MMToon

TEMAN SEBILIK YANG TIDAK WUJUD

Biarpun sudah lama berlalu, namun Wina (bukan nama sebenar) tidak mampu melupakan pengalaman tinggal sebilik dengan Alia (bukan nama sebenar) yang penuh misteri dan menakutkan.

Ujar Wina, peristiwa itu bahkan masih menghantuinya hingga kini, memandangkan dia sememangnya seorang yang penakut.

Menurut Wina, kejadian berlaku ketika dia berada di tahun pertama pengajian di sebuah kolej yang terletak di sebuah negeri di utara tanah air.

Jelas Wina, dia mendaftarkan diri dan ditempatkan di asrama lama blok C, sebuah bangunan tiga tingkat yang sering dikaitkan dengan kisah-kisah pelik oleh pelajar senior.

Dalam bilik bernombor 3-14 itu, didapati sudah ada seorang gadis cantik bernama Alia yang menjadi teman sebilik Wina.

“Orangnya berkulit putih dengan tubuh yang kecil. Sebaik sahaja saya menolak pintu bilik, saya melihat Alia yang sudah pun duduk di atas katil, memerhatikan saya dengan senyuman yang agak menyeramkan.

“Namun, Alia sebenarnya seorang yang peramah dan mesra. Sebaik memperkenalkan diri, dia terus memberitahu saya bahawa dia seronok apabila ada teman sebilik, memandangkan Alia merupakan seorang anak tunggal dan banyak menghabiskan masa sendirian sejak kecil,” kata Wina.

Oleh kerana kepenatan, Wina tertidur sebaik sahaja selesai mengemas barang-barangnya. Namun, suasana bilik yang agak panas menyebabkan Wina terjaga sekitar pukul 3 pagi.

“Sebaik terjaga, saya melihat Alia sedang duduk di hadapan meja soleknya sambil menyisir rambut dalam keadaan gelap-gelita tanpa cahaya lampu.

“Saya akui agak terkejut, namun rasa penat menguasai diri dan saya kembali menyambung tidur yang terganggu,” katanya.

Keesokan pagi, Wina melihat katil Alia kosong. Barangkali gadis itu keluar awal pagi dan oleh sebab itu dia menyisir rambutnya pada pukul 3 pagi, getus Wina dalam hati.

Selepas Wina keluar ke kelas dan kembali ke bilik pada lewat petang itu, Wina melihat Alia sudah pun di bilik, namun dia hanya diam apabila disapa. Wajahnya juga kelihatan pucat, lalu Wina memutuskan tidak mahu mengganggu gadis itu.

Keesokan pagi, Wina terjaga lagi sekitar pukul 4 pagi kerana mahu ke tandas. Ketika itu, bulu romanya meremang apabila melihat Alia tiba-tiba memakai baju serba putih dan hanya duduk diam merenung tingkap di sebelahnya.

“Saya menegur Alia, namun dia hanya mendiamkan diri seolah-olah tidak mendengar suara saya. Sejujurnya saya sudah mulai takut dan membaca kesemua doa yang saya tahu bagi menghilangkan rasa seram,” kata Wina.

Namun, puncak kejadian berlaku malam keesokannya sekitar pukul tiga pagi. Wina tersedar apabila terasa katilnya bergegar perlahan.

Saat matanya terbuka, dia terlihat Alia sedang duduk di hujung kakinya, dengan rambut menutupi seluruh wajah dan bau yang sangat wangi.

“Alia!” jerit Wina, namun tubuhnya kaku. Kemudian, perlahan-lahan Alia mendongak, wajahnya pucat kebiruan, matanya hitam legam tanpa anak mata.

Keesokan pagi, Wina yang ketakutan bangun awal kerana mahu meminta pihak pengurusan kolej menukarkannya ke bilik lain.

Setibanya di pejabat pengurusan, dia terkejut apabila pihak kolej memaklumkan teman sebilik Wina sebenarnya belum mendaftarkan diri dan hanya akan masuk ke kolej tersebut minggu hadapan.

“Puas saya menjelaskan kepada mereka bahawa teman sebilik saya bernama Alia dan sudah beberapa malam kami tidur bersama.

“Namun, sebaik sahaja saya bawa mereka masuk ke dalam bilik itu, katil Alia kosong, barang-barangnya juga tiada di situ. Keadaan katilnya juga kosong tanpa cadar, seolah-olah tidak terusik.

“Saya kebingungan dan terus rebah di hadapan pintu bilik,” ujar Wina.

Ternyata, Alia yang dilihat Wina tidak wujud kerana teman sebilik sebenarnya yang hanya dikenali sebagai Batrisya mendaftar masuk sedikit lewat.

Sehingga kini, Wina tidak mampu melupakan peristiwa itu dan tertanya-tanya siapa sebenarnya Alia.

Kisah seram ini telah diterbitkan di akhbar Kosmo! Ahad. Ilustrasi janaan AI

MMToon dimiliki oleh Media Mulia Sdn. Bhd. yang memegang hak cipta dan menerbitkan akhbar Utusan Malaysia, Mingguan Malaysia, Kosmo! dan Kosmo!Ahad
Tidak dibenarkan menerbitkan semula dalam sebarang bentuk atau dengan apa-apa cara, termasuk fotokopi, rakaman, atau lain-lain kaedah elektronik atau mekanikal
tanpa kebenaran pihak MMToon dan Media Mulia Sdn Bhd.

Hak cipta terpelihara © 2026, MMTOON Media Mulia Sdn. Bhd. 201801030285 (1292311-H)
error: Content is protected !!