakpuas hatinya dengan arwah.”

Katanya, jika orang tidak mengenali Datuk Leman mungkin semuanya nampak baik sahaja, namun hakikatnya dia punyai sikap yang cukup menjengkelkan, malah ada ketikanya keterlaluan.

Bukan sekadar kedekut dan berkira dengan pekerja, malah tenaga mereka juga sentiasa dikerah dengan bayaran yang langsung tidak setimpal dan masuk akal. Itu belum masuk bab maki hamun lagi sehinggakan semua pekerja sudah lali dan mana-mana yang tidak tahan terus cabut, angkat kaki.

“Kau bayangkan kalau kita solat Zuhur dan Asar masa tengah kerja, dia takkan bagi percuma, kau kena ganti balik masa itu, dan kalau kau tidak ganti dia akan potong gaji kau! Aku yang dulu pernah kerja dengan syarikat Cina pun tidak macam itu,” kata Malik sewaktu saya bertanya kepadanya selepas dia berhenti kerja dahulu.

Lamunan saya terhenti apabila terdengar suara riuh mengatakan jenazah arwah sudah sampai ke pekarangan rumah banglo dua tingkat itu. Saya dan beberapa penduduk kampung yang berada di situ bergegas keluar menuju ke halaman sambil memerhatikan kenderaan yang membawa jenazah menuju masuk ke garaj.

“Jom kita sama-sama tolong bawa jenazah masuk ke dalam rumah,” kata salah seorang ahli keluarganya di situ.
Sebaik sahaja pintu belakang kenderaan dibuka, kami semua terus membantu mengangkat pengusung yang berisi jenazah, namun entah kenapa hati saya tiba-tiba berdetik, “Ya Allah, beratnya,” bisik saya dalam hati.

Berkerut wajah saya ketika itu, namun saya cuba berlagak selamba seolah-olah tiada apa yang berlaku. Saya toleh ke arah rakan-rakan lain, nampak seperti ada yang tersirat di benak mereka seolah merasai apa yang saya lalui ketika itu.

Ketika menyusun langkah menuju ke dalam rumah, entah kenapa tiba-tiba hidung saya menangkap aroma yang kurang menyenangkan. Bau seperti ikan busuk yang cukup meloyakan, namun saya tidak pasti dari mana datangnya bau itu, adakah dari jenazah yang kami bawa atau sebaliknya.

Sekali lagi saya toleh ke arah rakan lain, benar! Nampak mereka juga seperti saya kurang selesa sehinggakan hidung masing-masing kembang kempis seakan menahan nafas.

Kami meletakkan jenazah di tempat pembaringan yang disediakan di ruang tamu. Beberapa ahli keluarga arwah sudah mula memenuhi ruang tersebut. Masing-masing nampak seakan tidak sabar untuk menatap arwah buat kali terakhir.

“Ada bekas kemenyan tak? Kalau ada boleh bakar dan letakkan di sini,” kata salah seorang ahli keluarga arwah. Saya faham apa maksudnya, tujuannya tidak lain tidak bukan untuk menutup bau kurang enak dari jenazah tersebut.

Setelah penutup keranda dibawa pergi, tinggallah jasad arwah di ruang tamu. Saya dan beberapa tetamu tidak mahu tergopoh gapah untuk melihat jasad arwah, seeloknya biarlah ahli keluarganya dahulu berbanding kami.

“Allahuakbar,” kata salah seorang ahli keluarga arwah sebaik sahaja dia membuka kain yang menutupi tubuh arwah. Saya meninjau ingin tahu, namun tidak sempat untuk melihat apa-apa kerana dengan pantas dia menutup kembali kain tersebut.

Wajahnya nampak terkejut dan tergamam seakan melihat sesuatu yang di luar jangkaan. Isteri dan anak arwah kemudiannya menghampiri jenazah dan membuka kain batik yang menutupi jasad arwah. Saya lihat wajah isterinya tergamam seketika sebelum dia memanggil beberapa ahli keluarga yang lain untuk datang ke situ.

Kain yang menutupi jenazah dibuka, saya dapat lihat dengan jelas wajah dan tubuh arwah ketika itu. Allahuakbar, lain sungguh rupanya. Sangat berbeza dengan sisi arwah ketika hayatnya. Wajahnya sudah kehitaman, perutnya membusung daripada biasa malah beberapa anggota badannya juga sudah bengkak dan kembung.

Saya beristighfar beberapa kali. Memang pelik benar rupa mayat di hadapan saya ini. Saya tidak tahu mengapa jadi begitu, saya rasa setiap tetamu yang melihatnya juga berfikiran sama seperti saya. Masing-masing berfikir kenapa jasad arwah boleh jadi sebegitu rupa?

