MMToon

DIKEJAR LEMBAGA HITAM DI KOLEJ KEDIAMAN

PENGALAMAN dikejar oleh lembaga hitam misteri pada waktu malam sememangnya cukup menyeramkan. Peristiwa itu dialami oleh Nurul (bukan nama sebenar), dan sehingga kini dia masih belum dapat melupakannya.

Disebabkan peristiwa itu, Nurul sehingga kini takut untuk pergi ke mana-mana seorang diri pada waktu malam.

Membuka cerita, Nurul memberitahu, pengalaman tersebut berlaku lebih kurang 10 tahun lalu ketika dia masih bergelar pelajar di salah sebuah universiti di ibu kota.

“Memandangkan ketika itu cuti semester baru bermula, saya dan seorang rakan memutuskan untuk pergi ‘overnight’, sebelum masing-masing pulang ke kampung halaman.

“Kami keluar melepak dari pukul 10 malam sehingga pukul 4 pagi sebelum pulang ke kolej kediaman masing-masing.

“Ketika itu, saya naik kereta rakan yang dikenali sebagai Wani. Saya dan Wani tinggal di kolej kediaman berasingan.

“Ketika Wani hantar saya di kolej kediaman, saya naik sebentar ke bilik untuk mengambil barang sambil dia (Wani) tunggu di dalam kereta.

“Ketika itulah saya terserempak lembaga hitam misteri berkenaan,” ujar Nurul membuka bicara.

Cerita Nurul, memandangkan biliknya terletak di aras dua, maka dia lebih selesa menggunakan tangga berbanding lif.

Ujarnya, suasana di kolej kediaman ketika itu sangat sunyi memandangkan ramai sudah pulang ke kampung halaman.

“Dari tangga ke bilik, saya perlu melepasi tiga buah bilik lain. Ketika di bilik pertama, saya tiba-tiba terlihat ada satu lembaga hitam di hujung kaki lima aras itu sedang memandang tepat ke arah saya dalam keadaan mencangkung.

“Bulu roma saya mula meremang, biarpun lembaga itu berada jauh di hujung koridor. Hal ini kerana saya tahu itu bukan manusia.

“Kaki saya ketika itu seperti terpaku, dan saya mula membaca semua doa yang terlintas di dalam kepala.

“Tangan saya pula perlahan-lahan cuba mencapai telefon bimbit di dalam poket seluar untuk telefon Wani,” katanya.

Disebabkan lembaga itu masih merenung Nurul dari kejauhan, maka dia nekad membatalkan hasratnya untuk pergi ke bilik.

Nurul mengumpul kekuatan untuk berpatah balik dan mendapatkan pertolongan daripada Wani.

“Ketika saya memusingkan badan, lembaga itu berlari dengan sangat laju ke arah saya.

“Bayangkan, lembaga dengan tubuh kurus kering dan sepasang kaki panjang berlari ke arah saya. Situasi itu membuatkan saya sangat takut.

“Disebabkan itu, saya terus berlari menuruni tangga sambil menjerit sekuat hati menuju ke kereta Wani.

“Wani terkejut melihat saya berlari dalam ketakutan. Dalam keadaan cemas, kami segera beredar dari kawasan kolej kediaman saya. Ketika dalam perjalanan, baru saya menceritakan peristiwa seram dilalui kepada Wani,” kata Nurul.

Oleh kerana terlalu takut, Nurul memutuskan untuk tumpang tidur di rumah sewa salah seorang rakan mereka pada malam tersebut.

Pada semester berikutnya, Nurul menginap di luar kolej bersama kakaknya yang perlu menjalani latihan praktikal di salah sebuah syarikat berdekatan universiti.

“Jika diikutkan, saya bukanlah seorang yang penakut. Bahkan, saya tidak kisah untuk tinggal di kolej kediaman kerana lebih mudah ke kelas.

“Namun selepas berdepan peristiwa menyeramkan itu, saya bertukar menjadi penakut sehingga kini. Saya tidak akan sesekali pergi ke tempat sunyi seorang diri, lebih-lebih lagi pada waktu malam.

“Sehingga hari ini, saya masih tidak tahu dari mana datang makhluk hitam yang mengejar saya pada malam itu,” katanya sebelum menutup bicara.

Kisah seram ini telah diterbitkan di akhbar Kosmo! Ahad. Ilustrasi janaan AI

MMToon dimiliki oleh Media Mulia Sdn. Bhd. yang memegang hak cipta dan menerbitkan akhbar Utusan Malaysia, Mingguan Malaysia, Kosmo! dan Kosmo!Ahad
Tidak dibenarkan menerbitkan semula dalam sebarang bentuk atau dengan apa-apa cara, termasuk fotokopi, rakaman, atau lain-lain kaedah elektronik atau mekanikal
tanpa kebenaran pihak MMToon dan Media Mulia Sdn Bhd.

Hak cipta terpelihara © 2026, MMTOON Media Mulia Sdn. Bhd. 201801030285 (1292311-H)
error: Content is protected !!