“BETUL cakap kau hari tu beb. Aku betul-betul menyesal tak dengar nasihat kau. Kalaulah aku tahu begini kesannya, sumpah! Aku tak kan buat kerja bodoh ni!.” Razif menyuarakan kekesalannya.
Jazli hanya tersenyum sambil mendongak memandang beberapa ekor burung murai yang hinggap di dahan rambutan berhampirannya. Memang, dia rasa amat bersyukur kerana Razif sedar akan kesilapannya. Dan yang paling penting masih belum terlambat untuk merawat rakannya itu. Jika tidak entah apalah yang jadi agaknya.

Macam manalah kau boleh bertindak sendiri ye? Berani pula kau nak cuba benda-benda macam itu,” Tanya Jazli ingin tahu.”
Razif tersengih kelat. Memang dia tahu apa yang dilakukannya itu adalah tidak wajar, namun gara-gara terlalu ikutkan nafsu dia akhirnya terjebak jua. Nasib baiklah masih belum terlewat untuk dia kembali ke pangkal jalan.
Ini semua gara-gara kesilapannya apabila bertindak melulu berjumpa seorang bomoh untuk membuka hijab matanya.
Semuanya berpunca apabila dia sering mendengar cerita kononnya apabila hijab mata dibuka, maka akan terlihatlah apa yang ada di sebalik mata. Itulah keistimewaan yang tidak boleh dikecapi oleh manusia biasa.
“Hah, ceritalah pada aku apa yang kau nampak beb? Aku nak tahu juga,” tanya Jazli bersungguh. Razif menarik nafas panjang. Nampak dia merenung jauh ke hadapan seakan memikirkan sesuatu. Lantas dia berpaling kea rah Jazli sambil tersenyum kelat.
“Begini ceritanya…,” katanya menyambung kata-kata.
Menurut Jazli sebaik sahaja bomoh tersebut selesai menguruskan upacara membuka hijab di matanya, dia tidak sabar-sabar membuka mata dan memandang sekeliling. Ketika itu pandangannya terasa cukup kabur sehinggakan dia terpaksa menggosok-gosok matanya beberapa kali untuk melihat dengan lebih jelas.

Saya tak nampak apa-apa pun tok? Macam biasa saja,” katanya dengan nada kecewa.
Tok bomoh yang dikenali dengan panggilan Wak Kasran itu ketawa terkekeh-kekeh. Sesekali nampak dia membetulkan silanya.”
“Sabar. Kamu ini gelojoh sangat. Nanti perlahan-lahan kamu akan dapat menikmati apa yang benar-benar kamu ingin lihat,” katanya yang masih pekat dengan loghat Jawa.
Namun ketika dalam perjalanan pulang ke rumah yang terletak kira-kira 30 kilometer di hadapan, Razif mula terasa perubahan dalam dirinya. Entah kenapa jantungnya berdegup laju dan seluruh tubuhnya berpeluh.
Penglihatannya pula nampak semakin jelas berbeza ketika dia berada di rumah Wak Kasran tadi. Dia menggenggam stereng dengan kemas sambil memecut laju. Fikirnya dia mahu sampai ke rumah awal, jika tidak nanti pasti orang tuanya membebel kerana seharian dia keluar tanpa memberitahu ke mana arah tujuannya hari ini.
Namun tiba-tiba dia terkejut. Serta merta darahnya tersirap. Di hadapannya kelihatan satu makhluk aneh berupa manusia tidak berkepala sedang berjalan kaki di tepi laluannya. Razif telan air liur sambil menggosok mata.
Terus dia terfikir adakah benar-benar hijab matanya sudah berjaya dibuka dan kini dia sudah mampu melihat makhluk-makhluk di alam lain yang tidak mampu dilihat oleh mata kasar? Otaknya mula ligat berfikir mencari jawapan.