Bau busuk dan meloyakan itu sudah memenuhi segenap ruang di rumah dua tingkat itu. Beberapa tetamu yang berada di situ nampaknya sudah tidak mampu menunggu lama sehinggakan ada yang keluar untuk mengambil udara segar.

Ustaz, boleh tak kalau kita kebumikan jenazah arwah secepat mungkin, kalau boleh malam ini juga,” kata isterinya kepada Ustaz Jamal yang berada di sebelah saya.

“Saya kasihan tengok arwah macam ini. Tidak sanggup saya hendak biarkan lama-lama. Lagipun kalaulah ada kenalannya atau penduduk kampung yang datang ziarah nanti pasti akan menjadi buah mulut, kasihan dekat arwah,” sambungnya lagi.

Ustaz Jamal mengangguk faham. Saya tahu apa yang bersarang di jiwanya ketika itu. Apa yang dikatakan oleh isteri arwah memang ada benarnya. Bukan mudah untuk menutup mulut orang, jadi jika ada jalan terbaik eloklah lakukan segera, sekurang-kurangnya boleh menjaga aib dan maruah keluarga si mati.

Ustaz Jamal menggamit Alang Kadir yang ada berdekatan. Dia membisikkan sesuatu. Saya lihat Alang kadir sekadar mengangguk tanpa sepatah kata. Tidak lama kemudian dia mengeluarkan telefon bimbit lantas menghubungi seseorang.

Dari bicaranya, saya yakin dia menghubungi Abang Majid yang merupakan penggali kubur di daerah kami.
“Kalau macam itu saya minta semua ahli keluarga arwah yang nak lihat jenazah bolehlah lihat sekarang, kerana selepas mandikan, kita akan terus kafan dan kebumikan malam ini juga.

“Sementara kita siapkan tempat mandi jenazah ini, eloklah semua yang ada di sini buat bacaan yasin untuk kita sedekahkan kepada arwah,” kata Ustaz Jamal kepada semua yang berada di situ.

Bacaan yasin bergema di kediaman dua tingkat milik arwah. Sementara itu, beberapa ahli keluarga dan penduduk kampung mula menyiapkan tempat mandi jenazah.

Nasib baiklah segala kelengkapan seperti kain kafan, kapur barus, kapas dan sebagainya sudah disediakan awal, jika tidak susah juga untuk mencarinya pada waktu malam begini.

Setelah para tetamu selesai membaca yasin, kami membawa jenazah arwah untuk dimandikan. Sekali lagi berlakunya perkara pelik kerana setiap kali perutnya diurut dan ditekan setiap kali jugalah najisnya keluar tanpa henti. Kami semua berpandangan, namun Ustaz Jamal menenangkan kami, katanya itu adalah perkara biasa bagi mayat yang ingin dimandikan.

Walaupun menghadapi pelbagai kesukaran, akhirnya jenazah Datuk Leman selamat dimandi dan dikafankan. Saya lihat isteri arwah dan anggota keluarga lain menarik nafas lega. Nampaknya segala kesulitan yang berlaku dapat diatasi sepenuhnya. Tidak putus-putus mereka mengucapkan terima kasih kepada Ustaz Jamal atas segala bantuan yang diberikan.

“Terima kasih ustaz, Alhamdulillah. Selamat urusan semuanya. Kalaulah tak ada ustaz tidak tahulah apa yang jadi,” kata Datin Nani, isteri arwah.

Ustaz Jamal hanya tersenyum. Saya dapat lihat ketenangan di raut wajahnya. Fikir saya sebagai seorang berpengalaman pastinya dia sudah biasa melalui situasi seperti ini.

Selesai sahaja urusan sembahyang, jenazah arwah terus dibawa ke tanah perkuburan untuk disemadikan. Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar tanpa sebarang kesulitan.”

Ketika talqin dibaca saya dapat lihat beberapa kenalan arwah hadir di situ, mungkin agaknya mereka baru terima berita yang jenazah arwah akan dikebumikan pada malam itu juga.

“Kenapa tidak tunggu esok sahaja kebumikan? Ramai lagi kenalan arwah hendak datang ziarah,” kata Datuk Mansur kepada Datin Nani.

Saya tidak tahu apa jawapan yang diberikan oleh Datin Nani, namun saya percaya dia akan memberikan alasan bijak dan bernas untuk menutup perkara yang berlaku.

Setelah selesai urusan pengebumian, kami meminta diri untuk beredar. Sepanjang perjalanan pulang ke rumah fikiran saya merewang jauh memikirkan apa yang berlaku pada jenazah Tok Leman, sudahlah ‘dijemput’ secara tiba-tiba, kemudian timbul pula perkara yang tidak diingini.

Saya berfikir apa yang menyebabkan jenazah arwah jadi sebegitu rupa. Memang pelik kerana jenazah tersebut bukanlah disimpan lama, malah hanya beberapa jam, tetapi kenapa boleh jadi sedemikian rupa? Saya tidak dapat mencari jawapannya.

