MMToon

SEBELUM PERHENTIAN TERAKHIR

Pada keluaran kali ini aku ingin menceritakan sebuah kisah yang pernah disampaikan oleh seorang rakanku tentang pengalamannya ketika pulang bekerja menaiki LRT lewat malam sebelum ini.

Katanya, setelah kejadian itu, dia lebih berhati-hati dan mengambil keputusan untuk tidak lagi balik lewat malam, jika terpaksa sekali pun dia lebih rela menaiki teksi atau menumpang rakan-rakan lain. Begini ceritanya.

Halim toleh jam di tangan. Sudah hampir pukul 11.30 tengah malam. Lantas dia berlari-lari anak menuju ke arah stesen transit aliran ringan berdekatan untuk pulang ke rumahnya yang terletak di Gombak. Dalam hati dia berdoa agar ada lagi LRT terakhir, jika tidak terpaksalah dia menaiki teksi yang harganya berlipat kali ganda pada waktu itu.

Sebaik sampai dia tarik nafas lega apabila lihat pagar di platform masih terbuka, tandanya perkhidmatan LRT tersebut masih lagi beroperasi. Sebaik naik ke tingkat atas dia lihat ada beberapa orang lagi yang menunggu di situ. Dia tarik nafas lega.

Hampir lima minit kemudian, tren yang dinanti pun sampai. Sebaik sahaja pintu terbuka, dia lantas melangkah masuk ke dalam gerabak dan mengambil tempat duduk.

Tidak lama kemudian tren tersebut mula bergerak perlahan meninggalkan perhentian. Bunyi enjin jentera yang sedikit bingit memecah kesunyian malam. Dia toleh ke arah tempat duduk berdekatan, nampak seorang lelaki separuh abad sedang tunduk khusyuk merenung lantai.

Dia melemparkan senyuman sebaik sahaja lelaki tua itu menoleh ke arahnya. Namun senyumannya tidak berbalas. Lelaki tersebut seakan mengelak untuk bertentang mata dengannya. Nampak dia memalingkan muka memandang ke arah tingkap berdekatan. Halim berasa malu sendiri, menyesal pula rasanya dia tersengih seperti kerang busuk tadi, fikirnya dalam hati.

Namun dia cuba berfikir positif, mungkin lelaki tua itu juga letih dan baru pulang dari kerja sepertinya atau mungkin juga dia rabun dan tidak mampu melihat dengan jelas apa yang ada di hadapannya.

Halim membelek telefon di tangan. Sesekali telinganya menangkap bunyi pengumuman yang keluar dari pembesar suara di gerabak memberitahu lokasi perhentian berikutnya.
Sebaik sahaja tren yang dinaikinya berhenti di perhentian hadapan, Halim pandang sekeliling, sunyi dan sepi. Tidak kelihatan sesiapa yang ingin naik dan turun ketika itu.

Dia toleh ke arah lelaki tua tersebut, nampak dia masih duduk di situ. Mungkin perhentiannya di hadapan lagi, fikir Halim dalam hati.Ketika tren berhenti di hentian berikutnya, barulah lelaki tua itu bangun dan melangkah keluar. Wajahnya masih seperti tadi, kelat tanpa senyuman.

Halim melayan perasaannya sendiri. Dia mencongak dalam hati, rasanya mungkin dalam tiga atau empat perhentian lagi barulah dia sampai. Dia toleh jam di tangan sudah hampir 12.30 malam, nampaknya lewatlah dia sampai ke rumah nanti.

Ketika tren yang dinaikinya berhenti di stesen berikutnya, Halim perasan ada seorang lelaki sedang masuk dan duduk di gerabak hadapannya. Dia tidak ambil pusing sangat. Mungkin individu tersebut senasib dengannya, terpaksa menunggu tren terakhir untuk pulang ke rumah.

Namun tanpa sengaja matanya tertoleh ke arah lelaki tersebut. Dahinya berkerut dan cuba amati dengan jelas. Entah kenapa tiba-tiba dia rasa tidak sedap hati. Jantungnya berdebar kencang seakan ada yang tidak kena ketika itu.

