MMToon

SYYY… INI RAHSIA HISTERIA

Misterinya, bukan saja pelajar perempuan, malah beberapa orang pelajar lelaki juga menjadi mangsa. bertambah aneh, pelajar-pelajar yang kerasukan ini akan melarikan diri ke padang.

Sebelum didedahkan rahsia histeria, kita sambung sebuah lagi kisah misteri. Ia berlaku di Sekolah Menengah Datuk Bentara Dalam, Segamat, Johor yang suatu ketika dahulu terkenal dengan kes histeria. Lebih-lebih lagi sekitar 1960-an dan 1970-an.

Menurut guru-guru yang saya temu bual, kejadian histeria berkumpulan sering berlaku sewaktu dijalankan latihan sukan, sukantara, hari sukan sekolah, merentas desa dan hampir dengan hari peperiksaan.

Misterinya, bukan saja pelajar perempuan, malah beberapa orang pelajar lelaki juga menjadi mangsa. Bertambah aneh, pelajar-pelajar yang kerasukan ini akan melarikan diri ke padang dan merebahkan diri berhampiran tiang gol di tepi padang.

Mereka kemudian menekapkan muka ke tanah, seterusnya memakan rumput serta tanah, seperti seekor khi***r! Ada juga pelajar yang bertutur dalam bahasa Jepun dan Inggeris semasa histeria.

Sebahagian lagi pelajar berlari ke sebatang pokok atau sebuah tempat yang terletak satu kilometer dari sekolah. Semuanya angkara diganggu makhluk makhluk menakutkan seperti seorang tua yang hodoh, daif dan melambai lambaikan tangan ke arah mereka. Begitu juga lembaga yang bermata merah dan bertaring. Mengapa gangguan ini berlaku?

Ada pihak yang mengatakan, sekolah itu dibina di atas tanah tempat tentera-tentera Jepun membunuh dan menyeksa mangsanya. Antara tempat seksaan itu ialah pokok yang menjadi tumpuan mangsamangsa histeria. Dikatakan juga pokok itu merupakan tempat tinggal hantu-hantu itu.

MISTERI DAN RAHSIA HISTERIA
APA itu histeria? Secara ringkasnya, histeria bagi perubatan Barat ialah penyakit jiwa. Ia suatu bentuk reaksi terhadap tekanan yang dialami oleh seseorang atau sekumpulan individu yang menganggap mereka tidak mampu mengatasi tekanan tersebut.

Histeria ialah salah satu jalan yang dipilih bagi melegakan tekanan mental dan jiwa yang ditanggung. Ia boleh dilihat dari banyak sudut seperti model keseimbangan (fizikal dan emosi), personaliti, budaya dan banyak lagi.

Bagi masyarakat Melayu pula, histeria ialah kerasukan. Ia berpunca daripada gangguan makhluk ghaib jahat iaitu hantu, syaitan, jin dan bunian. Jadi, mana satu yang benar? Misteri atau emosi?

Jawapannya: Dalam kes di atas, guruguru yang saya temu bual mendedahkan, sebenarnya banyak kejadian masshysteria berlaku ketika berlangsungnya acara sukan kerana ketika itu pelajarpelajar berada dalam keadaan tertekan akibat letih, lapar dan terpaksa bersaing.

Kedua, pada era 1960-an dan 1970-an, semua pelajar diwajibkan memakai seluar pendek, skirt dan tidak dibenarkan bertudung. Ini menyebabkan pelajar pelajar perempuan (terutamanya yang kuat pegangan agama) berasa tertekan.

Sudahlah diwajibkan memakai skirt, dikenakan denda kalau memakai tudung. Ketika sukan pula mereka terpaksa memakai pakaian mendedahkan aurat. Depresi emosi dan mental yang berganda ini menyebabkan mereka melepaskannya dalam bentuk histeria.

Untuk pengetahuan anda, sebahagian besar kes histeria di sekolah-sekolah lain juga berlaku pada hari yang berkaitan dengan sukan. Bagaimana pula dengan histeria semasa diadakan program qiamullail di Sekolah Kebangsaan Kampung Jawa?

