MMToon

JELMAAN NENEK TUA PENUNGGU AIR TERJUN

SEJAK kecil, Ismail (bukan nama sebenar) sudah terbiasa dengan cerita mistik yang berlaku di hutan, kawasan air terjun, rumah tinggal atau sekolah.

Namun lelaki berusia 40 tahun itu mengakui tidak pernah mengalami sebarang kejadian misteri mahupun melihat makhluk menyeramkan.

Sehinggalah pada suatu hari, apabila ada insiden mistik yang menimpa dirinya dan keluarga ketika berkelah di kawasan air terjun.

Awalnya, segala perancangan berjalan lancar dan seluruh ahli keluarga berasa teruja untuk menikmati suasana alam semula jadi dan mandi-manda di kawasan air terjun terletak di Utara tanah air.

Kawasan air terjun itu tidak begitu ramai orang kerana bukan waktu cuti. Jadi, kami pun segera mencari tempat yang sesuai untuk membentang tikar dan mengeluarkan makanan.

“Namun tiba-tiba, angin menghembus dengan kuat sehingga membuatkan beberapa ranting pokok jatuh.

“Jadi, kami pilih untuk bertukar tempat ke kawasan baharu yang berhampiran dengan pokok besar. Ini kerana kawasan itu terlihat lebih terlindung daripada angin,” katanya berkongsi cerita kepada CitaRasa.

Kemudian, ketika sedang asyik mandi-manda, salah seorang anak Ismail berlari keluar dari sungai kerana ketakutan sambil menjerit mengatakan ada ular hitam di kawasan itu.

“Saya dengan isteri terkejut dan terus berlari ke tebing sungai untuk membawa anak-anak ke kawasan lebih selamat. Kami pun melihat kawasan sekitar, bimbang jika ular itu tiba-tiba muncul.

“Saya fikir ular itu sudah tiada dan ingin menyambung semula aktiviti mandi-manda. Namun isteri saya minta agar segera berkemas untuk pulang,” ujar bapa kepada dua cahaya mata itu.

Ketika Ismail memasukkan barang mereka ke dalam kereta, anaknya yang nampak ular tadi sekali lagi bersuara.

Ismail memberitahu, anaknya yang berusia tujuh tahun itu tiba-tiba berbisik kepada ibunya.

“Menurut anak saya, ada seorang nenek tua sedang memerhatikan kami tidak jauh dari tempat bermandi-manda tadi.

“Dengar saja, saya terus meremang bulu roma kerana yakin ada sesuatu yang tidak kena. Tidak tunggu lama, saya terus memasukkan barang ke dalam kereta cepat-cepat.

Tiba-tiba, anak saya menangis kerana ketakutan. Katanya, wajah nenek tua itu seperti sedang marah dan terus memerhatikan kami dengan sinis,” ujarnya.

Dalam keadaan tergesa-gesa itu, tiba-tiba kereta Ismail tidak dapat dihidupkan. Beberapa kali mencuba, namun enjin kereta tetap tidak dapat dihidupkan.

Hati Ismail mula gelisah dan bimbang jika perkara buruk berlaku kepada dirinya sekeluarga. Tambah pula, kawasan itu sunyi dan hari semakin gelap.

Tidak mahu mengalah, Ismail beberapa kali mencuba untuk menghidupkan keretanya.

Selepas kereta berjaya dihidupkan, Ismail tanpa membuang waktu terus memecut laju meninggalkan tempat tersebut.

“Hidup saja kereta, saya pun terus pecut. Tapi sempat juga melihat sekilas pandang kawasan sekitar.

“Alangkah terkejutnya saya apabila nampak ada seorang nenek bongkok dengan rambut bersanggul sedang mengelilingi pokok besar tempat kami berkelah tadi.

“Walaupun hanya sekilas, tetapi saya percaya itulah nenek tua yang dilihat oleh anak saya sebelum ini,” katanya.

Setelah pulang, Ismail membawa isteri dan anak-anak bertemu dengan pengamal perubatan Islam.

Menurut ustaz yang ditemui, nenek tua yang dilihat itu dipercayai penunggu kawasan air terjun berkenaan.

Kisah seram ini telah diterbitkan di akhbar Kosmo! Ahad. Ilustrasi janaan AI

MMToon dimiliki oleh Media Mulia Sdn. Bhd. yang memegang hak cipta dan menerbitkan akhbar Utusan Malaysia, Mingguan Malaysia, Kosmo! dan Kosmo!Ahad
Tidak dibenarkan menerbitkan semula dalam sebarang bentuk atau dengan apa-apa cara, termasuk fotokopi, rakaman, atau lain-lain kaedah elektronik atau mekanikal
tanpa kebenaran pihak MMToon dan Media Mulia Sdn Bhd.

Hak cipta terpelihara © 2026, MMTOON Media Mulia Sdn. Bhd. 201801030285 (1292311-H)
error: Content is protected !!