Selepas mendapati trend star gazing (melihat bintang) semakin popular, Ahmad (bukan nama sebenar) teringin mengimbau kembali memori mistik yang dialaminya sebelum ini.
Pada malam kejadian, langit di Kuala Kubu Bharu, Selangor cukup gelap dan bersih sehingga menampakkan bintang bertaburan seperti ditabur oleh tangan manusia.
Ahmad berkata, dia dan dua lagi rakannya membentang tikar nipis di tepi kawasan lapang, baring menghadap langit sambil membiarkan mata perlahan-lahan membiasakan diri dengan kegelapan malam.

Pada awalnya, semua kelihatan normal. Kami berbual perlahan sambil meneka nama bintang yang kami ingat-ingat lupa. Bunyi cengkerik berselang-seli dengan desir angin. Hutan di sekeliling cuma menjadi bayang hitam tanpa bentuk.
Hanya kami sahaja di situ. Gelak tawa kami sememangnya bergema memecah kesunyian malam di kawasan lapang tersebut, katanya. Benar kata orang tua-tua, terlalu galak pada waktu malam, terutama di kawasan hutan boleh mengundang bahaya.

Dalam kesibukan Ahmad merakam pemandangan langit hitam, tiba-tiba dia ternampak bayang putih melintas di dalam lensa kameranya. Bayang putih itu melayang seakan-akan berpusing, turun sedikit dan kemudian naik semula.
Ahmad segera mengesat matanya kerana menyangka dia tersalah melihat tahi bintang.
Namun bayang itu semakin jelas dan seolah-olah menghampiri lensa kameranya. Jantung Ahmad berdegup kencang, sebelum dia segera memanggil rakan-rakannya yang masih galak bercerita dan ketawa.
Mula-mula, kawan-kawan ingat saya sekadar buat prank kerana kami memang suka bergurau. Jadi, mereka mula cakap besar. Bagi membuktikan saya pengecut, mereka seru entiti itu keluar, katanya.
Tiba-tiba, kamera Ahmad mula merakam gambar sendiri tanpa dia menekan sebarang butang. Anehnya, gambar-gambar yang dirakam hanyalah pemandangan biasa dan tidak menunjukkan sebarang entiti seperti dimaksudkan.

Namun, sebelum Ahmad sempat menjelaskan apa yang dilihatnya dengan lebih terperinci, suasana di kawasan lapang itu tiba-tiba berubah. Bunyi cengkerik yang sejak tadi berselang-seli dengan desir angin seakan terhenti serentak, sehingga meninggalkan sunyi yang menekan dada.
Cerita Ahmad, ketika itu udara di sekeliling terasa lebih berat dan dingin, seolah-olah ada sesuatu yang tidak kelihatan sedang menghampiri mereka. Salah seorang rakan saya yang sebelum itu paling lantang tiba-tiba terdiam. Wajahnya pucat dan matanya tertancap ke arah hutan yang gelap di hadapan kami.

Dia tidak berkata apa-apa, cuma mengangkat tangan sambil menunjuk ke atas, katanya. Ketika itu, Ahmad mendongak dan melihat bayang putih yang sama muncul semula, kali ini lebih rendah daripada sebelumnya.
Bentuknya tidak jelas, namun kelihatan seperti kain panjang yang melayang tanpa arah dan bergerak perlahan tanpa sebarang bunyi. Tiada siapa berani bersuara. Gelak tawa yang tadi memecah kesunyian malam kini lenyap, diganti dengan degupan jantung semakin laju.

Bayang itu berlegar-legar selama beberapa saat sebelum hilang. Ahmad mengakui nafasnya menjadi pendek dan tangan yang memegang kamera menggigil tanpa sedar.
Tiba-tiba, salah seorang kawan saya menangis teresak-esak tanpa sebab. Dia kata, dadanya sempit dan kepalanya terasa berat. Tidak menunggu lama, saya mengajak mereka kemas barang dan meninggalkan kawasan tersebut, katanya.

Dalam keadaan kelam-kabut, tikar dilipat ala kadar dan barang-barang dimasukkan ke dalam beg tanpa disusun. Sepanjang perjalanan pulang, tiada siapa berani menoleh ke belakang atau membuka mulut.
Sunyi yang menyelubungi kereta terasa lebih menakutkan daripada apa yang mereka lihat sebentar tadi.
