MMToon

KENAPA BAYANGNYA TIADA?

Oleh Roshihan Annuar Yub

 

Aku ini memang kaki wayang, tambah pula kalau pawagam itu menayangkan cerita seram atau misteri, memang aku tak akan lepaskan peluang untuk menonton. Favourite aku pastinya cerita-cerita seram dari rantau Asia terutamanya dari Thailand, Indonesia dan Korea. Bagi aku menonton cerita seram ini seakan memberi kepuasan, sebab itulah aku jarang ketinggalan.

Hendak dijadikan cerita, pada satu malam aku dan rakan sepejabat, sepakat untuk menonton sebuah cerita seram di pawagam yang terletak tidak jauh dari pejabat kami. Aku pergi bertiga bersama Safuan dan Khalil. Cerita yang kami ingin tonton ini boleh dikatakan popular juga kerana publisitinya cukup meluas sebelum ini.


Kami menonton tayangan akhir di tengah malam, sengaja aku pilih waktu tersebut kerana menurutku kalau nak menonton cerita seram kena ada feel, barulah boleh menjiwai ceritanya. Safuan dan Khalil tidak membantah, mereka juga sudah masak dengan perangai aku.

Aku kerling jam di tangan, sudah hampir 12 tengah malam. penonton pula memang tidak ramai, tidak sampai pun 10 orang. Mungkin disebabkan tayangan lewat malam dan jatuh pada hari bekerja.

Kami bertiga menonton dengan khusyuk. Jalan ceritanya memang menarik, bila tiba scene seram kedengaran jerit pekik menonton yang ketakutan. Aku dan rakan-rakan sekadar tertawa lucu melihat gelagat mereka.


Setelah hampir dua jam menonton barulah cerita tersebut tamat. Kami keluar panggung dengan rasa puas. Nampaknya tak sia-sia menonton movie tersebut, memang menarik dan berbaloi. Ketika melangkah keluar terdengar ramai yang memuji.

“Eh, turun dululah! Tunggu aku dekat parking bawah, aku nak pergi toilet dulu. Tiba-tiba pula rasa nak terkucil,” kataku sebaik sampai di hadapan lif.

Safuan dan Khalil sekadar mencebik. Tanpa berlengah aku bergegas menuju ke tandas berdekatan. Sebaik sampai aku tarik nafas lega, rupanya masih ada lagi seorang pekerja pembersihan yang sedang mencuci tandas.


“Lewat balik bang? Tanyaku sambil menolak ke arah salah satu pintu tandas yang sedikit terbuka.

Lelaki separuh umur tersebut tidak menjawab pertanyaanku, dia sekadar tersenyum sambil menganggukkan kepala.

Selesai ‘melepaskan hajat’ aku lantas ke sinki berdekatan untuk membasuh tangan dan mencuci muka. Entah kenapa tiba-tiba terasa mengantuk yang teramat sangat. Aku toleh keliling, lelaki yang ku sapa sebentar tadi sudah tiada di situ.


Fikirku mungkin dia sudah selesai siapkan kerjanya, tanpa buang masa aku terus melangkah keluar, risau pula kalau rakan-rakanku menunggu lama, tak pasal-pasal ‘panas’ pula telingaku dapat bebel percuma.

Sebaik melangkah masuk ke pintu lif yang terbuka, telingaku mendengar derap kaki seakan berlari anak menghampiri. Aku toleh ke belakang, nampak sosok lelaki yang ku temui di tandas tadi meman­dangku sambil tersengih.

Aku membalas senyumannya. Kami sama-sama masuk ke dalam lif sambil menuju ke arah parkir di tingkat bawah.

“Baru nak balik ke bang? Tanyaku sambil memandang ke arahnya. Dia tidak menjawab namun mengangguk seakan mengiyakan pertanyaanku.


Aku malas untuk bertanya lagi, fikirku mungkin dia berasa penat setelah bekerja sepanjang hari. Adakalanya aku juga bersikap begitu, tambah pula bila disapa orang yang tidak dikenali.

Namun sebaik sahaja aku memandang dinding lif di hadapan, jantungku tiba-tiba berdebar kencang. Tubuhku serta merta menggigil dan mulut seakan terkunci.