Dia gugup. Nampaknya dia memang tidak salah pandang. Memang itulah lelaki yang duduk berdekatan dengannya tadi. Namun kini bagaimana pula dia boleh muncul di gerabak tersebut sedangkan dia sudah turun di perhentian sebelum ini?
Halim mula panik. Dia berasa seolah ada sesuatu yang tidak kena.

Memang dia ingat lagi raut wajah dan pakaian lelaki tersebut. Dia memang yakin dan tidak tersalah pandang. Mana mungkin dia salah orang, lagipun mana ada penumpang lain di waktu itu.

Perlahan-lahan dia angkat kepala dan toleh ke arah lelaki tua tersebut. Keadaannya sama seperti tadi. Dia hanya duduk membatu sambil menundukkan kepala ke arah lantai.

Halim cuba mengawal rasa takut ketika itu. Dalam hati dia tidak putus-putus berdoa agar cepat sampai ke destinasi. Namun impiannya tidak kesampaian apabila tren tersebut tiba-tiba berhenti di tengah laluan mungkin untuk memberi laluan kepada jentera lain menggunakan landasan yang sama ketika itu. Dia menyumpah dalam hati.

Mulut Halim berkumat-kamit membaca ayat-ayat suci al-Quran. Dia berdoa agar tren yang dinaikinya kembali bergerak meneruskan perjalanan. Sesekali dia melihat ke arah lelaki tersebut dengan ekor matanya. Masih seperti tadi. Dia hanya duduk sambil menundukkan kepala.

Tidak lama kemudian jentera tersebut kembali menyambung perjalanan. Halim tarik nafas lega. Selepas ini adalah hentian terakhir dan akan turun di situ. Dia sudah tidak sanggup lagi berada lama di dalam gerabak tersebut. Dahinya sudah basah dengan peluh walaupun keadaan ketika itu sejuk dan dingin.

Sebaik sahaja tren tersebut berhenti di hentian terakhir, Halim melangkah bangun walaupun pintunya masih belum terbuka lagi. Dia jeling ke tempat duduk lelaki tersebut, kosong tanpa penghuni. Halim gosok mata berkali-kali. Sah, memang tiada sesiapa di situ. Sebaik sahaja pintu dibuka, dia terus meluru keluar tanpa menoleh ke belakang lagi.

Ketika berjalan keluar dari platform seorang pengawal yang berada di situ menyapanya. Halim tersenyum kelat walaupun wajahnya masih lagi pucat.

Hah, cepat-cepat saya hendak tutup pagar ini. Ini last tren dah, encik seorang saja yang turun di hentian last ini, katanya kepada Halim.

Halim terdiam. Ingin sahaja dia bertanya tentang apa yang dilihatnya tadi, tetapi lidahnya kelu dan mulutnya seakan terkunci.

Kenapa encik? Encik nampak ada orang lain ke yang bersama dengan encik tadi? Tanya pengawal tersebut sambil memandang ke arah Halim.

Halim terdiam. Sekali lagi jantungnya berdegup kencang. Nampaknya pengawal tersebut tahu apa yang terbuku di hatinya. Dia kaget tanpa jawapan.

 

Kisah seram ini telah diterbitkan di akhbar Kosmo! Ahad. Ilustrasi janaan AI

 

MMToon dimiliki oleh Media Mulia Sdn. Bhd. yang memegang hak cipta dan menerbitkan akhbar Utusan Malaysia, Mingguan Malaysia, Kosmo! dan Kosmo!Ahad
Tidak dibenarkan menerbitkan semula dalam sebarang bentuk atau dengan apa-apa cara, termasuk fotokopi, rakaman, atau lain-lain kaedah elektronik atau mekanikal
tanpa kebenaran pihak MMToon dan Media Mulia Sdn Bhd.

Hak cipta terpelihara © 2026, MMTOON Media Mulia Sdn. Bhd. 201801030285 (1292311-H)
error: Content is protected !!