MMToon

TERKENA SIHIR KATAK ANGKARA MULUT LEPAS

JIKA tiada ayat yang elok untuk berkata-kata, sebaiknya kita sebagai insan biasa tidak meluahkan lisan atau tulisan yang menyakitkan hati orang lain.

Kisah Mitos yang ingin disampaikan ini telah diceritakan oleh seorang usahawan dikenali sebagai Zack Ali, 50, ketika ditemui di Banting, Selangor baru-baru ini.

Menurut Zack, kisah tersebut berlaku kepada sahabatnya kira-kira 15 tahun lalu gara-gara mulut tidak ‘berinsurans’.

Sahabat saya, Sulaiman seorang peniaga restoran di utara negeri ini. Kedai makannya agak laris kerana masakannya enak.
“Sulaiman seorang yang bermulut lepas hingga saya sendiri selalu memberi nasihat kepadanya agar menghormati perasaan orang lain terutama pelanggan,” katanya.

Zack berkata, disebabkan mulut Sulaiman lebih laju daripada otaknya, kadangkala ada kawan-kawan yang terasa hati dengan komen ‘busuk’ yang keluar dari mulutnya.

Pernah sekali, meja makan di kedai Sulaiman diterbalikkan oleh kawan mereka yang marah setelah diejek.

“Kawan saya yang mengamuk itu memang panas baran. Bila diejek oleh Sulaiman memang tercetuslah amarahnya.
“Sulaiman mengejek dengan perkataan-perkataan tidak sedap didengar setelah pasukan yang disokong kawannya kalah dalam perlawanan bola sepak di Liga Perdana Inggeris (EPL),” katanya.

Selepas peristiwa amukan tersebut, Sulaiman mula mengendurkan sikapnya yang bermulut lepas, mungkin takut menanggung rugi hilang pelanggan dalam kalangan sahabat.

“Sebagai kawan yang dihormati, saya tidak jemu menasihati Sulaiman supaya berfikir dahulu sebelum berkata-kata.

“Saya juga menasihati dia jangan ‘body shaming’ orang kerana tidak semua boleh menerima gurauan dirinya yang berbadan kekar,” katanya.

Cerita Zack, suatu hari, dia pergi ke kedai makan Sulaiman untuk bersarapan tetapi kelibat sahabatnya itu tidak kelihatan seperti biasa.

Menurut pekerjanya, Sulaiman tidak sihat selepas pengsan dalam keadaan seperti orang sedang tercekik pada malam sebelumnya.

Walaupun Sulaiman bermulut lepas dia tetap kawan saya sejak dari kecil. Apa yang berlaku kepadanya ibarat cubit paha kanan, paha kiri pun terasa.”

“Saya menghubungi isterinya untuk mengetahui keadaan sahabat saya itu. Isteri Sulaiman kedengaran sedang bersedih,” katanya.

Ujar Zack, selepas sarapan, dia pun bergegas untuk melihat keadaan Sulaiman yang difahamkan sedang terbaring lemah oleh isterinya.

“Amat mengejutkan apabila saya melihat keadaan Sulaiman yang terbaring sambil matanya terbeliak melihat siling rumah,” ujarnya.

Saat melihat keadaan Sulaiman, terbit rasa simpati hingga Zack terlupa sikap buruknya yang suka mengutuk orang tanpa berselindung.

Katanya lagi, jika dilihat, Sulaiman seperti orang sihat yang tersampuk hingga hilang suara dan mulutnya ternganga.

“Menurut isterinya, doktor yang merawat Sulaiman mengatakan dia sihat, tiada tanda-tanda diserang angin ahmar.
“Saya pun berjanji kepada isteri Sulaiman untuk membawa seorang pengamal perubatan alternatif untuk melihat dan merawatnya,” katanya.

Pada waktu yang dijanjikan iaitu selepas solat maghrib, pengamal perubatan alternatif tersebut datang dengan pembantunya ke rumah Sulaiman.

Zack yang turut hadir semasa sesi rawatan tersebut berkata, suasana di dalam rumah Sulaiman yang dipasang penyaman udara terasa agak panas semasa sesi ‘rawatan’ tradisional berlangsung.

“Bila rawatan bermula dan mulut pengamal perubatan alternatif terkumat-kamit membaca ayat-ayat suci al-Quran, Sulaiman menggelupur seperti kepanasan.

“Tidak terdengar langsung suara daripada mulutnya yang meleleh keluar air liur. Keadaan agak mencemaskan hingga saya dan pembantu pengamal perubatan memegang bahagian bahu dan kaki Sulaiman,” katanya.

Setelah hampir sejam, sesi rawatan pun berakhir dan Sulaiman terus memejamkan mata.

Suasana rumah yang sebelum ini panas kata Zack, kembali sejuk dengan udara daripada penyaman udara.
“Selepas rawatan, saya dan isteri Sulaiman menuju ke ruang tamu untuk berbincang tentang punca sebenar penyakit mistik menimpa Sulaiman

“Pengamal perubatan yang berusia lewat 50-an itu berkata, Sulaiman mungkin terkena sihir katak dengan cara seekor katak ditutup tempurung dan dijampi serapah atas namanya,” jelasnya.

Menurut pengamal perubatan tersebut, mungkin si penghantar sihir berdendam dengan Sulaiman yang sering mengeluarkan kata-kata kurang disenangi.

Lebih menakutkan, mungkin nyawa Sulaiman turut boleh melayang jika dibiarkan tanpa rawatan segera.
“Pengamal perubatan itu memberitahu, setelah Sulaiman sedar nanti, air yang dibacakan ayat suci al-Quran hendaklah diminum hingga habis.

“Sebelum beredar pengamal perubatan yang bermisai dan berjanggut panjang itu sempat memberi nasihat.

“Nasihatnya, jika tiada ayat yang elok untuk berkata-kata sebaiknya kita sebagai insan tidak meluahkan lisan atau tulisan menyakitkan hati orang lain,” ujarnya.

Selepas beberapa hari, Zack berkata, Sulaiman semakin sihat dan mampu menguruskan perniagaannya kembali.
Selepas kejadian itu, dia tidak lagi berkata-kata yang menyakitkan hati orang lain.

“Namun usia Sulaiman tidak panjang kerana dia meninggal dunia pada usia 40-an akibat sakit misteri.
“Sama ada berpunca daripada sihir atau penyakit fizikal, tidak diketahui,” katanya mengakhiri perbualan.

Kisah ini telah disiar di akhbar Kosmo! Ilustrasi janaan AI

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

MMToon dimiliki oleh Media Mulia Sdn. Bhd. yang memegang hak cipta dan menerbitkan akhbar Utusan Malaysia, Mingguan Malaysia, Kosmo! dan Kosmo!Ahad
Tidak dibenarkan menerbitkan semula dalam sebarang bentuk atau dengan apa-apa cara, termasuk fotokopi, rakaman, atau lain-lain kaedah elektronik atau mekanikal
tanpa kebenaran pihak MMToon dan Media Mulia Sdn Bhd.

Hak cipta terpelihara © 2026, MMTOON Media Mulia Sdn. Bhd. 201801030285 (1292311-H)
error: Content is protected !!