Selepas menghadiri kenduri tahlil arwah Anjang Surip, Jais bersama rakan-rakannya tidak terus pulang ke rumah. Mereka lantas melepak di tembok depan balai raya di hujung kampung. Memang di situlah ‘port’ mereka setiap hari, pantang ada waktu terluang di situlah mereka akan berkumpul berbual setelah seharian penat membanting tulang di kebun.
“Tak sangka betul pejam celik, pejam celik sudah 40 hari Anjang Surip meninggal dunia kan? Dahlah tiada sakit apa-apa, tahu-tahu saja meninggal dunia!” Kata Budin sambil menghembuskan asap rokoknya ke udara.
Rakan-rakan lain yang berada di situ mengangguk seakan setuju dengan apa yang perkatakan Budin ketika itu.

Iyalah, aku pun tidak sangka. Kalau tidak silap rasanya siang sebelum arwah meninggal dunia, aku ada jumpa dia di pekan. Aku tengok elok saja dia sihat, petang itu dapat tahu dia jatuh pengsan dan terus meninggal dunia,” sambung Jais sambil menampar nyamuk di lengannya.”
“Eh, tapi aku dengar cerita orang kampung, Anjang Surip ini ada ‘membela’ betul ke? Tanya Amin ke arah rakan-rakannya.
Masing-masing terdiam tanpa memberi jawapan. Mereka tahu selama ini cerita Anjang Surip sering menjadi bualan penduduk kampung, namun ramai yang kunci mulut, kononnya Anjang Surip boleh tahu siapa yang menjaja atau bercerita perihal dirinya kepada orang lain.
“Aku tidak pastilah apa yang orang kampung cerita betul atau tidak, tapi dengarnya arwah dulu ada membela polong, entah betul atau tidak, tak tahulah!” Sambung Seman lagi.
Rakan-rakan lain yang berada di situ lantas memarahi Seman gara-gara keceluparannya. Jais memberi isyarat agar Seman tidak terus bercerita perihal Anjang Surip, katanya tidak elok mengungkit kisah orang yang sudah meninggal dunia.
“Ishh, kau ini Seman, sudah-sudahlah itu! Tak baik kita bercerita pasal orang yang sudah tiada, nanti kau sebut-sebut, lepas itu kau terjumpa pula, haaa… baru kau ada akal!” Kata Amin sambil menuding jari ke arah rakannya itu.
“Eh, aku kalau jumpa takkan lari punya, silap hari bulan aku kejar dia balik!” Jawab Seman sambil tertawa kecil.
Rakan-rakannya yang berada di situ sekadar mencebikkan bibir. Mereka tahu Seman bukanlah lelaki berani, hanya sembangnya sahaja yang berdegar.
Malam semakin larut, namun mereka berempat masih lagi bergelak ketawa berbual pelbagai topik. Suasana sekeliling sudah sunyi sepi dan gelap gelita, mungkin sudah ramai penduduk kampung yang lena diulit mimpi.
“Eh, beb sudah pukul berapa ini? Nanti aku tak boleh pula masuk ke rumah, maklumlah aku terlupa bawa kunci,” kata Seman sambil melihat jam di telefon bimbitnya.

Rakan-rakan lain yang berada di situ ketawa berdekah, lucu melihat tingkah laku Seman yang gelisah kerana takut pulang lewat ke rumah.”
“Eleh, tak bawa kunci konon. Cakap sajalah yang kau takut hendak balik lewat malam,” sambung Latip sambil disahut gelak ketawa rakan-rakan lain.
Menyinga Seman melihat gelagat rakan-rakannya ketika itu lantas dia terus menukar topik perbualan agar dia tidak terus dijadikan ‘bahan’ ketawa oleh mereka.
Suasana persekitaran sudah sunyi sepi. Hanya bunyi unggas dan cengkerik yang memecah kesunyian malam. Sesekali terdengar bunyi salakan anjing dari hutan berdekatan, namun langsung tidak dihiraukan mereka yang masih galak berbual.
“Eh, ada tercium apa-apa bau tak?” Tanya Jais sambil menggosok hidungnya.
Berkerut dahi rakan-rakan yang lain. Mereka angguk kepala sambil meninjau ke arah semak berhampiran.
Memang ada bau yang kurang menyenangkan menyerap rongga hidung mereka ketika itu, namun tidak tahu puncanya dari mana.
UWEKKKK…. UWEKKKK….
Hampir hendak termuntah Jais dibuatnya. Katanya, bau tersebut bukan sahaja busuk tetapi cukup meloyakan.
“Tak pernah lagi aku cium bau sebusuk ini, bangkai apa agaknya tak tahulah!” Kata Seman sambil menutup hidung, sesekali dia meludah ke tanah kerana sudah tidak mampu menahan aroma yang dibawa angin ketika itu.
Mata mereka melilau meninjau sekeliling mencari dari mana puncanya bau tersebut Pelik juga bila difikirkan, kerana ketika datang sebentar tadi bau tersebut langsung tidak wujud.
“Pelik sungguh! Tadi, waktu kita sampai bau ni langsung tak ada, entah mana datangnya tak tahulah. Entah-entah ada binatang mati tak?” Ngomel Amin sambil menekup hidung.
Ketika mencari dari mana datangnya bau busuk tersebut, tiba-tiba mata mereka tertumpu ke arah satu cahaya yang terang benderang dari kebun getah berhampiran. Cahaya itu bulat dan terawang-awang di udara seperti bola api.
Mereka berempat tergamam kaget. Tidak pernah lagi mereka saksikan objek pelik sebegitu, malah cahaya tersebut berlegar-legar seakan ingin menghampiri tempat di mana mereka berada.
“Eh, cahaya apa pula itu, terang semacam saja!” Kata Jais dengan wajah penuh kehairanan.
Rakan-rakan lain hanya memerhatikan sahaja tanpa sepatah kata. Mereka juga tidak punya sebarang jawapan, hanya menunggu jika objek tersebut datang menghampiri.
Tidak sampai beberapa saat kemudian cahaya bulat seperti bola api itu bergerak menuju ke arah mereka, namun berhenti dan berlegar-legar di udara kira-kira 50 meter dari tempat mereka berada.
“Alamak, hantu… hantu penanggal! Lari…. Lari…,” jerit Seman sambil berlari pantas meninggalkan rakan-rakannya yang masih dalam keadaan terpinga-pinga.
Melihat sahaja perlakuan Seman yang cabut lari tidak cukup tanah, apa lagi… rakan-rakan lain turut sama bertaburan menyelamatkan diri tanpa sempat membawa motosikal masing-masing.
Keesokkan petang selepas waktu Asar mereka bertemu semula di surau hujung kampung. Masing-masing tidak sabar ingin bercerita tentang kejadian yang berlaku pada malam semalam.
“Malam tadi aku dah tidak ingat apa yang jadi! Habis semua aku redah, janji aku selamat sampai ke rumah,” kata Seman bersungguh.
Rakan-rakan lain diam membatu. Mereka juga seperti Seman, pecut lari sampai ke rumah. “Tetapi ada satu rahsia yang aku hendak cerita. Dan mesti semua takkan percaya! Sambung Seman lagi.
Masing-masing memandang Seman dengan penuh tanda tanya. Tidak tahu apa rahsia yang ingin didedahkan oleh sahabatnya ketika itu.
“Perasan tak, hantu penanggal yang kita nampak malam tadi? Tanyanya lagi kepada mereka.
Masing-masing hanya mengangguk tanpa jawapan.
“Sebenarnya waktu aku berlari balik tu, hantu penanggal itu ikut aku sampai ke rumah. Mula-mula aku tidak perasan, tetapi bila aku berada di pangkin rumah masa hendak tunggu adik aku buka pintu, aku tercium bau busuk.

