
Peristiwa itu sudah hampir lima tahun berlalu, namun masih segar dalam ingatan Hakim (bukan nama sebenar) yang pernah bekerja sebagai rider penghantar makanan sewaktu dunia dilanda Covid-19.
Kehilangan pekerjaan menyebabkan dia terpaksa mencari sumber pendapatan lain dan kerja sebagai penghantar makanan menjadi pilihannya ketika itu.

Saya tak pernah fikir kerja ini akan bawa saya jumpa benda… macam tu,” katanya perlahan, seolah-olah masih trauma.
Malam itu, sekitar pukul 10.45 malam, Hakim menerima satu pesanan terakhir sebelum dia bercadang untuk pulang ke rumah.

Alamat yang tertera agak pelik iaitu di sebuah rumah di hujung jalan yang rasanya jarang dilalui orang.
Dia hampir membatalkan pesanan itu, namun kerana terfikir barangkali penghuninya kelaparan, dia teruskan juga.

“Saya cepat rasa kasihan jika menolak pesanan tanpa sebab yang kukuh, lebih-lebih lagi pesanan pada lewat malam kerana sering terfikir penghuni mungkin benar-benar kelaparan, namun tidak terdaya untuk memasak mahupun keluar membeli makanan.
“Namun, saya akui ada rasa tak sedap hati,” katanya.

Sepanjang perjalanan, jalan semakin sunyi. Lampu jalan pula banyak yang tidak berfungsi.
Hanya bunyi enjin motosikal dan desiran angin menemani. Apabila tiba di lokasi, Hakim melihat sebuah rumah kayu usang, gelap tanpa sebarang lampu.

Dia memeriksa semula alamat di telefon bimbitnya dan memang itulah destinasinya.
“Saya hubungi nombor pelanggan, tapi tak berjawab. Tiba-tiba pintu rumah itu terbuka sendiri, namun sangat perlahan,” katanya.

Hakim menelan air liur. Dia memberanikan diri mendekati rumah tersebut sambil memegang plastik makanan dengan tangan yang sedikit menggigil.
“Hello, makanan dah sampai,” jeritnya dari luar.
Tiada jawapan.

Namun, dari dalam rumah, dia terdengar bunyi seperti kerusi diseret perlahan, namun berulang-ulang, seolah-olah ada seseorang sedang bergerak di dalam gelap.
Saya dah nak letak makanan kat luar sahaja masa tu, tapi tiba-tiba ada suara perempuan panggil:
Masuklah, letakkan di dalam boleh?” katanya kepada Hakim.
Suara itu sayup, tetapi jelas. Hakim terdiam seketika.

Logik hatinya berkata jangan masuk. Namun entah kenapa, kakinya seolah-olah dipaksa melangkah ke dalam rumah itu.
“Saya masuk dua tiga langkah, namun keadaan dalam rumah itu terlalu gelap. Baunya pula tidak menyenangkan, macam bau tanah yang basah,” katanya.

Tiba-tiba, pintu di belakang Hakim tertutup dengan kuat.
Dia terkejut lalu berpaling, cuba membuka pintu, tetapi tidak berjaya.
“Bila saya pusing balik, saya nampak seorang perempuan berdiri dekat hujung ruang tamu. Rambut panjang tutup muka.

“Dia cakap pada saya: Letak sini… sambil tunjuk lantai,” imbau Hakim saat mendebarkan itu.
Dengan tangan menggigil, Hakim meletakkan makanan itu di lantai. Namun, ketika dia mengangkat semula pandangan, perempuan itu sudah berada sangat dekat dengannya.

“Tubuhnya sangat dekat dengan saya dan yang menakutkan adalah dia berdiri dalam keadaan terbalik (kepalanya di lantai dan kakinya di atas),” kata Hakim.
Hakim menjerit dan cuba melarikan diri sambil mulutnya terkumat-kamit membaca ayat Kursi.
Entah bagaimana, pintu yang tadi tidak boleh dibuka tiba-tiba terbuka luas. Dia berlari keluar tanpa menoleh ke belakang.

Saya dengar dia ketawa, sangat kuat sampai saya sudah naik motosikal pun masih dengar,” katanya.
Kini, biarpun sudah lama meninggalkan kerjaya sebagai penghantar makanan, Hakim berkata ada ketikanya dia masih teringat peristiwa menyeramkan itu.
