MMToon

PENGALAMAN PALING SERAM DI MIMALAND

Meneroka tempat-tempat berhantu dan mistik sudah menjadi hobi pemuda itu sejak zaman belajar di universiti lagi.

Aktiviti itu dilakukan bersama rakan-rakannya dengan menamakan diri mereka sebagai ‘Pemburu Hantu’.

Berkongsi pengalaman itu, Rizman (bukan nama sebenar) memberitahu, dia mula melakukan aktiviti tersebut selepas diajak oleh seorang abang senior di universiti.

Saya mula minat dengan benda mistik selepas menonton satu rancangan televisyen yang dikenali sebagai Seekers.

Namun semasa di universiti sekitar tahun 2009 ke 2010, apabila diajak untuk menyertai Pemburu Hantu, saya terus bersetuju dan mengikuti aktiviti meneroka kawasan-kawasan seram, katanya kepada CitaRasa baru-baru ini.

Tambahnya, sepanjang menyertai aktiviti bersama kumpulan tersebut, dia telah pergi ke pelbagai tempat yang dikatakan berhantu dan seram di Malaysia.

Antaranya adalah Highland Tower, Balai Polis Lama Gombak, Vila Nabila di Johor dan beberapa kawasan lain termasuk Mimaland di Selangor. Mimaland ialah taman tema pertama Malaysia yang ditutup operasinya pada tahun 1990-an dan sehingga kini terbiar.

Pemuda asal Kedah itu mengakui, dalam semua tempat yang diterokainya, kunjungan ke Mimaland memberikan dia pengalaman seram yang masih diingati hingga kini.

Kongsinya, pengalaman ngeri di Mimaland berlaku ketika hujan renyai, sekali gus menjadikan suasana malam semakin suram dan dingin.

Kawasan taman tema terbiar itu kelihatan sunyi, hanya diterangi cahaya lampu suluh mereka yang samar-samar.


Bunyi cengkerik berselang-seli dengan desiran angin yang melalui bangunan usang, menambahkan lagi rasa seram.

Kami masuk sekitar pukul 11 malam. Masa itu, semuanya nampak biasa sahaja walaupun suasana agak menyeramkan.

Namun semakin jauh berjalan ke dalam kawasan itu, saya mula rasa lain, seolah-olah ada orang memerhati, katanya.

Menurut Rizman, biarpun mereka bergerak secara berkumpulan, namun semakin lama, suasana menjadi kian ganjil.

Sementara itu, salah seorang rakannya, tiba-tiba mendakwa terdengar suara perempuan menangis berhampiran kolam lama yang kering.

Pada mulanya, mereka menganggap itu hanya mainan perasaan, namun suara tersebut semakin jelas sehingga menyebabkan suasana bertukar tegang.

Kami semua terdiam. Suara itu bukan sekali, tapi berulang-ulang. Perlahan, macam memanggil. Namun, apabila kami suluh ke arah kolam, tiada sesiapa pun di situ, jelasnya.

Keadaan menjadi lebih mencemaskan apabila salah seorang ahli kumpulan mereka tiba-tiba pengsan tanpa sebab.

Badannya menjadi sejuk dan wajah pucat, seolah-olah ketakutan yang amat sangat.
Ketika cuba menyedarkannya, Rizman terlihat susuk wanita berambut panjang berdiri di atas gelongsor lama sambil memandang tepat ke arah mereka.

Saya ingatkan itu bayangan, tapi bila saya kelip mata, benda itu masih ada. Rambutnya panjang menutupi muka, sambil berdiri kaku.


Ketika itu, jantung saya berdegup kencang. Tanpa berlengah, kami segera mengangkat rakan yang pengsan dan cuba keluar dari kawasan tersebut dengan segera, ujarnya.

Namun, laluan keluar yang mereka gunakan sebelum ini seolah-olah hilang.
Mereka berpusing-pusing di tempat sama, seakan-akan tersesat, walaupun kawasan itu tidaklah sebesar mana.

Lebih menakutkan, suara tangisan tadi mula bertukar ketawa nyaring dan bergema di sekeliling mereka. Malah, ada antara mereka yang panik dan mula menangis kerana ketakutan.

Kami baca apa sahaja ayat al-Quran yang kami tahu. Masa itu, memang rasa seperti kami tidak akan keluar dari situ.

Namun tiba-tiba, salah seorang rakan saya nampak jalan keluar dan kami terus lari tanpa berpaling lagi.

Selepas berjaya keluar, rakan saya yang pengsan mula sedar, namun tidak mengingati apa-apa. Apa yang lebih merisaukan, dia mendakwa seperti dipanggil oleh seseorang sebelum rebah, tambahnya.

Sejak kejadian itu, Rizman mengakui dia mula menjauhkan diri daripada aktiviti memburu hantu. Baginya, pengalaman di Mimaland sudah cukup untuk membuatkan dia sedar tidak semua perkara misteri boleh diterokai.

 

Kisah ini telah disiar di akhbar Kosmo! Ahad. Ilustrasi janaan AI

 

MMToon dimiliki oleh Media Mulia Sdn. Bhd. yang memegang hak cipta dan menerbitkan akhbar Utusan Malaysia, Mingguan Malaysia, Kosmo! dan Kosmo!Ahad
Tidak dibenarkan menerbitkan semula dalam sebarang bentuk atau dengan apa-apa cara, termasuk fotokopi, rakaman, atau lain-lain kaedah elektronik atau mekanikal
tanpa kebenaran pihak MMToon dan Media Mulia Sdn Bhd.

Hak cipta terpelihara © 2026, MMTOON Media Mulia Sdn. Bhd. 201801030285 (1292311-H)
error: Content is protected !!