
BAGI anak-anak kecil, pergi ke tandas pada waktu malam merupakan antara perkara yang akan dielakkan kerana tindakan dianggap bakal mengundang malapetaka dan mimpi ngeri.

Mereka percaya disebalik kegelapan malam yang ada dalam ruang tandas, wujud jelmaan bertubuh sasa yang menggerunkan sedang menanti.
Terjadi sejak dahulu lagi yang mana tandas berada di luar rumah, perasaan tersebut masih lagi terbawa-bawa sehingga ke hari ini biarpun kebanyakan tandas-tandas kini ditempatkan di dalam kediaman.

Kebiasaannya ada yang sanggup menahan untuk membuang air kecil atau besar dan menunggu keesokan harinya kerana enggan terserempak dengan entiti yang menggerunkan. Bukan sahaja di Malaysia, situasi tersebut berlaku dalam kalangan kanak-kanak hampir di seluruh pelosok dunia.
Bagaimanapun berbeza di Korea apabila ia turut berlaku dalam kalangan individu dewasa. Ini kerana masyarakat di sana percaya tandas merupakan tempat ‘bertapa’ hantu berambut panjang dikenali sebagai Cheuskin.

Menurut salah seorang penduduknya yang hanya ingin dikenali sebagai Ji-Hoo, Cheuksin merupakan jelmaan dewi paling bengis yang tinggal di bilik mandi dan mempamerkan dirinya sebagai wanita berambut sepanjang.
Memiliki rambut berkepanjangan 150 meter, Cheuksin gemar duduk dalam kegelapan.

Dakwa mereka, Cheuksin dianggap sebagai hantu paling berbahaya dan dipercayai gemar menakutkan anak-anak sehingga sanggup menolak mereka jatuh di dalam lubang tandas.
Jelmaan itu juga paling ditakuti di antara kebanyakan hantu-hantu kerana masyarakat di Korea turut percaya anak-anak yang terjatuh di dalam tandas akan ditimpa nasib malang dan mati sebelum mencapai usia matang.

Biasanya, Cheuksin akan mengganas setiap bulan pada hari yang berangka enam seperti tanggal 6, 16 dan 26 haribulan mengikut kalendar lunar. Kebiasaannya, segala kecelakaan yang berlaku di dalam atau di sekitar rumah selain bilik mandi dikaitkan dengan Cheuksin.
“Oleh kerana takut terserempak dengan Cheuksin, masyarakat Korea bukan sahaja akan mengelakkan ke tandas pada waktu malam, tetapi juga mengelak berada di luar rumah terutamanya pada tarikh-tarik tersebut kerana tidak mahu mengudang malapetaka,” terangnya.

Tergantung di bahagian siling tandas, Cheuksin akan menyerang mangsa dengan melilit rambutnya di sepanjang leher mangsa sebelum mencekiknya.
Jika dia munculkan diri bermaksud dia sedang marah. Biasanya individu yang ingin ke tandas perlu berdehem tiga kali sebagai tanda memberi salam sebelum masuk ke tandas kerana ia akan memberinya waktu untuk bersembunyi.
“Gagal berbuat demikian atau masuk ke dalam tandas tanpa berdehem akan membuatkan si hantu marah.

“Difahamkan sentuhan rambutnya membuatkan individu diserang penyakit ganjil kronik sehingga tidak boleh diubati menggunakan perubatan moden mahupun tradisional,” tambahnya.
Bagaimanapun menurut Ji-Hoo lagi, sumpahan tersebut boleh dibuang dengan melakukan ritual menenangkan Cheuksin yang dikenali sebagai Jesas.

Dalam Jesas yang dikhususkan untuk Cheuksin, orang Korea akan menghasilkan sajian kuih beras yang dipanggil sebagai Ttongtteok, yang bermaksud ‘kue beras tahi’. Ttongtteok kemudian disajikan kepada dewi bersama nasi pulut.
“Kebiasaannya ritual Jesas akan dilakukan pada tiga tarikh keramat itu atau ketika si anak terjatuh di dalam lubang tandas,” ujarnya.

Biarpun kepercayaan masyarakat di negaranya terhadap Cheuksin telah wujud sejak berabad lalu, namun akui Ji-Hoo dia masih bertanya-tanya benarkan hantu berambut panjang itu benar-benar wujud?
“Bagi yang pernah mengalami situasi menyeramkan ini, pasti mereka percaya Cheuksin wujud dan berhati-hati dengan pantang-larang yang ditetapkan.
“Apa-apa pun bagi mengelakkan diri daripada ditimpa masalah, pastikan anda berdehem tiga kali sebelum masuk ke tandas sebagai tanda memberi salam kepada Cheuksin dan mengelakkan perkara tidak diingini berlaku,” ulasnya.
Kisah seram ini telah diterbitkan di akhbar Kosmo! Ahad. • Ilustrasi janaan AI