Bau itu macam bau yang kita cium masa melepak di tembok itu. Bila aku toleh ke belakang mata aku terus ternampak bola api berlegar-legar di halaman rumah aku.”
“Masa aku terpandang itu terus aku terkejut. Hendak tahu tak kenapa? Tanyanya lagi Masing-masing menggelengkan kepala dengan riak muka ingin tahu.
“Wajah penanggal itu sebiji macam muka arwah Anjang Surip! Sumpah! “Aku nampak jelas mukanya walaupun seperti terbakar. Nampak segala usus dan tali perutnya berjurai panjang dan bercahaya. Ishhh, memang seram beb! Tak tahu aku hendak gambarkan macam mana.

“Matanya merah menyala, terbuntang bulat tepat memandang ke arah aku. Waktu itu aku betul-betul rasa hendak pengsan. Lemah seluruh badan.
“Waktu aku masuk ke dalam rumah, penanggal tu masih ada berlegar-legar lagi di halaman rumah, tidak lama lepas itu baru dia terbang dan hilang di kebun getah belakang rumah,” sambung Seman bersungguh-sungguh.
Rakan-rakannya yang berada di situ terdiam mendengar cerita Seman.
Tidak mungkin sahabatnya itu berbohong atau mengada-adakan cerita, malah jika dia berbohong sekalipun tidak ada apa untungnya, lagipun apa yang berlaku malam tadi memang mereka saksikan sendiri di depan mata.
“Pelik juga, apa kena mengenanya penanggal yang kita nampak itu dengan arwah Anjang Surip, entah-entah ada kaitan dengan kisah silam dia tak? Tanya Budin sambil mengusap muka.
Masing-masing tiada jawapan, malahan mereka juga tertanya-tanya dalam hati tentang kaitan antara arwah Anjang Surip dengan lembaga penanggal yang mereka lihat malam tadi.
Adakah penanggal itu belaan arwah selama ini ataupun arwah yang bertukar menjadi makhluk tersebut selepas dia meninggal dunia? Pelbagai andaian mula bermain di fikiran mereka.
“Entahlah, kita sendiri pun tidak tahu apa yang berlaku dan ilmu apa dituntut oleh arwah semasa hayatnya. Dan rasanya tidak perlulah kita hebohkan cerita ini, risau pula kalau memalukan ahli keluarga arwah nanti.
“Cuma sebelum ini ada juga aku dengar cerita yang kononnya arwah ada ‘membela’ sesuatu, tapi Wallahualam, aku tengok arwah itu okey saja, tidak ada pula cerita-cerita pelik tentang dia semasa hayatnya,” sambung Budin menghela nafas.
Mereka semua mengangguk setuju, memang betul selama ini tidak kedengaran pula cerita negatif tentang arwah walaupun ada yang mendakwa dia ‘membela’ sesuatu untuk menjaga kebun dan harta bendanya.
“Aku tidak pasti ada tak orang lain yang pernah terserempak dengan penanggal ini, kalau ada boleh juga kita bertanya, mana tahu sama seperti yang kita jumpa malam tadi.
“Tapi walau macam mana pun kita cuba siasat apa kaitannya hantu penanggal itu dengan arwah, manalah tahu kalau-kalau kita dapat jawapannya nanti,” pesan Jais kepada teman-temannya.
Kisah ini telah disiarkan diakhbar Mingguan Malaysia pada 30 November 2025. – Ilustrasi janaan AI
