MMToon

MISTERI LELAKI DI TEPI JAMBATAN


Oleh Roshihan Annuar Yub

Ada satu kisah yang ingin aku kongsikan dengan pembaca. Kisah ini berlaku sekitar tahun 2000 dahulu ketika aku bekerja di ibu kota Kuala Lumpur. Ceritanya bermula ketika aku pulang ke kampung halaman yang terletak di sebuah daerah kecil di utara tanah air. Begini ceritanya…

Aku bertolak menaiki motosikal dari ibu kota kira-kira pukul 4 petang. Kebiasaannya jika tiada aral melintang lebih kurang pukul 10 malam sampailah aku ke kampung.


Aku tidak berani hendak pecut laju sebab motosikal aku bukanlah yang jenis berkuasa tinggi, kata orang tahap ‘kapcai’ saja, pulas sekuat tenaga pun memang takkan laju ke mana, jadi lebih baik aku bawa dalam keadaan tenang dan santai.

Tetapi hari itu aku lewat daripada biasa. Puncanya sebab hujan lebat di sepanjang jalan, dan aku terpaksa berhenti beberapa kali untuk berteduh. Aku keluar dari lebuh raya lebih kurang pukul 11.45 malam sebelum masuk ke jalan lama menuju kampung ku.

Suasana jalan raya menuju ke kampung pada waktu tengah malam memang sunyi sepi. Jika berselisih dengan kenderaan lain pun boleh dibilang dengan jari, maklumlah, kampung aku terletak jauh di ceruk pedalaman.


Untuk sampai ke rumahku memakan masa hampir setengah jam juga. Jalan rayanya pula gelap dan tidak berapa baik, jadi terpaksalah aku bawa motor dengan perlahan dan penuh hati-hati, risau pula kalau termasuk lubang atau terlanggar binatang liar yang banyak berkeliaran di hutan sepanjang jalan.

Aku menunggang motosikal dengan penuh hati-hati. Sesekali aku toleh ke kiri kanan jalan untuk lihat sekeliling. Sejuk sungguh rasanya malam itu tambah pula pakaianku masih lembap kerana dibasahi hujan sepanjang perjalanan tadi.

Sedang tekun mengawal motosikal, tiba-tiba aku terlihat kelibat seorang lelaki sedang berdiri berhampiran jambatan di sungai berdekatan. Aku toleh ke arahnya, nampak jelas dia sedang berdiri seakan menunggu sesuatu sambil menjinjit sebuah bungkusan.


Perasaanku berbelah bahagi sama ada ingin berhenti atau teruskan perjalanan, namun jauh di sudut hati terdetik pula rasa simpati. Manalah tahu kalau-kalau dia ditimpa masalah dan perlukan pertolongan.

Namun hati tetap tertanya juga sama ada makhluk yang ku lihat itu manusia atau pun sebaliknya, maklumlah sudah lewat malam begini macam-macam boleh jadi.

Walaupun perasaan masih berperang di sanubari, aku akhirnya ambil keputusan untuk berhenti. Dari suluhan cahaya lampu motosikal aku nampak jelas sosok yang yang sedang berdiri itu, seorang lelaki lingkungan usia lewat 30-an.


“Assalamualaikum, abang hendak ke mana ni? Kalau boleh saya bantu,” tanyaku sebaik sahaja menghampirinya.
Lelaki tersebut tidak menjawab, dia memandangku dengan perasan cuak.

Raut wajahnya sedikit cemas, mungkin tidak menyangka ada orang yang menyapanya di waktu tengah malam begitu. Terus aku bertanyakan tujuannya, kalau-kalau aku boleh membantu.

Lelaki tersebut masih tidak menjawab soalanku. Sesekali matanya liar memandang sekeliling. Mungkin dia fikir aku orang jahat yang ingin merompaknya, tekaku dalam hati.

“Sebenarnya saya hendak balik ke rumah tapi dari tadi tunggu kenderaan satu pun tak muncul,” katanya perlahan.
“Oh, macam itu. sebenarnya abang dari mana? Tanyaku lagi.


“Saya dari pekan, tadi naik prebet sapu, tiba-tiba sampai sini driver itu kata tak boleh hantar pula sebab ada kecemasan, itu yang saya tunggu di sini kalau-kalau ada sesiapa yang boleh saya tumpang” tuturnya jelas.

Aku tidak banyak tanya, terus saja mempelawanya membonceng motosikalku lagipun memang kebetulan aku akan melintasi tempat yang ingin ditujunya, kiranya tidaklah menyusahkan langsung.


