MMToon

JIN JADI MAKMUM KETIKA SOLAT

Oleh RIZAM ZAKARIYA

KISAH-KISAH mengenai mahhluk halus atau jin sering kali kita dengar terutama daripada mereka yang kerap masuk ke kawasan hutan.

Bagi Azrin (bukan nama sebenar) yang merupakan seorang yang aktif dalam aktiviti lasak, dia turut mempunyai mengalaman ‘bertemu’ dengan makhluk halus.

Membuka cerita, dia yang kini berusia 40 tahun memberitahu, kejadian tersebut berlaku kira-kira 20 tahun lalu ketika dia dan rakan-rakannya menjalankan aktiviti mendaki gunung di Taman Negara di Jerantut, Pahang.

Ketika itu katanya, dia dan rakan-rakannya dari kelab rekreasi universiti dalam misi menawan puncak Gunung Tahan yang memakan masa tujuh hari perjalanan pergi dan pulang dari kawasan resort di Taman Negara tersebut.

Pada hari ketiga pendakian, saya dan empat lagi peserta tiba di kawasan tapak perkhemahan agak lewat iaitu kira-kira pukul 8 malam kerana terdapat seorang peserta yang berjalan agak perlahan akibat cedera.

“Sebagai ketua ekspedisi, saya perlu berada dalam kumpulan akhir kerana perlu mamastikan semua peserta selamat tiba di setiap hentian.

“Sebaik tiba, kami terus menjamah makanan yang telah siap dimasak oleh rakan-rakan lain sebelum membersihkan diri di sungai yang terletak di tepi tapak perkhemahan,” katanya.

Jelas Azrin lagi, selepas mandi dan menukar pakaian bersih, dia terus terlelap di dalam khemah kerana agak keletihan, dan hanya terjaga kembali kira-kira pukul 1 pagi.

Disebabkan belum solat Isyak, dia kemudiannya bingkas bangun dan mengambil wuduk sebelum menghamparkan sejadah plastik yang dibawanya di kawasan landai bersebelahan khemahnya.

“Ketika itu, semua peserta sudah tidur di dalam khemah kecuali dua orang jurupandu arah yang masih berbual-bual di tepi khemah mereka.

Sewaktu ingin memulakan solat, saya berasa agak pelik kerana bulu roma saya mula meremang dan perasaan saya sedikit gementar.

“Namun, saya tidak menghiraukan perasaan tersebut dan terus memberi fokus kepada solat yang ingin didirikan,” katanya.

Menurutnya lagi, sewaktu melafazkan perkataan ‘amin’ pada akhir bacaan al-Fatihah pada rakaat pertama, perasaan meremangnya semakin kuat apabila perkataan tersebut turut dilafazkan beberapa jemaah lain.

Dalam keadaan ketakutan katanya, dia cuma mengawal perasaan takutnya dengan beranggapan bahawa ada beberapa rakannya yang turut solat bersamanya sebagai makmum.

Keadaan itu katanya, berlarutan sehingga selesai empat rakaat dan ketika melafazkan ‘salam’ pada akhir solat, dia masih dapat mendengar ‘makmum’ turut melafazkan perkataan tersebut.

“Selepas memberi salam, saya terus menoleh ke belakang bagi melihat siapakah makmum yang ada di belakang.

Alangkah terkejutnya apabila saya lihat tiada sesiapa pun yang menjadi makmum kepada solat saya.

“Tanpa sempat membacakan wirid dan berdoa selepas solat, saya terus melipat sejadah dan terus masuk semula ke dalam khemah.

‘Sambil berselimut menggunakan beg tidur, saya membacakan beberapa doa dan surah al-Quran bagi meredakan perasaan takut,” katanya.

Jelas Azrin lagi, sepanjang tujuh hari perjalanan pendakian itu, dia tidak menceritakan kepada sesiapa mengenai kejadian yang menimpanya itu.

Namun, pada hari terakhir sebelum mereka berangkat pulang, dia sempat membuka mulut bagi menceritakan kejadian yang menimpanya itu kepada salah seorang jurupandu arah.

Kata Azrin, menurut jurupandu arah tersebut, kawasan tapak perkhemahan yang kami gunakan pada hari ketika pendakian itu memang kerap berlaku kejadian-kejadian seperti itu.

“Menurut jurupandu arah tersebut, kejadian yang dialami oleh saya itu pernah berlaku kepada kumpulan-kumpulan pendakian lain sebelum ini.

“Namun, kejadian tersebut dianggap tidak membahayakan kerana apa yang berlaku adalah kemungkinan kehadiran jin Islam yang hanya ingin turut menyertai solat sebagai makmum.

“Disebabkan itulah kedua-dua jurupandu tersebut masih tidak tidur sewaktu saya mendirikan solat
pada pukul 1 pagi kerana ingin memastikan tiada kejadian diluar jangka berlaku,” ujarnya.

Selepas daripada kejadian tersebut katanya, dia akan memastikan untuk tidak lagi solat
berseorangan sekiranya berada di kawasan hutan sama ada ketika menyertai aktiviti mendaki ataupun berkhemah.

Ia bagi mengelak kejadian seram tersebut berulang lagi sehingga meninggalkan pengalaman yang sukar untuk dilupakan di dalam hidupnya.

Kisah seram ini telah diterbitkan di akhbar Kosmo! Ahad. Ilustrasi janaan AI

MMToon dimiliki oleh Media Mulia Sdn. Bhd. yang memegang hak cipta dan menerbitkan akhbar Utusan Malaysia, Mingguan Malaysia, Kosmo! dan Kosmo!Ahad
Tidak dibenarkan menerbitkan semula dalam sebarang bentuk atau dengan apa-apa cara, termasuk fotokopi, rakaman, atau lain-lain kaedah elektronik atau mekanikal
tanpa kebenaran pihak MMToon dan Media Mulia Sdn Bhd.

Hak cipta terpelihara © 2026, MMTOON Media Mulia Sdn. Bhd. 201801030285 (1292311-H)
error: Content is protected !!