MMToon

DIKACAU SAKA NENEK CARI TUAN BAHARU

WALAUPUN usia mencecah lewat 70-an, tetapi seorang wanita yang dikenali sebagai Nenek Jah anggun menggayakan kebaya dan rambutnya disanggul tinggi sehingga membuatkan sekali pandang persis anak gadis apatah lagi memiliki pinggang kerengga.

Nenek Jah bukan hanya terkenal dengan kejelitaan ketika di usia muda sehingga menjadi rebutan ramai pemuda, tetapi dia juga dilahirkan dalam keluarga hartawan dengan memiliki banyak ladang serta hartanah.

Disebalik segala keindahan rupa para dan kisah hartawan Nenek Jah itu tersimpan kisah misteri yang membelenggu penduduk kampung serta keturunan wanita tersebut.

Menceritakan kisah misteri Nenek Jah, salah seorang cucunya yang ingin dikenali sebagai Su memberitahu, dia pernah beberapa kali ternampak wanita tersebut memakai sejenis tangkal benang di pinggang, tetapi dia tidak mahu memikirkan terlalu serius mengenai perkara tersebut.

“Saya menyangka ia hanyalah untuk tujuan perubatan dan tiada berkaitan dengan perkara khurafat.

Lebih mengejutkan saya pernah masuk ke bilik nenek dan ternampak peralatan seolah-olah alat pemujaan,” kata anak sulung daripada empat beradik itu.

Su memberitahu, Nenek Jah mempunyai lapan orang anak dan kebanyakan mereka tinggal di bandar dan luar negara bersama keluarga masing-masing termasuk bapanya. Oleh itu, mereka jarang pulang ke kampung dan Nenek Jah tinggal bersama anak bongsu serta beberapa orang cucu sebagai peneman.

Cerita wanita itu, dia sangat seronok pulang ke kampung kerana Nenek Jah sangat penyayang dan terlalu memanjakannya sebagai cucu sulung. Ketika Nenek Jah masih hidup, keadaan di rumah banglo dua tingkat itu kelihatan tenang dan mendamaikan, tetapi selepas ketiadaannya, ‘pendamping’ atau saka wanita itu mula memunculkan diri untuk mencari tuan baharu.

 

Saya masih ingat malam kedua selepas nenek meninggal, kelihatan seorang wanita tua persis wajahnya berjalan-jalan mengelilingi rumah pusaka itu.

“Saya cuba memberitahu adik-beradik dan keluarga lain mengenai peristiwa itu, tetapi mereka tidak percaya kerana tiada seorangpun melihatnya,” ujarnya.

Segalanya terbongkar apabila ayah Su sendiri menceritakan perbuatan khurafat keturunan keluarganya yang mempunyai ‘pendamping’ sehingga diturunkan kepada Nenek Jah.

Rupanya-rupanya keturunan keluarga kaya dan pengaruh itu menggunakan pendamping untuk menjaga harta serta keturunan mereka.

Namun, anak cucu Nenek Jah yang hidup sebagai orang moden tidak mahu menyambung keturunan tersebut malah ada juga tidak percaya perkara karut seperti itu.

Saya berasa sangat tertekan kerana pendamping itu memilih saya sebagai tuan baharu sehingga sering diganggu dengan kehadiran nenek.

“Oleh itu, saya telah meminta bantuan seorang ustaz untuk melindungi diri daripada pendamping keturunan keluarga kami,” katanya.

Setelah mendapatkan rawatan serta bantuan daripada mereka yang ahli di dalam bidang tersebut, akhirnya Su tidak lagi diganggu oleh makhluk tersebut dan kini menjalani kehidupan dengan tenang.

Kisah seram ini telah diterbitkan di akhbar Kosmo! Ahad. • Ilustrasi janaan AI

MMToon dimiliki oleh Media Mulia Sdn. Bhd. yang memegang hak cipta dan menerbitkan akhbar Utusan Malaysia, Mingguan Malaysia, Kosmo! dan Kosmo!Ahad
Tidak dibenarkan menerbitkan semula dalam sebarang bentuk atau dengan apa-apa cara, termasuk fotokopi, rakaman, atau lain-lain kaedah elektronik atau mekanikal
tanpa kebenaran pihak MMToon dan Media Mulia Sdn Bhd.

Hak cipta terpelihara © 2025, MMTOON
Media Mulia Sdn. Bhd. 201801030285 (1292311-H)

error: Content is protected !!