Sepanjang perjalanan pemuda tersebut hanya mendiamkan diri. Tiada sepatah pun perkataan yang keluar daripada mulutnya. Aku fikir mungkin dia keletihan atau tiada topik untuk berbual denganku.

Sebaik melewati pekan kecil di situ aku ternampak beberapa orang rakan sekampung yang sedang duduk melepak di tembok berhampiran. Aku tersenyum sendirian, nampaknya mereka masih lagi jadi penuggu setia di tembok ini, walaupun sudah lewat malam.

Ikutkan hati ingin saja aku berhenti dan lepak sekejap bersama mereka, tetapi memandangkan aku terpaksa menghantar pemuda tersebut pulang ke rumahnya, terpaksalah aku batalkan niat. Lantas aku ambil keputusan untuk berhenti sekejap sambil bertanya khabar.

“Assalamualaikum, wehh dah malam ni! Kamu semua tak balik rumah lagi ke? Jeritku sambil ketawa perlahan.
Beberapa orang rakanku yang ada di situ terpingga-pingga sambil meletakkan tapak tangan di mata. Mungkin silau dengan lampu motosikalku yang betul-betul berada di depan mereka agaknya.


“Laa kau ke Lie, aku ingatkan siapa tadi. Kau baru sampai ke ni? Tanya Azrin tersengih.
Beberapa orang rakanku yang ada di situ nampak teruja dengan kepulanganku. Masing-masing berlumba bertanya khabar.

“Eh, esoklah kita jumpa! Aku nak balik dululah nanti risau pula mak ayah aku. Sudah lewat ini, lagipun aku hendak hantar member ni balik dulu, dia kena tinggal dengan prebet sapu tadi,”

“Esoklah kita jumpa sembang panjang,” kataku sebelum melencongkan motosikal kembali menuju ke jalan besar.
Sebaik sahaja aku beredar dan memberi salam, aku perasan beberapa orang rakanku yang tadinya ingin berjalan ke arahku berdiri kaget. Mata mereka sekadar terpaku melihat ke arah motosikalku yang memecut pergi.

Aku terus memecut motosikal meninggalkan rakan-rakan yang sedang melepak di tembok berhampiran simpang jalan. Walaupun hati kecil meronta-ronta ingin turut lepak bersama, tetapi aku kena berfikir dua kali kerana hari sudah larut malam dan ada individu lain yang menumpangku ketika itu.

Dan isu yang paling besar adalah aku kena pulang ke rumah secepat mungkin takut kalau-kalau ibu dan ayah masih berjaga menunggu kepulanganku waktu ini.

“Ah, tak mengapalah! Esok pun aku boleh jumpa mereka,” bisikku dalam hati.

Hampir 10 minit perjalanan, akhirnya pemuda yang menumpangku itu memberitahu tempat tujunya hampir sampai. Aku lantas memperlahankan motosikal.

“Terima kasih ye,” katanya ringkas.
Aku sekadar mengangguk sambil memerhatikannya yang terus melangkah laju menuju ke arah sebuah lorong berhampiran kilang sawit berdekatan. Tangannya masih lagi menjinjing erat plastik yang aku tidak pasti apa isi kandungannya.

Aku tunggu sehingga kelibatnya hilang daripada pandangan. Waktu sudah menghampiri 12.30 tengah malam. Bunyi salakan anjing bersahutan dari kebun sawit berdekatan. Entah kenapa tiba-tiba bulu romaku tegak meremang.

Tanpa menunggu lama aku terus pecut motosikal dan berlalu pergi. Tak sabar rasanya hendak sampai ke rumah untuk berjumpa ibu ayah serta adik-adikku. Dan yang paling penting pastinya masakan ibu yang sentiasa menyelerakan.

Keesokannya selepas membeli barang dapur yang dipesan ibu aku bergegas menuju ke ‘port’ biasa tempat kawan-kawanku melepak. Sebaik sampai aku lihat Mizi, Budin dan Syawal sudah berada di situ. Setelah menongkat motosikal aku terus menuju ke arah mereka. Masing-masing nampak terkejut dengan kehadiranku ketika itu.

“Eh, kamu semua ini kenapa? Tengok aku macam nampak hantu, macam tak suka aku balik kampung saja,” kataku sambil menghulurkan tangan bersalam.

Tiga orang rakanku yang berada di situ hanya memandangku dengan senyuman kelat. Selesai bersalaman aku terus buka cerita sambil bertanya khabar rakan-rakan lain.“Lie, aku hendak tanya sikit ni, kau jangan terkejut pula,” kata Syawal mengerutkan dahi.
Aku tersengih sambi menunggu perkataan yang keluar daripada mulutnya.