Jelas sekali aku tidak nampak bayang lelaki tersebut pada dinding lif yang bersalut kaca itu. Yang kelihatan hanya sosokku seorang diri tanpa wujudnya penghuni lain.

Perlahan-lahan aku kerling ke arah sosok lelaki di sebelahku, namun secara nyatanya dia memang ada berdiri di sebelahku. Tubuhku menggigil ketakutan, peluh dingin mula terbit di dahi. Entah kenapa aku rasa lif tersebut terlalu lambat untuk sampai ke parkir bawah.

Sumpah! Aku tidak berani untuk memandang ke arahnya. Sesekali aku pejamkan mata dan berdoa agar lif cepat sampai dan terbuka.

‘TINGGGGG….’

Dan sebaik sahaja pintu lif terbuka aku cepat-cepat bergegas keluar. Waktu itu aku tidak lagi memandang ke arahnya, yang pasti aku terus berlari sekuat tenaga menuju ke arah rakan-rakanku yang sedang menunggu di kereta.


“Jom kita blah beb.” Sergahku sebaik sahaja masuk ke dalam kereta.

Khalil dan Safuan yang ketika itu sedang asyik melayan lagu di kenderaan terpinga-pinga kehairanan.

“Kau dah kenapa ini? Kena kejar hantu ke? tanya Safuan mengerutkan dahi.

Aku tidak menjawab pertanyaannya, kedua rakanku masih memandangku dengan penuh tanda tanya.

Sebaik sahaja kereta yang kami naiki masuk ke jalan besar barulah aku memulakan cerita. Masing-masing terlopong tanpa sepatah kata.

“Aku tak tipu beb, sebab itulah aku cepat-cepat ajak blah tadi,” kataku dengan suara yang tersekat-sekat.

Sepanjang jalan kami tidak banyak berbual, aku minta izin dengan Safuan untuk menumpang tidur di rumahnya malam itu, entah kenapa aku rasa tidak sedap hati untuk pulang ke rumah.

“Eh, kalau kau nak tidur rumah Safuan aku pun nak join sekalilah. Walaupun aku tak alami apa yang kau ‘nampak’ tadi tapi sekarang ini aku pula yang rasa seram sejuk,” sambung Khalil sambil memandang ke arahku.


Malam itu kami sepakat tidur di rumah Safuan. Selepas selesai mandi dan menukar pakaian sempat juga kami berbual seketika sebelum melelapkan mata.

“Mulai hari ini, sumpah aku takkan tengok cerita hantu di waktu malam lagi. Lepas ini kalau nak tengok pun kita ‘layan’ show siang saja,” kataku kepada Safuan dan Khalil.

Mereka berdua tersengih seakan meragui kata-kataku.

“Tengok lewat itu satu hal, tapi yang paling penting lepas ini kalau habis tengok wayang dan hendak pergi tandas pastikan ada teman. Jangan memandai pergi seorang diri,” kata Khalil sambil disambut ketawa daripada kami.

Entah kenapa sebelum melelapkan mata fikiranku asyik teringatkan peristiwa seram yang berlaku sebentar tadi. Terasa seolah-olah lelaki misteri tadi ada berdekatan. Cepat-cepat aku tarik selimut dan berselubung. Kalau waktu ini dia ingin muncul pun biarlah, sekurang-kurangnya rakan-rakanku boleh saksikan bersama.

 

Kisah ini telah disiarkan diakhbar Mingguan Malaysia pada 1 Disember 2024. Imej janaan AI

MMToon dimiliki oleh Media Mulia Sdn. Bhd. yang memegang hak cipta dan menerbitkan akhbar Utusan Malaysia, Mingguan Malaysia, Kosmo! dan Kosmo!Ahad
Tidak dibenarkan menerbitkan semula dalam sebarang bentuk atau dengan apa-apa cara, termasuk fotokopi, rakaman, atau lain-lain kaedah elektronik atau mekanikal
tanpa kebenaran pihak MMToon dan Media Mulia Sdn Bhd.

Hak cipta terpelihara © 2026, MMTOON Media Mulia Sdn. Bhd. 201801030285 (1292311-H)
error: Content is protected !!