MMToon

LEMBAGA MISTERI DI SURAU USANG

MEREMANG bulu roma Lan (bukan nama sebenar) setiap kali mengingati peristiwa diganggu lembaga misteri ketika singgah di sebuah surau lama beberapa bulan lalu.

Pada malam kejadian, dia bersama dua rakannya, Farid dan Siti baru sahaja pulang dari majlis perkahwinan salah seorang sahabat mereka di Selatan tanah air. Ketika itu, jam sudah melewati pukul 8 malam, namun masing-masing belum menunaikan solat maghrib.

Jalan kampung yang dilalui juga sudah mulai sunyi sepi.

Menurut Lan, memandangkan sudah keletihan, mereka bercadang mahu tidur sebentar di surau selepas solat maghrib.


“Saya memberi cadangan untuk berhenti sekejap memandangkan masing-masing sudah tidak mampu meneruskan perjalanan.

“Kebetulan, ada sebuah surau kecil di kawasan itu,” kata Lan membuka bicara.

Ketika melewati satu simpang empat dalam sebuah kampung terpencil, mereka terlihat surau usang.

Catnya sudah mengelupas, atap zinknya berkarat dan halaman dipenuhi daun kering.

Lampu kalimantang di serambi pula berkelip-kelip hingga mewujudkan suasana seram. Namun, rasa mengantuk telah menguasai diri mereka.

Ujar Lan, dia dan Farid masuk ke ruang solat lelaki, manakala Siti ke ruang solat perempuan.

Selesai meletakkan barang, Lan bergegas ke tandas untuk mengambil wuduk. Tiba-tiba, dia rasa tidak sedap hati. Disebabkan terlalu penat, dia tidak melayan perasaannya kerana mahu cepat-cepat berehat supaya boleh sampai ke Kuala Lumpur dengan segera.

Ketika berdiri mengangkat takbir, Lan cuba memfokuskan diri. Belum pun selesai membaca surah al-Fatihah, dia terdengar sesuatu.

“Saya terdengar suara berbisik di telinga, suaranya garau, namun perlahan,” cerita Lan.


Bisikan itu semakin jelas kedengaran di telinga Lan. Namun, dia cuba meneruskan solat sehingga ke rakaat terakhir.

Sebaik sahaja selesai memberi salam, dia segera menoleh ke arah Farid. Dia melihat Farid masih khusyuk bersolat, namun wajahnya kelihatan berbeza.

“Wajah Farid nampak suram dan gelap. Dia juga berdiri begitu lama, walhal sudah di rakaat terakhir.

“Sedang saya tekun memerhatikan Farid, tiba-tiba dia menepuk bahu saya dari belakang.

“Rupa-rupanya, Farid sudah lama selesai solat dan menunggu saya di luar surau. Farid yang solat tadi terus hilang daripada pandangan,” kata Lan.

Disebabkan kejadian itu, mereka segera memanggil Siti untuk beredar dari situ. Namun Siti tidak menyahut hingga menyebabkan Farid dan Lan mula panik.

“Saya menjengah melalui tirai pemisah saf lelaki dan wanita untuk memanggil Siti. Namun, alangkah terkejutnya saya apabila melihat kelibat seorang wanita berbaju putih dengan rambut panjang menggerbang di ruangan solat itu,” kata Lan.

Sejurus itu dia dan Farid bergegas keluar sambil memanggil nama Siti. Akhirnya, Siti menyahut dari tandas.

Mereka segera beredar dari surau berkenaan dengan menuju ke ibu kota.

Beberapa hari kemudian, Lan menceritakan pengalaman itu kepada salah seorang rakan sepejabatnya yang berasal dari kampung tersebut.

“Kawan saya beritahu bahawa kawasan itu memang ‘keras’ dan sudah ‘makan’ banyak nyawa.

“Bahkan, salah seorang sepupunya pernah meninggal dunia di simpang empat itu akibat kemalangan jalan raya.

“Seram apabila ingat balik peristiwa berkenaan sebab surau itu memang usang dan menakutkan.

“Entah apa yang kami fikirkan waktu itu sehingga sanggup berhenti solat di situ,” katanya mengakhiri bicara.

Kisah seram ini telah diterbitkan di akhbar Kosmo! Ahad. Ilustrasi janaan AI

MMToon dimiliki oleh Media Mulia Sdn. Bhd. yang memegang hak cipta dan menerbitkan akhbar Utusan Malaysia, Mingguan Malaysia, Kosmo! dan Kosmo!Ahad
Tidak dibenarkan menerbitkan semula dalam sebarang bentuk atau dengan apa-apa cara, termasuk fotokopi, rakaman, atau lain-lain kaedah elektronik atau mekanikal
tanpa kebenaran pihak MMToon dan Media Mulia Sdn Bhd.

Hak cipta terpelihara © 2026, MMTOON Media Mulia Sdn. Bhd. 201801030285 (1292311-H)
error: Content is protected !!