“Malam tadi masa kau singgah di sini, kau bawa siapa? Tanya Syawal inginkan kepastian.

Aku terdiam sambil garu kepala yang tidak gatal. Terus aku ceritakan bagaimana aku berjumpa pemuda tersebut sebelum menumpangkannya pulang ke rumah.

“Aku kasihan dengan dia tunggu seorang diri di kedai itu. Kalau aku tidak tumpangkan memang sampai ke pagilah dia berdiri di situ.

“Eh, kamu semua kenal ke brader tu? Sebab aku tak pernah jumpa pula dia sebelum ini, rasanya bukan orang sini,” kataku lagi. Budin menepuk bahuku perlahan sambil duduk merapatiku.


“Sebenarnya macam ini Lie, masa kau singgah di sini tegur kita orang semalam, kita orang tak perasan kau ada tumpangkan sesiapa, maklumlah kau pula datang dari depan, lampu motor kau pun dah buat kami semua silau.

“Tapi bila kau pusing hendak masuk ke jalan besar barulah kami perasan ada orang yang tumpang kau di belakang tu,” terang Budin panjang lebar.Aku hanya tersengih.
“Tapi masalahnya sekarang ini kau tahu tak apa yang kami nampak? Soal Budin kembali.

Aku diam sambil menggelengkan kepala. Entah kenapa aku rasa tidak selesa dengan pertanyaannya.
“Kita orang bertiga nampak kau tumpangkan orang yang tak ada kepala. Dan yang paling buat kita orang macam hendak gugur jantung bila tengok dia jinjing plastik yang dalamnya berisi kepala,” sambung Mizi dengan bersungguh.

Aku terdiam. Entah kenapa tiba-tiba aku rasa bulu romaku tegak berdiri, namun aku cuba berlagak biasa sambil bertanya lagi.


“Seriuslah apa yang kamu semua cakap ini?,” Tanyaku inginkan kepastian.
Budin menghela nafas sambil menyambung ceritanya.

Katanya, sebaik sahaja aku memusingkan motosikal ke jalan besar, barulah mereka perasan aku membawa seseorang di belakang. Namun mereka yang berada di situ tergamam kerana tidak percaya dengan apa yang dilihat.

Katanya lagi, nampak jelas lelaki yang memboncengku ketika itu tidak mempunyai kepala, malah kepalanya diletakkan dalam plastik yang dijinjingnya ketika itu.

Sebaik sahaja mereka lihat, masing-masing terus tidak tunggu lama terus hidupkan motor dan bergegas pulang sampaikan salah seorang rakannya Zilan demam hari ini gara-gara terkejut.

Aku tergamam. Tak tahu bagaimana ingin berikan reaksi ketika itu. Entah kenapa tubuhku serta merta menggigil dan terasa panas.


“Aku rasa pemuda yang kau bawa tu mesti ada kaitan dengan kemalangan yang berlaku bulan lepas di jalan besar di pekan itu,” kata Budin.

Budin terus buka cerita, katanya sebelum ini ada satu kemalangan ngeri melibatkan sebuah lori treler dengan sebuah kereta di pekan, menurutnya pemandu kereta tersebut meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah.

Tetapi mayatnya cukup ngeri, kerana beberapa anggota badannya terputus dan hancur, kata Budin lagi pemuda tersebut merupakan pekerja ladang sawit yang tinggal di daerah berdekatan.

Aku terdiam mendengar ceritanya. Lidah serta merta kelu tanpa mampu berkata sepatah.

Jika benarlah apa yang dikatakan Budin itu bermakna malam tadi aku bukan membawa manusia sebagai pembonceng, tetapi hantu seperti yang diperkatakan mereka.

 

Kisah ini telah disiarkan diakhbar Mingguan Malaysia pada 21 September 2025. Imej janaan AI.


MMToon dimiliki oleh Media Mulia Sdn. Bhd. yang memegang hak cipta dan menerbitkan akhbar Utusan Malaysia, Mingguan Malaysia, Kosmo! dan Kosmo!Ahad
Tidak dibenarkan menerbitkan semula dalam sebarang bentuk atau dengan apa-apa cara, termasuk fotokopi, rakaman, atau lain-lain kaedah elektronik atau mekanikal
tanpa kebenaran pihak MMToon dan Media Mulia Sdn Bhd.

Hak cipta terpelihara © 2026, MMTOON Media Mulia Sdn. Bhd. 201801030285 (1292311-H)
error: Content is protected !!