Sebenarnya kejadian ini bukannya akibat qiamullail, sebaliknya kerana tekanan perasaan dan ketakutan untuk menghadapi UPSR. Sebab itulah, sebahagian besar kes-kes histeria berlaku pada waktu-waktu menjelangnya peperiksaan.

Tentu anda tertanya-tanya, kalau begitu, bagaimana dengan mass-hysteria yang berlaku tidak pada waktu sukan dan peperiksaan?

Jangan terkejut, ini semua berkaitan dengan emosi. Terdapat kes yang dua kumpulan pelajar bermusuhan. Apabila seorang anggota kumpulan ‘A’ sudah tidak tertahan dengan tekanan serta permusuhan, dia melepaskannya melalui gejala-gejala histerikal.

Dalam masa yang sama, pelajar ini mahukan perhatian dan sokongan emosi daripada rakan lain. Apabila pelajar pertama ‘dirasuk’, rakan-rakannya mula ketakutan, dan mengambil jalan untuk turut histeria, sebagai tanda sokongan.

 Kumpulan musuhnya mula ketakutan, lalu ‘dijangkiti’. Begitu juga dengan pelajar lain, sedangkan mereka tidak nampak pun hantu yang diceritakan. Sementara itu, salah seorang gadis yang saya temui memberitahu, dia akan diserang histeria selepas diajak berjalan oleh seorang tua.

Bagaimanapun, sampai di suatu tempat, dia ditinggalkan begitu saja. Sebenarnya, gadis yang saya temui ini hidup dalam kesedihan dan kemurungan. Sewaktu kecil dia tinggal bersama datuknya.

Bagaimanapun, ketika sedang seronok bermanja, dia terpaksa tinggal bersama kedua-dua ibu bapanya selepas datuknya itu berpindah.

Sejak itulah dia menjadi murung, kesunyian dan terasa ditinggalkan. Banyak kes histeria mempunyai gejala dan punca yang hampir serupa. Tentu anda bertanya lagi, mengapa perempuan yang sering histeria?

Jawapan mudah, antaranya perempuan mempunyai jiwa yang lemah, suka memendam perasaan dan mahukan perhatian. Bebanan perasan itulah yang dilepaskan dalam bentuk histeria. Ini berbeza dengan lelaki.

Semangat mereka kuat, ego lelaki tinggi, tidak suka berkongsi masalah dan tidak gemar meluahkannya dalam bentuk fizikal.

 Itulah sebabnya mereka sukar diserang histeria. Jangan lupa, perempuan ada period. Perubahan hormon mengakibatkan emosi perempuan bercelaru, lebih-lebih lagi yang senggugut. Banyak kes histeria berlaku di asrama. Mengapa? Antara puncanya ialah perpindahan.

Pelajar terlibat berasa sedih kerana teringatkan kampung dan keluarga. Keadaan bertambah teruk apabila mereka gagal menyesuaikan diri dengan persekitaran dan sahabat baru, bermusuhan dan tiada tempat mengadu.

(Kajian saya itu telah dibukukan oleh bekas pensyarah saya di UKM dan pengamal perubatan Islam terkenal, Dr. Amran Kasimin, selaku penulis bersama. Tajuknya, Histeria: Pencegahan dan Rawatan, terbit 1994).

Kisah seram ini telah diterbitkan di akhbar Kosmo! Ahad. Ilustrasi janaan AI

MMToon dimiliki oleh Media Mulia Sdn. Bhd. yang memegang hak cipta dan menerbitkan akhbar Utusan Malaysia, Mingguan Malaysia, Kosmo! dan Kosmo!Ahad
Tidak dibenarkan menerbitkan semula dalam sebarang bentuk atau dengan apa-apa cara, termasuk fotokopi, rakaman, atau lain-lain kaedah elektronik atau mekanikal
tanpa kebenaran pihak MMToon dan Media Mulia Sdn Bhd.

Hak cipta terpelihara © 2026, MMTOON Media Mulia Sdn. Bhd. 201801030285 (1292311-H)
error: Content is protected !!