MMToon

MISTERI PENUMPANG MALAM

Oleh Roshihan Annuar Yub

Aku memerhati di luar tingkap sambil menunggu bas yang aku naiki memulakan perjalanan. Aku lihat pemandu sedang sibuk mengira penumpang yang sudah berada di kerusi. Setelah berpuas hati agaknya, dia lantas memadamkan lampu dan memandu perlahan meninggalkan terminal. Aku jeling deretan kerusi di dalam bas, nampaknya tidak ramai penumpang yang ingin ke Selatan pada malam itu.


Kerusi di sebelahku juga masih kosong. Aku berharap agar tiada penumpang lain duduk di sebelahku ketika bas berhenti mengambil penumpang di Kampar atau Tapah nanti, jika benar bolehlah aku tidur selesa hingga ke Johor Bahru nanti.
Aku membetulkan earphone di telinga sambil memilih lagu-lagu di skrin telefonku. Memang begitulah kebiasaanku jika berada dalam kenderaan awam, sekurang-kurangnya muzik boleh membantu melelapkan mata dengan cepat.


Hampir 45 minit perjalanan, akhirnya bas yang aku naiki berhenti di pekan Kampar. Aku lihat beberapa penumpang naik, namun mataku tertumpu pada kelibat seorang gadis muda berjubah hitam yang melangkah naik sambil menjinjing sebuah beg pakaian kecil. Sebaik tiba berhampiranku dia berhenti sambil membelek tiket di tangannya. “Assalamualaikum…maaf ye… tempat duduk saya kat situ,” katanya tersenyum.


Aku menjawab salamnya sambil bangun untuk memberi ruang dia masuk ke dalam kerana tempat duduknya berada di tepi tingkap. Daripada pengamatanku gadis ini mungkin berusia pertengahan 20-an. Walaupun dia memakai jubah dan tudung berwarna hitam, namun dari cahaya lampu suram di dalam bas yang terpasang aku sempat melihat raut wajahnya.

Tidak dinafikan orangnya cantik dan berkulit putih. Susunan giginya putih dan teratur. Bila tersenyum jelas kelihatan lesung pipit di kedua belah pipinya. Wangian yang dipakainya pula cukup harum semerbak, mungkin seluruh penumpang di dalam bas ini dapat menghidu haruman itu.


Sebaik sahaja bas menyambung perjalanan, aku lantas membuka bicara sambil memperkenalkan diri. Gadis tersebut memperkenalkan dirinya sebagai Siti, katanya dia hanya ingin ke Rawang untuk pulang ke rumah, tapi memandangkan tiket bas semuanya sudah habis, jadi dia terpaksa membeli harga tiket ke Johor Bahru walaupun dia akan berhenti di Rawang nanti.

Kami mula bersembang rancak. Aku lihat dia juga seorang yang cukup ramah. Kadang-kadang aku tidak mampu mengawal ketawa apabila ada perbualan kami yang mencuit hati. Aku perasan ada beberapa orang penumpang yang mencuri pandang ke arahku terutamanya pemuda di sebelah kiriku, mungkin dia tidak selesa dan merasakan aku mengganggu suasana sunyi malam mereka ketika itu.

Hampir satu jam juga kami bersembang. Ku intai penumpang di sekitarku, rata-rata sudah lelap dibuai mimpi.
Aku juga tidak terkecuali. Sudah berkali-kali juga aku menguap. Aku jeling jam di tangan, sudah hampir 1.30 pagi rupanya. Aku jeling Siti di sebelah. Ku lihat dia sedang leka melihat pemandangan di luar tingkap bas.

Sejujurnya aku masih ingin lagi meneruskan perbualan, namun mataku sudah tidak mampu menahan mengantuk ketika itu. Baru sahaja aku ingin terlelap, tiba-tiba…

Maaf ye Nizam, sekejap lagi dah nak sampai Rawang. Saya nak turun dah,” katanya sambil tersenyum.
Aku membalas senyumannya. Dalam hati terdetik rasa kecewa kerana tidak dapat berbual lama. Tidak lama kemudian Siti meminta diri kerana bas yang kami naiki sudah menghampiri perhentian rehat Rawang, Sebelum melangkah meninggalkan kerusi dia menghulurkan sehelai kertas kepadaku.

“Ini nombor saya. Kalau rajin nanti bolehlah call,” katanya sambil mengukir senyuman.
Aku menyambut kertas di tangannya. Entah kenapa aku rasa gembira yang teramat. Nampaknya perkenalan kami malam ini tidaklah terhenti begitu sahaja.