Nampaknya kebenaran sudah terbukti. Apa yang diinginkannya selama ini sudah jadi kenyataan.”
Sepanjang perjalanan menuju ke rumah Razif sudah mula lihat bermacam-macam makhluk yang tidak pernah disaksikannya sebelum ini. Walaupun ada ketikanya dia berasa teruja namun sedikit sebanyak timbul juga perasaan seram apabila melihat fizikal makhluk tersebut yang cukup menakutkan.
Ada makhluk yang tidak berkepala, ada makhluk yang berwajah menggerikan dan ada juga yang bergentayangan di udara. Razif hanya dapat melihat dari dalam kenderaannya, seolah-olah satu pemandangan yang cukup luar biasa yang sama sekali tidak pernah disaksikan sebelum ini.
Namun sebaik sahaja dia meletakkan kereta di kawasan parkir rumahnya, bermulalah episod yang sama sekali tidak dijangka. Makhluk-makhluk tersebut seakan tahu yang Razif mampu melihat kewujudan mereka sehinggakan ada yang datang ke arahnya dengan gaya yang cukup menakutkan, seakan memberi amaran.
Yang lebih menakutkan pula, sebaik sahaja dia melangkah masuk ke dalam rumah, dia terdengar namanya dipanggil. Dan sebaik sahaja dia menoleh jantungnya seakan disentap keluar. Satu makhluk menakutkan berdiri berhampirannya. Matanya merah menyala, lidahnya terjelir panjang dan rambutnya pula mengerbang panjang tidak terurus.

Hampir hendak tercabut nyawa Razif ketika itu. Dia menggigil sehingga terkencing dalam seluar. Tanpa menunggu lama dia terus berlari masuk ke rumah. Kelakuan peliknya itu disedari kedua ibu bapanya yang ketika itu sedang bersiap untuk menunaikan solat Maghrib.”
“Kenapa ni Zif? Tiba-tiba pula berlari masuk tercungap-cungap. Kena kejar dengan hantu ke?” Tanya ayahnya dengan wajah hairan.
“Iya yah! Memang kena kejar dengan hantu pun. Ada banyak hantu di luar tu yang ikut saya balik,” kata Razif sambil bergegas menutup pintu biliknya. Kedua orang tuanya saling berpandangan. Pelik sungguh mereka lihat kelakuan Razif hari itu. Sudahlah seharian tiada di rumah, tup-tup bila balik sahaja terus dia kata kena kejar dengan hantu.

Sejak pelbagai kejadian menggerikan berlaku di hadapan matanya, Razif sudah tidak berani keluar rumah lagi. Dia lebih selesa berkurung di dalam bilik. Sikapnya itu menimbulkan persoalan kepada orang tuanya. Namun apabila ditanya Razif akan memberitahu yang dia takut untuk keluar kerana banyak hantu-hantu di luar sana yang mengganggunya.”
Walaupun berkurung di dalam bilik, namun itu bukan bermaksud Razif tidak lagi berhadapan dengan situasi yang menakutkan itu. Acap kali juga makhluk-makhluk tersebut muncul di sekitarnya sehingga menyebabkan Razif jadi murung dan tertekan.
Walaupun dalam hati dia rasa amat menyesal atas keterlanjuran perbuatannya itu, namun dia tidak tahu untuk berbuat apa. Fikirannya buntu dan dia tidak mampu untuk berfikir bagaimana ingin menyelesaikan masalah yang dihadapinya ketika itu.
“Begitulah sedikit sebanyak pengalaman yang aku lalui. Aku bersyukur kerana kau datang tolong bawa aku jumpa semula bomoh itu. Kau bayangkan kepala aku rasa nak pecah sampaikan aku tak berani nak buka mata tengok sekeliling,” kata Razif sambil mengusap mukanya berkali-kali.
Jazli terdiam sambil merenung rakannya. Dia sendiri tidak sangka sehingga begitu sekali harga yang harus dibayar oleh Razif demi memenuhi kehendaknya sebelum ini.
Melalui cerita Razif dia tahu trauma dan kesan yang melanda sahabatnya itu. Namun dia bersyukur kerana berjaya menyembuhkan Razif dari terus merana kerana menanggung cita-cita gilanya itu.
Alhamdulillah, kesihatan Razif kembali beransur pulih dan dia sudah berani keluar rumah dan melepak bersama rakan-rakannya, namun ada ketikanya dalam bercerita dia sempat menyelitkan rasa bangganya kerana berjaya mencapai angan-angannya untuk melihat alam di sebalik mata walaupun dalam waktu singkat.
Kisah ini telah disiarkan diakhbar Mingguan Malaysia pada 2 Julai 2023. Ilustrasi janaan AI
