MMToon

SAKA NENEK BERJALAN WAKTU TENGAH MALAM

Oleh FARID AHMAD TARMIJI

“IBU saya berpesan jika nenek cuba untuk menurunkan ilmunya kepada saya jangan sesekali menerimanya,” jelas seorang gadis yang mahu dikenali sebagai Ayu.

Ayu menjelaskan dia masih mengingati pesan ibunya itu apabila neneknya itu mengambil keputusan untuk tinggal bersama mereka. Tambahnya, ibunya bercerita kepadanya bahawa neneknya itu mencari waris yang sanggup mewarisi saka yang dibela olehnya.

Selagi saka itu tidak diwarisi sukar untuk nenek saya menghembuskan nafas terakhirnya. Ahli keluarga kami telah menjemput ramai pengamal perubatan tradisional bagi mengubati neneknya itu ketika dia terlantar sakit. Tetapi mereka tidak dapat mengubatinya,” ceritanya.

Tambahnya, pengamal perubatan juga menyatakan bahawa saka itu sudah sebati dengan diri neneknya itu dan ia hanya akan keluar jika ada waris perempuan yang sanggup menjadi pengganti. Dalam pada itu, Ayu menceritakan berdasarkan cerita ibu dan ibu saudaranya, neneknya itu pada zaman muda merupakan seorang ratu kebaya dan juga mak andam.

Neneknya itu dikatakan ketika muda pernah memakai susuk untuk kelihatan cantik dan pada  masa  sama juga membela saka bagi melindungi dirinya.

“Tidak dapat dinafikan saya sendiri melihat gambar nenek waktu muda dan ia begitu cantik. Nenek saya ini sepanjang hidupnya juga telah berkahwin sebanyak empat kali dan memiliki 12 orang anak,” jelas Ayu.

Ayu menjelaskan, dia melihat banyak perkara pelik yang dilakukan oleh neneknya itu apabila dia tinggal bersama keluarganya. Keluarga Ayu mengambil keputusan untuk menjaga neneknya itu setelah melihat kesihatannya yang tidak  berapa baik dan tinggal berseorangan di rumahnya setelah kematian suaminya.

Rumah keluarga Ayu dan neneknya itu berdekatan sahaja kerana mereka masih tinggal di kampung yang sama di sebuah negeri di utara Semenanjung.

“Sepanjang nenek tinggal bersama kami, dia sering melakukan perkara yang pelik yang mana setiap kali makan dia akan meminta ibu menyediakan telur rebus kepadanya. Ada masanya dia boleh memakan sebanyak 10 biji telur rebus sekaligus.

“Selain itu, pada waktu malam dia akan berasa panas dan hanya akan berkemban dengan kain batik sahaja. Pada lewat malam juga saya sering mendengar nenek membaca ayat-ayat yang saya sendiri tidak faham,” jelasnya.

Ada satu ketika neneknya keluar bersendirian dari rumah pada lewat malam dengan hanya  berkemban dan akan berjalan di sekitar kawasan kampung.

Ayu menceritakan, ada sesekali remaja kampung terserempak dengan neneknya berjalan berseorangan di kawasan kampung dengan hanya berkemban sambil menangis sebelum mereka datang memberitahu ahli keluarganya tentang kejadian itu. Dalam pada itu, apa yang mengejutkan Ayu dia melihat kejadian di mana neneknya yang berusia hampir 80 tahun itu mengangkat pasu bunga bersaiz besar ketika dia sedang marah.

“Jika diikutkan dengan keupayaannya yang sudah tua tidak mungkin mampu untuk mengangkat pasu bunga itu kerana saya sendiri yang muda tidak berupaya untuk mengangkatnya. Tetapi nenek berupaya mengangkatnya dan itu saya lihat sendiri depan mata kepala saya,” katanya.

Tidak lama selepas itu, kesihatan neneknya itu kelihatan uzur sekali dan hanya boleh terbaring di atas tilam sambil meracau. Ibunya dan adik beradiknya yang lain mengambil keputusan untuk menjemput pengamal perubatan tradisional untuk mengubatinya.

Pengamal perubatan tradisional itu menyatakan bahawa jika diikutkan neneknya itu telah sampai usianya dan saka yang berdamping dengannya itu menyukarnya untuk menghembuskan nafas terakhir.

“Saka itu perlu diwarisi oleh waris terdekat terlebih dahulu baru nenek saya boleh pergi dengan aman,” katanya.

Setelah perbincangan dilakukan bersama dengan pengamal perubatan itu salah seorang ibu saudara Ayu mengambil keputusan untuk mewarisi saka itu bagi membolehkan neneknya itu menamatkan usianya dengan aman dan tenang. Ayu berkata, pengamal perubatan tradisional itu menyatakan bahawa dia tidak boleh membuang saka itu terus dari neneknya sebaliknya dia boleh berbuat demikian jika saka itu telah diwarisi oleh waris lain.

“Benar katanya, setelah ibu saudara saya itu mewarisi saka itu nenek saya akhirnya boleh menghembuskan nafas terakhirnya,” ceritanya.

Kisah ini telah disiar di akhbar Kosmo! Ahad. Ilustrasi janaan AI

MMToon dimiliki oleh Media Mulia Sdn. Bhd. yang memegang hak cipta dan menerbitkan akhbar Utusan Malaysia, Mingguan Malaysia, Kosmo! dan Kosmo!Ahad
Tidak dibenarkan menerbitkan semula dalam sebarang bentuk atau dengan apa-apa cara, termasuk fotokopi, rakaman, atau lain-lain kaedah elektronik atau mekanikal
tanpa kebenaran pihak MMToon dan Media Mulia Sdn Bhd.

Hak cipta terpelihara © 2026, MMTOON Media Mulia Sdn. Bhd. 201801030285 (1292311-H)
error: Content is protected !!