
SEPERTI kebiasaan, malam pertama tiba di tempat penginapan, Airin, 30, dan lima rakannya menghabiskan masa berehat di apartmen yang disewa. Bergelar pelajar di United Kingdom, peluang cuti semester digunakan sebaiknya untuk melancong di beberapa tempat menarik di negara berkenaan.
Begitupun atas kekangan kewangan, Airin dan rakan-rakan hanya mampu menikmati percutian bajet dan sering menjadikan apartmen dengan kos sewaan paling murah sebagai tempat penginapan. Baginya, penginapan bukanlah keutamaan memandangkan ia hanya dijadikan tempat untuk tidur dan membersihkan diri. Masa selebihnya akan dihabiskan di luar untuk meneroka tempat-tempat menarik.
Bagaimanapun tanpa diduganya, percutian itu bertukar mimpi ngeri apabila mereka diganggu ‘roh’ patung Red Indian yang turut ‘menghuni’ unit apartmen terbabit.
Apartmen sewa kami terletak di bangunan lama di satu kawasan di Edinburgh, Scotland kerana itulah yang paling sesuai dengan bajet kami sebagai pelajar. Tetapi saya tidak menyangka pula apartmen tersebut ada ‘penghuni’ lain sehingga kami semua teruk diganggu pada malam pertama,” katanya.
Sebagai gadis moden, Airin langsung tidak mengambil serius kisah-kisah tersebut dan beranggapan ia semua tahyul.
Namun, segala-galanya berubah selepas dia sendiri mengalami peristiwa seram apabila dia hampir mati tercekik ketika sedang tidur di apartmen berkenaan.

Ketika memasuki kawasan itu, saya sudah berasakan seperti ada yang tidak kena. Suasananya sedikit suram dan bulu roma kami mula meremang. Unit apartmen yang disewa pula berada di tingkat lima dan tiada lif untuk ke sana. Sepanjang memanjat tangga, kami sempat melilau banyak apartemen di situ yang usang, kosong dan tidak berpenghuni.
“Untuk menyedapkan hati, saya berfikir unit-unit tersebut mungkin sedang menunggu pelancong datang menginap,” ujarnya.
Airin dan rakan-rakan menerima kejutan menyeramkan hanya selepas beberapa jam berada dalam bilik apabila mendengar bunyi seperti sekumpulan individu berbadan besar berlari-lari dari tingkat atas.
Apa yang membuat mereka semua meremang bulu roma adalah unit yang disewa itu adalah paling atas dalam bangunan usang terbabit.
Begitupun bagi menghilangkan rasa resah dan takut mereka hanya mendiamkan diri sahaja sehingga ia senyap dengan sendiri.
Tidak berakhir di situ, ketika hari semakin larut menginjak ke tengah malam, gangguan yang dialami Airin dan rakan-rakannya semakin menjadi-jadi.

Dalam unit apartmen tersebut, terdapat sebuah patung Red Indian yang sangat besar. Sekali tengok memang menyeramkan kerana ia seakan ‘bernyawa’.
“Entah bagaimana, mata patung tersebut bergerak dengan sendiri biarpun pada waktu itu tiada angin. Insiden itu berlaku berserta kelibat hitam yang sangat besar melintas di hadapan mata kami,” jelasnya.
Paling menyeramkan gadis-gadis ini ialah apabila salah seorang daripada rakannya menjadi ‘dua’ sehingga mereka tidak tahu yang mana satu yang sebenar.

Panik dengan keadaan tersebut, mereka kemudian membaca ayat suci al-Quran. Tidak berapa lama kemudian keadaan mula tenang. Selepas itu, pintu almari kasut di hadapan pintu masuk terbuka dan tertutup dengan sendiri.
Tengah malam itu, kami sekali lagi diganggu. Paling dahsyat apabila saya hampir lemas dicekik ketika sedang tidur.

“Beberapa rakan lain pula mengadu dihimpit lembaga bertubuh besar dan mengalami mimpi ngeri. Lebih menyeramkan apabila kami melihat patung tersebut seakan tersenyum. Semalaman kami tidak boleh tidur disebabkan terlalu takut,” ujarnya.

Keesokan harinya, mereka semua mendaftar keluar daripada unit tersebut. Kata Airin, dia bernasib baik kerana ada sekumpulan pelajar senegara yang turut berada di kawasan sama dan mengalu-alukan kedatangan mereka untuk tumpang bermalam sepanjang percutian tersebut.
Selepas diselidiki, kawasan tersebut memang sedikit ‘keras’ dan sering berlaku kes pembunuhan.
“Mungkin juga gangguan tersebut datang daripada roh tidak tenang yang berselindung di sebalik perhiasan patung Red Indian,” jelasnya.
Kisah ini telah disiar di akhbar Kosmo! Ahad • Ilustrasi janaan AI
