Oleh OTHMAN YAHAYA
ORANG ramai yang pertama kali melalui Taman Ria Jaya di Sungai Petani, Kedah pasti berasa hairan apabila melihat sebuah kolam besar yang terletak di belakang Masjid Sultan Abdul Halim kerana ia bukan dijadikan kolam takungan air buangan.

Kolam sebesar tiga padang bola dengan kedalaman melebihi 10 meter itu didakwa tidak mempunyai laluan air masuk atau keluar tetapi airnya tidak pernah kering sejak puluhan tahun lalu.
Difahamkan juga paras airnya tidak pernah berubah walaupun pada musim kemarau atau ketika hujan lebat dalam jangka masa panjang.
Namun bagi penduduk yang membesar di kawasan berdekatan, kolam itu mempunyai cerita misteri menakutkan masih menjadi bualan sehingga hari ini.

Penduduk Taman Ria Jaya, Zulkifli Yaakob, 45, berkata, kolam tersebut dikatakan mempunyai pelbagai jenis ikan seperti patin, kaloi, lohan, toman dan ikan naga, namun ia bukan lokasi pilihan pemancing kerana gangguan makhluk halus.

Saya sendiri pernah diusik langsuir beberapa kali semasa memancing di sini tetapi
disebabkan sudah biasa serta mempunyai sedikit pendinding, usikan itu tidak saya hiraukan.
“Namun, pada pertama kali diusik, bulu roma saya meremang, jantung berdegup kencang, serta peluh jantan memenuhi badan semasa melihat sendiri langsuir menggoncang pokok buluh,” katanya ketika ditemui di Sungai Petani baru-baru ini.

Katanya, kebiasaannya gangguan akan berlaku pada waktu azan Maghrib.
Hashim Embi, 61, berkata, dia pernah terkena usikan hantu air ketika sedang memancing bersama beberapa rakan lain kira-kira enam bulan lalu.
Waktu itu telah hampir senja tetapi disebabkan mata kail kami disentap pelbagai jenis ikan, kami seolah-olah leka dan enggan meninggalkan kawasan kolam itu.
“Tiba-tiba saya dan rakan terasa seperti dilanggar segumpulan angin yang kuat dan pada masa sama bulu roma meremang,” katanya.
Menurutnya, dia dan rakannya kemudian berpandangan antara satu sama lain sebelum mereka membaca ayat Kursi secara serentak.

“Sebaik selesai membaca surah itu, kami melihat gumpulan angin itu menuju ke tengah kolam dan menyebabkan air di permukaan berpusing-pusing sebelum tenang semula kira-kira kurang lima minit kemudiannya.

Bimbang sesuatu yang buruk berlaku, kami bergegas meninggalkan kawasan itu segera dan sehingga kini tidak lagi pergi memancing di situ,” katanya.
Maaruf Jani, 58, seorang lagi pemancing berkata, dia pernah diusik pocong ketika memancing di situ setahun lalu.

“Semasa sedang memancing di tepi pokok besar bersebelahan dengan stesen kecil janakuasa Tenaga Nasional Berhad (TNB), saya tiba-tiba rasa tidak sedap badan seperti hendak demam.
Selepas lima minit melempar kail saya dikejutkan dengan satu bunyi kuat dari arah
belakang seolah-olah sesuatu benda berat terjatuh dan sebaik menoleh saya terkejut melihat pocong berdiri dengan jarak kira-kira tiga meter memandang terus ke arah saya,” katanya.
Menurut Maaruf, dalam keadaan itu dia tergamam dan kelu serta tidak mampu membaca apa jua ayat Al-Quran untuk menghalau makhluk halus itu.
“Selepas beberapa minit kemudian baharu saya mampu membaca surah Al-Ikhlas berulang kali sebelum menoleh ke belakang dan mendapati pocong itu tiada lagi dari pandangan,” ceritanya.

Kata Maaruf beberapa hari kemudian dia berjumpa dengan kenalan lama bapanya dan menceritakan usikan di kolam itu.
“Kata pakcik itu, kolam tersebut dahulunya menjadi tempat penganut satu agama membuang abu mayat selepas proses pembakaran mayat dijalankan oleh mereka.

“Selain itu, kolam itu juga turut dijadikan sebagai tempat mandi penganut agama itu bagi menyucikan diri untuk satu proses ritual keagamaan kerana kawasan Taman Ria Jaya ini sekitar awal tahun 60an dan 70an merupakan kawasan estet,” katanya.
Maaruf berkata,menurut pak cik itu lagi, kawasan kolam itu juga sering dijadikan sebagai tempat membuang saka dan makhluk halus oleh pengamal ilmu perubatan tradisional dan sejak itu dia tidak lagi meneruskan hobi memancingnya di kawasan kolam itu.