Setelah mengucapkan selamat tinggal, Siti melangkah perlahan menuju ke arah pemandu bas di hadapan. Aku sekadar memandang dengan perasaan bercampur baur. Ahh, esok aku akan call dia, kataku dalam hati.


Dari kaca tingkap aku sempat melihat Siti di bawah. Dia tersenyum memandangku sambil melambaikan tangan. Entah kenapa tiba-tiba aku terasa seperti kehilangan sesuatu. Aku mengeliat lemah sambil mengosok-gosok mata. Rupanya bas yang ku naiki sudah sampai di Perhentian Larkin. Ku lihat penumpang sudah berpusu-pusu turun.

Sebaik turun dari bas dan berjalan ke tempat hentian teksi, pemuda yang duduk di sebelahku dalam bas tadi menegurku.

“Wah lama juga bersembang dalam bas tu tadi ye… sembang dengan girlfriend ke? tanyanya sambil tersenyum.
Aku hanya ketawa. Lantas aku beritahunya gadis yang aku berbual tadi baru sahaja aku kenal, itu pun kerana dia duduk di sebelahku.

Lelaki itu memandangku dengan wajah keliru. Dia berhenti melangkah sambil memaut lenganku.

“Bang, saya tak nampak sesiapa pun duduk dekat sebelah abang tadi,” katanya.

Aku tersenyum kelat. Lantas aku beritahu padanya gadis yang duduk di sebelahku tadi naik di pekan Kampar dan turun di hentian rehat Rawang. Mungkin dia tidak perasan. Wajah pemuda itu sedikit pucat. Ku lihat dia mengusap muka sambil matanya liar memandang sekeliling.

Sumpah bang! Saya duduk dekat sebelah abang sejak dari Ipoh lagi. Saya ingatkan sepanjang jalan abang bersembang dan ketawa itu sebab berbual dengan girlfriend di telefon, sebab saya nampak abang pakai earphone. Jelas lelaki tersebut panjang lebar.

Kini aku pula terdiam. Aku hilang idea, namun aku masih merasakan pemuda itu tidak perasan tentang kewujudan gadis tersebut, apatah lagi dia pula memakai jubah dan tudung berwarna hitam.

Kami tidak dapat berbual lama kerana teksi yang ditunggu sudah sampai. Aku raba di dalam poket, kertas nombor telefon gadis tersebut masih terlipat kemas, lupa pula aku tunjukkan kepada pemuda tadi… getusku dalam hati.

Keesokannya selepas bersiap untuk keluar, aku capai telefon bimbit dan mendail nombor telefon yang diberikan Siti.

Hello… Assalamualaikum.. Ini Siti ke? tanyaku perlahan.

“Err…maaf, boleh saya tahu siapa ni?” jawab suara di hujung talian. “Saya Nizam.. boleh saya bercakap dengan Siti?
Suasana sunyi seketika. Aku menunggu dengan penuh sabar.

Maaf ye encik Nizam, sebenarnya Siti dah meninggal dunia lima bulan lepas. Saya ini kakak dia… Nizam ini kawan dia ke? kata suara itu.

Aku terkedu. Hampir terlepas telefon yang aku genggam. Pandanganku serta merta kabur, namun aku gagahkan jua bertanya lagi.

“Iya, saya kawan dia, cuma tak tahu pula dia meninggal. Dia sakit apa?” kataku cuba menyembunyikan cerita sebenar.

“Itulah, ramai yang tak tahu. Dia meninggal dunia sebab kemalangan jalan raya berdekatan Rawang. Masa itu dia dari kampung nak pulang ke rumahnya di Kuala Lumpur,” jawab suara itu dengan nada sayu.

Aku terdiam seolah hilang kata-kata untuk bertanya lagi. Setelah memberi salam, aku mematikan panggilan. Sepanjang hari aku kusut memikirkan perkara itu. Tiba-tiba aku rasakan badanku panas berbahang dan kepalaku berpusing laju seolah hendak pitam.

Kisah ini telah disiar di akhbar Mingguan Malaysia bertarikh 30 Ogos 2020

MMToon dimiliki oleh Media Mulia Sdn. Bhd. yang memegang hak cipta dan menerbitkan akhbar Utusan Malaysia, Mingguan Malaysia, Kosmo! dan Kosmo!Ahad
Tidak dibenarkan menerbitkan semula dalam sebarang bentuk atau dengan apa-apa cara, termasuk fotokopi, rakaman, atau lain-lain kaedah elektronik atau mekanikal
tanpa kebenaran pihak MMToon dan Media Mulia Sdn Bhd.

Hak cipta terpelihara © 2025, MMTOON
Media Mulia Sdn. Bhd. 201801030285 (1292311-H)

error: Content is protected !!