
Bukan sekadar mencantikkan rupa, cucuk sanggul juga merupakan aksesori tradisional untuk menghias dan mengukuhkan dandanan rambut wanita. Namun, aksesori itu turut dikaitkan dengan hal mistik seperti ilmu pengasih atau seri wajah.
Mungkin segelintir orang beranggapan perkara itu mustahil, tetapi kesan dialami oleh Aisha (bukan nama sebenar) masih berbekas selepas secara tidak sengaja memiliki cucuk sanggul milik neneknya.

Berkongsi cerita tentang kejadian misteri yang berlaku, Aisha awalnya enggan membuka mulut kerana tidak mahu mengungkit kisah lama, tetapi perlahan-lahan dia menyusun kata bercerita.
Aisha memberitahu, peristiwa misteri itu berlaku sekitar 15 tahun lalu sewaktu hari perkahwinannya. Kata Aisha, cucuk sanggul yang dipakai sewaktu majlis persandingannya dikatakan telah menjadi punca perceraian dia dengan suaminya.

Majlis perkahwinan dibuat beberapa bulan selepas nenek meninggal dunia. Segalanya berjalan lancar sehinggalah saya membuat keputusan untuk mengenakan cucuk sanggul arwah nenek.
Saya menjumpai cucuk sanggul itu ketika mengemas rumah nenek dan tertarik dengan reka bentuk klasik bermotif flora serta dihiasi dengan batu berwarna merah.

Ada ahli keluarga yang mengatakan corak bunga itu kelihatan seperti ular. Ia disimpan dalam balutan kain berwarna merah di dalam kotak hitam, kongsi wanita berasal dari Selatan tanah air itu.
Disebabkan Aisha individu pertama yang menjumpai cucuk sanggul itu, ahli keluarga lain sebulat suara memberikan perhiasan tersebut kepadanya.

Dia memilih untuk memakai cucuk sanggul itu sewaktu majlis persandingannya. Namun, mak andam mengalami kesukaran untuk memakaikan cucuk sanggul itu di rambut Aisha kerana perhiasan itu dikatakan panas dan sukar dipegang.
Disebabkan itu, Aisha nekad memakainya sendiri dengan menyusun lima cucuk sanggul itu di rambutnya mengikut nasihat mak andam. Apabila saya pegang cucuk sanggul itu, ia tak panas seperti mak andam kata. Jadi, saya memakainya sendiri.

Sebaik sahaja memakai cucuk sanggul itu, saya dapat merasakan seperti ada aura pelik tiba-tiba muncul, katanya. Ketika berjalan ke arah pelamin, suaminya memuji penampilan serta bau Aisha yang wangi seperti bauan bunga.
Pujian itu membuatkan Aisha terkejut kerana dia tidak memakai wangian seperti dikatakan oleh suaminya.

Usai majlis, Aisha fikir kejadian misteri itu hanya sebahagian daripada perasaan gemuruh sebelum bergelar raja sehari, tetapi sangkaan tersebut meleset.
Beberapa hari selepas majlis, rumahnya sering berbau hanyir terutama pada waktu asar sehingga maghrib. Puas mencari punca, namun Aisha dan suami tidak menjumpai sebab kediaman mereka kerap berbau busuk.

Setelah bersabar selama beberapa minggu, bau itu kemudian hilang. Bagaimanapun, sikap suaminya pula tiba-tiba berubah menjadi pemarah dan suka mengeluarkan kata-kata kesat.
Pantang saya buat salah, mesti dia marah. Saya fikir ini mungkin sikap sebenarnya selepas berumah tangga dan berdoa agar suami berubah.

Namun, perkara itu berlarutan sehingga berbulan-bulan. Ini membuatkan saya hilang sabar selepas dia menampar di bahagian muka kerana tidak memanaskan hidangan dibeli di kedai, ujarnya.
Tidak tahan dengan itu, Aisha meminta nasihat orang tuanya, sebelum nekad mengambil keputusan untuk berpisah, meskipun baru lima bulan berumah tangga.

Selepas kejadian itu, Aisha berpindah rumah kerana malu dengan ahli keluarga. Selepas bercerai, saya berpindah dari Johor ke Singapura. Boleh dikatakan, saya langsung tidak bertemu dengan ahli keluarga, hanya sesekali menziarah ibu bapa, katanya.
Pada suatu hari, sepupu Aisha yang juga seorang ustaz ada menziarahi rumah ibu bapanya di Johor. Sepupunya memaklumkan bahawa di dalam rumah itu ada aura panas, sebelum meminta ibu bapa Aisha membuang benda tersebut.

Agak terkejut apabila dia cakap macam itu. Ibu bapa saya terus mengeluarkan cucuk sanggul itu.
Sepupu saya beritahu, cucuk sanggul itu bukan perhiasan biasa. Ia peninggalan pusaka yang mempunyai semangat ghaib, selain berkemungkinan menjadi punca kegagalan rumah tangga saya sebelum ini.

Waktu awal-awal berpisah dengan cucuk sanggul itu, saya sering dihantui penampakan menyerupai arwah nenek tetapi badannya sedikit bongkok, wajah kerepot dan lidah panjang, katanya.
Aisha juga kerap mendapat gangguan seperti perabot bergerak sendiri, bunyi guli di atas lantai dan lampu menyala serta tertutup sendiri.

Dia juga dimaklumkan oleh sepupunya, cucuk sanggul itu berkemungkinan telah melalui ritual tertentu bertujuan melindungi diri, khususnya wanita daripada lelaki hidung belang.
Ekoran tidak mampu lagi bersabar dengan gangguan misteri itu, Aisha memilih untuk membuang cucuk sanggul berkenaan ke dalam sungai.
