MMToon

LOTONG BESAR PENJAGA MAKAM

Oleh ABDUL RAZAK IDRIS

KISAH seekor lotong bersaiz agak besar yang dikatakan menjaga sebuah makam dikenali Makam Anak Dara di Kuala Selangor menjadi bualan mulut masyarakat sekitar puluhan tahun dahulu.

Makam Anak Dara yang terletak di Kampung Tanjung Keramat di kawasan Bukit Belanda bersebelahan Bukit Malawati.

Menurut seorang penduduk, Sharif Ramli, 57, kehadiran haiwan primat itu di makam tersebut juga dikatakan misteri dan muncul secara tiba-tiba tanpa diketahui asal-usulnya.

Katanya, haiwan itu hanya berlegar-legar di kawasan makam itu sahaja, sebab itu sebilangan orang percaya ia adalah penjaga makam tersebut.

Lotong itu akan duduk memerhati pengunjung yang datang seolah-olah menjadi pengawal keselamatan di kawasan makam itu.

Makin menjadi misteri, lotong besar itu ghaib begitu sahaja selepas beberapa lama berada di kawasan tersebut,” katanya.

Ceritanya lagi, kisah mengenai Makam Anak Dara menjadi satu cerita rakyat di daerah ini sejak zaman Inggeris mula memerintah negeri tersebut.

Katanya, makam itu dikatakan ‘milik’ seorang gadis bernama Rubiah.

Rubiah, ujarnya, seorang gadis yang warak daripada keluarga yang mementingkan ajaran Islam dan segala ajaran ditaati seperti solat lima waktu dan mengaji.

“Namun berlaku peristiwa yang sangat menyedihkan apabila Rubiah dipaksa oleh orang tuanya berkahwin dengan orang yang tidak disukainya,” katanya ketika ditemui di makam tersebut.

Sharif berkata, pada hari perkahwinannya, gadis itu telah menghilangkan diri ketika dikatakan hendak mengambil wuduk di Sungai Selangor.

Jelasnya lagi, ibu atau bapa gadis (yang tidak dipastikan namanya itu), kemudiannya bermimpi anaknya itu melarang mereka daripada mencarinya kerana dia telah mendapat tempat yang tenteram di sebuah pulau.

Apa yang misteri sehingga kini, keesokan harinya, bapa gadis tersebut yang mencari anaknya itu telah menemui pakaian anak gadisnya tersangkut di sebuah pokok di pulau yang disebut anaknya di dalam mimpi.

Kehilangan Rubiah ada yang mengatakan sebab disembunyikan bunian yang tertarik dengan kewarakannya,”katanya.

Mengulas sama ada Rubiah berwajah jelita atau sebaliknya, tiada siapa yang mempunyai maklumat tersebut.

Namun legenda Makam Anak Dara menjadi masyhur disebabkan sebagai tanda kasih sejati, makam tersebut telah dibina keluarga gadis tersebut di lokasi sekarang dan bukannya di pulau yang masih menjadi misteri itu.

“Malangnya makam tersebut telah disalahgunakan oleh orang ramai yang membayar nazar dan menjadi tempat kunjungan pelawat yang menganggap ada jasad disemadikan di lokasi tersebut.

“Itu yang menjadi punca pihak Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) mengunci pagar di pintu masuk ke Makam Anak Dara. Dibimbangi aktiviti menyalahi akidah berleluasa,”katanya.

Menurut seorang aktivis tempatan daripada Persatuan Seni Silat Kebangsaan Selangor (Pesaka), Afendy Dahlan, Makam Anak Dara bukanlah makam atau kubur yang sebenar tetapi binaan yang diwujudkan atas nilai sentimental hampir 150 tahun yang lalu.

Jelasnya, makam ini sepatutnya dianggap sebagai replika dan bukanlah makam yang sebenar atau ada jasad di dalamnya.

Kalau menurut cerita turun-temurun, ‘mayat’ gadis yang hilang tersebut tidak dijumpai hingga kini. Mungkin warisnya ingin mengabadikan tempat ini sebagai tempat terakhir gadis itu dipercayai berada,” katanya.

Sementara itu seorang penduduk tempatan, Baharuddin Jaafar,63, yang dikenali dengan panggilan Bob berkata, Makam Anak Dara terletak berdekatan kawasan tasik air tawar yang berwarna kehijau-hijauan.

Bob berkata, kedalaman tasik itu tidak diketahui tetapi ia menyimpan satu rahsia legenda yang di perturunkan dari satu generasi ke satu generasi hingga kini.

Ada yang mengatakan anak gadis itu hilang di dasar tasik itu akibat terjatuh, namun itu semua ditokok-tambah. Takkan gadis warak hendak melakukan perbuatan yang dilarang agama Islam.

“Kisah gadis warak tersebut seharusnya tidak menjadi cerita legenda semata-mata kerana ia boleh dijadikan panduan hidup dalam masyarakat kita.

“Walaupun fakta kisah Makam Anak Dara banyak diperdebatkan sebaiknya kita bersangka baik bila mendengar sesuatu perkara.

“Sebaiknya kita mendoakan rohnya dicucuri rahmat. Ambillah pengajaran bukannya jadi perdebatan,”katanya.

Kisah seram ini telah diterbitkan di akhbar Kosmo! Ahad. • Ilustrasi janaan AI

MMToon dimiliki oleh Media Mulia Sdn. Bhd. yang memegang hak cipta dan menerbitkan akhbar Utusan Malaysia, Mingguan Malaysia, Kosmo! dan Kosmo!Ahad
Tidak dibenarkan menerbitkan semula dalam sebarang bentuk atau dengan apa-apa cara, termasuk fotokopi, rakaman, atau lain-lain kaedah elektronik atau mekanikal
tanpa kebenaran pihak MMToon dan Media Mulia Sdn Bhd.

Hak cipta terpelihara © 2026, MMTOON Media Mulia Sdn. Bhd. 201801030285 (1292311-H)
error: Content is protected !!