
PERISTIWA enam tahun lalu yang dialami Harun (bukan nama sebenar) sangat sukar untuk dilupakan kerana lelaki itu mengalami kerugian besar dalam perniagaan kedai makan selepas diganggu lembaga hitam dengan wajah menakutkan.

Harun, 39, tidak menyangka keputusan untuk pulang ke kampung selepas lima tahun mengusahakan perniagaan kedai makan di Kuala Lumpur memberi ‘kejutan’ besar buat dirinya dan isteri apabila diuji dengan gangguan tersebut.

Pasangan suami isteri itu sepakat untuk memulakan hidup baharu di kampung kerana ingin menjaga orang tua mereka yang sedang uzur dan kebetulan pula ada sebuah kedai kosong untuk dijual pada harga sangat berpatutan.

Saya dan isteri sangat gembira kerana akhirnya dapat pulang ke kampung untuk memulakan perniagaan makanan, di samping memberi perhatian penuh kepada kedua-dua orang tua.

“Pada mulanya, kedai kami beroperasi dengan lancar dan dikunjungi oleh ramai pelanggan sehingga terpaksa menambah pekerja bagi menampung jumlah pelanggan yang meningkat saban hari,” ujar anak sulung daripada empat beradik itu.
Sehingga suatu malam, Harun bersama isteri sedang menyiapkan beberapa kerja di kedai tersebut dan dia terasa didatangi lembaga besar di belakang sehingga bulu romanya tiba-tiba meremang.

“Saya perlahan-lahan menolah ke belakang, tetapi tiada apa-apa lantas segera memanggil isteri untuk pulang memandangkan pada ketika itu hanya kami berdua yang berada di dalam kedai.

“Pada awalnya saya tidak mengendahkan perkara tersebut dan menganggap ia hanyalah mainan perasaan, tetapi tiba-tiba ada kejadian pelik menimpa kami iaitu nasi serta pelbagai makanan menjadi basi walaupun baru siap dimasak,” cerita bapa kepada tiga orang cahaya mata itu.

Tidak terhenti di situ, Harun juga berasakan badannya sangat lemah dan bisa-bisa sehingga kaki menjadi bengkak serta sukar berjalan, tetapi doktor tidak menjumpai punca bagaimana ia boleh terjadi.

Jelas Harun, awalnya dia menyangka kejadian tersebut disebabkan oleh perbuatan khianat kerana hasad dengki manusia yang tidak senang melihat perniagaannya semakin maju.

Paling tidak boleh dilupakan, makhluk itu menunjukkan wajah aslinya kepada Harun ketika dia sendiri di rumah.
Tidak tahan dengan segala gangguan itu, dia meminta bantuan seorang ustaz bagi merungkai misteri tersebut.

Ustaz itu memberitahu, ada ‘penunggu’ di kedai tersebut yang mahu saya menjadi tuannya memandangkan ia dibiarkan tidak bertuan sejak sekian lama.
“Peristiwa misteri tersebut terjadi kerana saya tidak mengendahkannya dan ia mula menjadi marah lalu cuba memporak-perandakan hidup serta perniagaan saya,” ujarnya.

Lebih mengejutkan Harun apabila ada seorang penduduk di situ berkongsi kisah salah seorang pemilik kedai tersebut yang tiba-tiba jatuh sakit dan meninggal.

Menurut cerita orang kampung, kedai tersebut sering bertukar pemilik kerana tidak tahan dengan gangguan itu ekoran perbuatan pemilik asal premis itu yang meninggalkan jin belaannya di situ.
Jika permintaannya tidak dilayan ia akan mula merosakkan hidup orang tersebut dan itu yang dialami oleh beberapa penyewa kedai sebelum ini sehingga premis tersebut kosong selama beberapa tahun.

“Saya sangat terkejut mendengarkan cerita ini dan tanpa berfikir panjang menghentikan operasi kedai ini kerana tidak mahu terus dihantui dengan perkara buruk walaupun terpaksa menanggung kerugiaan besar.
“Saya terus kuatkan semangat untuk meneruskan perusahaan di tempat lain dan syukur berkat kesabaran kini mempunyai dua cawangan restoran makanan fusion Barat dan tempatan,” tutur pemegang Diploma Seni Kulinari sebuah pengajian tinggi awam.