MMToon

DIGANGGU HANTU MAIN TOLAK KERUSI

Oleh ABDUL RAZAK IDRIS

KISAH seram di sebuah institusi pengajian tinggi di negara ini semamangnya menjadi bualan ramai sejak dibuka hampir 50 tahun lalu. Ramai juga yang menafikan perkara itu dan mengatakan ia sengaja direka untuk menakut-nakutkan pelajar baharu.

Namun bagi seorang bekas pelajar universiti tersebut yang hanya ingin dikenali sebagai Hadi, 47, kisah seram yang berlaku di situ adalah benar dan dia sendiri mengalaminya dengan gangguan yang menakutkan. Menurut Hadi, segalanya bermula ketika menjalani program orientasi di universiti tersebut.

“Entah mengapa, saya menjadi sasaran makhluk halus tersebut,”  katanya mengimbau kenangan lalu ketika ditemui di rumahnya di Teluk Panglima Garang, Banting, Selangor baru-baru ini. Ujarnya, semasa orientasi semua pelajar ditempatkan di satu kolej kediaman tidak jauh daripada kolej kediaman tetap.

Seperti biasa kata Hadi, apabila minggu orientasi banyak program diadakan dari sebelum Subuh hingga tengah malam hari berikutnya. Beliau memberitahu, senior yang garang akan mengejutkan kesemua pelajar baharu untuk solat Subuh dan mendengar kuliah sehingga waktu Dhuha.

Pada hari pertama orientasi, segalanya berjalan lancar. Namun pada malam kedua semasa berada dalam bilik sesuatu yang menakutkan terjadi. Kira-kira pukul 12 tengah malam, sedang saya baring dalam keadaan lampu terbuka, tiba-tiba terdengar bunyi seperti ada orang duduk di atas kerusi di dalam bilik.

“Rakan sebilik sudah lama tidur. Bulu roma mula meremang seolah-olah ada makhluk yang sedang memerhati saya daripada atas kerusi tersebut,” katanya.

Jelasnya lagi, selepas dia berpaling muka dan menghadap dinding, terdengar kerusi ditolak ke belakang dan di tarik ke depan. Ia berulang beberapa kali sebelum suasana kembali sepi. Hadi memberitahu, disebabkan peristiwa tersebut dia demam dua hari hinggalah dia mengambil keputusan berjumpa senior yang ala-ala Ustaz.

Senior itu kata, adakah saya sudah memberi salam ketika mula-mula masuk ke mana-mana tempat yang telah lama ditinggalkan penghuninya.

“Kata senior itu lagi, universiti tersebut asalnya kawasan hutan rimba sebelum ditebusguna menjadi universiti. Sudah pasti ‘penghuni’ asal perlu dihormati kerana dia yang tinggal di situ sudah beribu tahun,” katanya.

Kata pelajar senior itu lagi, nasib baik Hadi diuji dengan bunyi kerusi ditolak, jika tidak bernasib baik dia akan diberi ‘peluang’ melihat makhluk asing seperti di dalam filem Predator berbentuk cecair atau pocong berlari di koridor kolej kediaman tersebut.

Apa yang dikatakan pelajar senior tersebut ada kebenarannya, memang dia telah membuat kesilapan kerana berat mulut memberi salam kepada ‘tuan rumah’ yang menjadi penghuni bersama yang halimunan.

Sejak peristiwa tersebut Hadi berkata, dia akan memberi salam bukan sahaja kepada orang yang dikenali malahan ketika masuk ke bilik kosong sama ada di rumah mahupun hotel selepas lama tidak beroperasi sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang pandemik Covid-19.

Rupa-rupanya segala yang terjadi berpunca daripada satu ucapan salam sebagai tanda penghormatan sesama makhluk Allah. Tidak terhenti di situ, beberapa hari kemudian Hadi terus diganggu ketika tidur di katil bawah. Badan sudah penat senang sahaja mata tertutup rapat.

Tiba-tiba ada ‘benda’ yang menindih tubuh saya hingga menyebabkan saya sukar bernafas dan tidak boleh meronta-ronta,” katanya.

Katanya lagi, badan sudah berpeluh kerana kepanasan dihimpit makhluk yang entah apa rupanya namun beratnya mungkin 200 kilogram. Segala ayat Al-Quran dibaca sampai tunggang- langgang jadinya kata Hadi lagi.

“Alhamdullillah, selepas hampir 30 minit baharu gangguan itu reda. Saya kembali tidur kerana takut untuk bangun membuka lampu bilik. Bimbang jika makhluk itu menunjukkan dirinya.

“Ingatkan makhluk itu sudah pergi, sekali lagi saya ditindih. Kali ini saya sempat menjerit dan rakan sebilik terus melompat dan membuka suis lampu bilik,” katanya.

Rakan sebiliknya rupa-rupanya tidak dapat lena kerana mendengar dia meracau-racau sambil membaca ayat-ayat suci. Hadi berkata, mereka berdua terus ke lari ke bilik urus setia dan menumpang tidur hingga ke Subuh.

Mengulas lanjut Hadi berkata, hari berikutnya tiada lagi gangguan menakutkan hinggalah minggu orientasi selesai dan dia menghuni kolej kediaman baharu.

Kisah ini telah disiar di akhbar Kosmo! Ahad bertarikh 14 November 2021. Ilustrasi janaan AI

MMToon dimiliki oleh Media Mulia Sdn. Bhd. yang memegang hak cipta dan menerbitkan akhbar Utusan Malaysia, Mingguan Malaysia, Kosmo! dan Kosmo!Ahad
Tidak dibenarkan menerbitkan semula dalam sebarang bentuk atau dengan apa-apa cara, termasuk fotokopi, rakaman, atau lain-lain kaedah elektronik atau mekanikal
tanpa kebenaran pihak MMToon dan Media Mulia Sdn Bhd.

Hak cipta terpelihara © 2025, MMTOON
Media Mulia Sdn. Bhd. 201801030285 (1292311-H)

error: Content is protected !!