
Keinginan untuk membeli kereta sendiri sudah menjadi impian pemuda itu sejak hari pertama dia mula bekerja di Kuala Lumpur. Padanya, memiliki kereta sendiri merupakan simbol kebebasan, kemudahan dan pencapaian dalam kehidupan seharian.
Namun tanpa disedari, keinginan itu membawa bersama kisah silam dan gangguan yang tidak terjangka selepas dia berjaya memiliki kenderaan pertamanya. Berkongsi cerita, Hilman (bukan nama sebenar) memberitahu, dia membeli kenderaan pertamanya selepas enam bulan bekerja di sebuah bank terkemuka.

Saya sudah lama mahu membeli kereta sendiri dan model impian saya adalah Honda Civic. Namun disebabkan saya baru bekerja, saya memilih untuk membeli kereta terpakai. Kebetulan pada masa itu, ada seorang individu menawarkan kereta idaman saya pada harga murah.
Oleh kerana terlalu minat dengan kereta itu, saya tidak mengambil pusing tentang harganya yang murah. Hal ini kerana ada rakan beritahu bahawa penjual kereta itu mahu mendapatkan duit segera untuk keperluan kecemasan, katanya.

Selepas membeli kereta berkenaan, Hilman berasa amat gembira dan bangga kerana kenderaan idamannya sudah berada dalam genggaman. Namun kegembiraan itu tidak bertahan lama kerana selepas memiliki kereta tersebut, Hilman sering mendapat pelbagai gangguan pelik.
Pada awalnya, dia menyangka gangguan itu kerana hasad dengki manusia. Kongsinya, pada malam pertama selepas dia membeli kereta tersebut, dia mula mendapat mimpi pelik, iaitu seorang lelaki dengan penuh darah berada di tempat duduk pemandu keretanya.

Dalam mimpi tersebut, saya lihat seorang lelaki berada di dalam kereta melalui tingkap rumah. Kemudian tiba-tiba, dia berada di sebelah saya hingga membuatkan saya terkejut, lalu terjaga daripada mimpi.
Mimpi yang sama berulang hampir setiap hari. Naratifnya juga semakin bertambah daripada berada di sebelah, lelaki dalam mimpi itu mula menunjukkan sesuatu ke arah kereta saya, ujarnya.

Selain mimpi, dia sering berasa seperti ada seseorang berada di tempat duduk belakang ketika memandu terutama pada waktu malam. Pernah sekali, Hilman pulang ke kampung di Kelantan.
Ketika melalui jalan sunyi di kawasan Gua Musang, dia melihat seperti ada kelibat penumpang di tempat duduk belakang. Kejadian itu membuatkan Hilman meremang bulu roma.

Malah ketika sampai di kampung, ibunya juga pernah memberitahu bahawa dia melihat seseorang bersama Hilman di dalam kereta.
Pernah satu masa, ketika memandu saya terhidu bau hanyir yang tidak dapat dipastikan puncanya dari mana. Bau itu tiba-tiba ada, lalu hilang.

Kadangkala ketika waktu malam, saya terdengar bunyi seperti orang membuka bonet hadapan kereta, apabila diperiksa tiada apa-apa, katanya. Rentetan kejadian aneh itu, Hilman cuba mendapatkan bantuan daripada pengamal perubatan alternatif.
Namun alangkah terkejutnya dia apabila mengetahui bahawa selama ini dia diganggu oleh roh bekas pemilik kenderaan tersebut yang meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya.

Kongsi Hilman lagi, dia diberitahu bahawa gangguan yang berlaku bukan kerana roh tersebut marah. Sebaliknya, roh itu ingin memberitahunya bahawa ada sesuatu yang merupakan miliknya masih tertinggal di dalam kereta tersebut.
Apabila diperiksa dengan teliti, rupa-rupanya ada jari kelingking tersepit di celah enjin .
Itulah punca utama yang membuatkan Hilman diganggu termasuk bunyi orang cuba membuka bonet hadapan.
Bagi menghentikan masalah gangguan yang dihadapi, Hilman perlu mencari lokasi kubur pemilik kenderaan itu untuk menanam jari tersebut.
Lantas, Hilman mendapatkan maklumat alamat kediaman pemilik asal kenderaan itu daripada penjual Honda Civic berkenaan.

Selepas jari itu ditanam, Hilman tidak mendapat lagi sebarang gangguan daripada roh tersebut.
Kisah ini telah disiar di akhbar Kosmo! Ahad . Ilustrasi janaan AI