Keesokannya cerita Tok Leman meninggal dunia kembali menjadi buah mulut. Namun yang tidak enak didengar apabila ada yang bercerita kononnya jenazah Tok Leman tidak sempurna lalu dikebumikan dalam masa singkat semata-mata untuk menutup rasa malu pihak keluarga.

Saya tidak tahu siapa yang menjaja cerita tersebut. Maklumlah, mulut orang mana boleh ditutup. Pasti akan terkeluar juga cerita-cerita yang kurang enak sebegini sehinggakan perkara yang tidak wujud pun ditokok tambah.

Hari Jumaat berikutnya saya terserempak dengan anak saudara arwah Tok Leman, Hashim ketika kami beriringan keluar dari masjid selepas selesai menunaikan solat jumaat. Sempat juga saya bertanya tentang perniagaan arwah, maklumlah arwah memang banyak bisnes, jadi bila dia meninggal dunia mestilah ada orang lain yang menguruskannya.

Menurut Hashim, semua perniagaan arwah dikendalikan oleh anak-anaknya, namun dia turut membantu terutamanya berkaitan pembinaan. Saya angguk faham.

Memang selayaknya Hashim membantu uruskan hal tersebut kerana dia juga mempunyai kelulusan dalam bidang berkaitan,

Tiba-tiba Hashim bertanya kepada saya tentang arwah, katanya, adakah saya terkejut apabila melihat jenazah arwah pada hari dia meninggal dunia? Saya terdiam sambil memandang ke arahnya dengan seribu persoalan.

Sebenarnya kami sekeluarga pun pelik bang. Tak tahu kenapa jenazah arwah boleh jadi seperti itu. Macam ada sesuatu yang tidak kena, tapi entahlah. Saya pun tiada jawapan.”

“Saya rasa mungkin Allah hendak tunjukkan sesuatu kepada kita. Mungkin ada sisi lain yang orang tidak pernah tahu tentang arwah,” katanya kepada saya.

Saya tersenyum. Mungkin benar apa yang diperkatakan Hashim itu namun saya tidak berani bercerita lanjut kerana serba sedikit saya sudah dimaklumkan oleh sahabat saya, Malik yang pernah bekerja dengannya satu ketika dahulu dan saya juga tidak pasti sama ada ia punyai kaitan atau pun tidak.

“Tak apalah, benda sudah berlaku. Kita yang masih hidup ini jadikanlah pengajaran dan pedoman. Itu antara dia dan Tuhan, kita sebagai hamba ikut sahaja tuntutan yang disyariatkan,” kata saya kepadanya.

“Betul itu bang, tapi itulah masalahnya. Sampaikan keluarga kami pun tertanya-tanya kenapa jadi begitu? Emak saya ini antara adik beradik yang paling rapat dengan arwah, dia pun keliru dan tertanya-tanya sampai ke hari ini kerana katanya arwah memang baik hati dan suka bantu orang lain,” sambung Hashim panjang lebar.

Saya tidak menyanggah apa yang diperkatakan hashim itu. Namun saya percaya tidak semua sisi negatif itu diketahui oleh ahli keluarga dan sanak saudara terdekat, mungkin hanya orang yang rapat dan pernah berurusan sahaja yang mengetahuinya.

Entahlah, saya sendiri tidak mahu menghakimi apa yang berlaku, lagipun saya bukanlah individu yang rapat dengan arwah ketika hayatnya. Namun saya percaya apa yang berlaku pasti ada hikmahnya, dan pasti Allah SWT ingin menunjukkan sesuatu kepada setiap umatnya.

Wallahualam. Daripada Abdillah bin ‘Amar RA bahawa Nabi SAW bersabda: “Sebaik-baik teman di sisi Allah adalah seseorang yang terbaik terhadap temannya manakala sebaik-baik jiran di sisi Allah adalah seorang yang paling baik dengan jirannya.” (Riwayat al-Tirmizi (1944)

Kisah ini telah disiarkan diakhbar Mingguan Malaysia pada 11 Januari 2026. Ilustrasi janaan AI

MMToon dimiliki oleh Media Mulia Sdn. Bhd. yang memegang hak cipta dan menerbitkan akhbar Utusan Malaysia, Mingguan Malaysia, Kosmo! dan Kosmo!Ahad
Tidak dibenarkan menerbitkan semula dalam sebarang bentuk atau dengan apa-apa cara, termasuk fotokopi, rakaman, atau lain-lain kaedah elektronik atau mekanikal
tanpa kebenaran pihak MMToon dan Media Mulia Sdn Bhd.

Hak cipta terpelihara © 2026, MMTOON Media Mulia Sdn. Bhd. 201801030285 (1292311-H)
error: Content is protected !!