MMToon

SYAITAN PELARIS DIJAMU SISA MAKANAN

Oleh ROSHIHAN ANNUAR YUB

Aduh, Laparnya… kata Sahrul dalam hati. Dia memaut stereng dengan kemas sambil matanya melilau ke kiri kanan jalan.

Sesekali matanya menjeling ke arah jam yang terletak di papan pemuka kenderaannya. Sudah pukul 12.45 malam. Dia mengusap-usap perutnya yang semakin berkeroncong. Menyesal pula rasanya kerana tak singgah makan di pekan tadi, kalau tidak pasti tak jadi begini.

Sedang dia leka memandu tiba-tiba matanya tertumpu ke arah limpahan cahaya lampu di sebalik deretan pohon-pohon getah yang memenuhi sepanjang jalan.

Sahrul memperlahankan kenderaan. Dia menghembus nafas lega sebaik sahaja matanya terlihat sebuah warung di seberang jalan. Akhirnya rancangannya untuk mengisi perut berhasil juga.

Wah, ramai juga pelanggan di warung ini, katanya sendirian sebaik sahaja keluar dari kenderaan. Dilihatnya tanah lapang di hadapan warung tersebut sudah dipenuhi kenderaan. Sahrul melangkah pantas. Dalam hatinya risau juga kalau-kalau warung tersebut sudah hendak tutup dan tidak mahu menerima pelanggan lagi.

Sebaik mendapat meja kosong, dia lantas memanggil pelayan untuk memesan makanan. Lega rasa hatinya kerana setiap menu yang dipesannya masih ada lagi. Sementara menunggu hidangan sampai matanya liar memandang sekeliling. Tak sangka warung kecil yang hanya terletak di laluan kampung seperti itu rupa-rupanya menjadi tumpuan ramai. Pasti masakannya sedap jika tidak tak mungkin dipenuhi pelanggan.


Dari kerusinya, jelas dia melihat keadaan di bahagian dapur warung tersebut. Kelihatan beberapa orang tukang masak sedang sibuk memenuhi pesanan pelanggan. Sahrul jeling pula ke arah meja-meja yang dipenuhi pelanggan. Ada yang datang berkeluarga, ada datang berpasangan dan ada juga beberapa kumpulan lelaki yang sedang asyik bersembang.
Sahrul rasa mereka itu mungkin dalam kalangan penduduk tempatan kerana nampak kemesraan mereka dengan pekerja-pekerja di situ.

Lamunannya tiba-tiba berhenti apabila seorang pelayan wanita menghampirinya dengan membawa dulang berisi hidangan.
Wah, cepat juga mereka masak bisik hatinya, maklumlah pelanggan yang datang ketika itu memang agak ramai juga.
Shahrul tidak menunggu lama, sebaik sahaja hidangannya diletakkan di meja dia lantas makan dengan penuh berselera.

Nasi putih, sup ekor, telur dadar dan sambal belacan sudah cukup membuka nafsu makan malam itu. Ketika itu Sahrul sudah tidak menghiraukan apa yang berlaku di sekelilingnya. Dia tekun menikmati hidangan yang berada di hadapannya.

Bunyi sahutan burung hantu dan salakan anjing sesekali kedengaran dari hutan berdekatan. Sahrul lihat jam di tangan. Mungkin dalam tiga jam perjalanan lagi dia akan sampai ke Kuala Lumpur, maklumlah memandu malam di jalan yang sunyi dan berliku seperti di Muadzam Shah ini perlu lebih berhati-hati apatah lagi kawasan ini merupakan laluan lori-lori balak dan binatang buas.


Sedang asyik menikmati makanan, tiba-tiba telefion bimbitnya di meja berbunyi. Lantas dicapai dan dilihatnya nama yang tertera di skrin kaca telefon tersebut. Rupa-rupanya panggilan tersebut dari isterinya di Kuala Lumpur.

Hello… hello… hello… jawabnya bertalu. Kedengaran suara isterinya putus-putus di hujung talian. Sahrul tidak dapat menangkap apa yang diperkatakan oleh isterinya ketika itu, tambahan pula keadaan di warung tersebut cukup bising dengan suara pelanggan.

Lantas dia beredar dari tempat duduknya. Perlahan-lahan dia pergi ke arah belakang warung dengan tujuan untuk mengelakkan bunyi bising.


Sedang dia asyik berbual dengan isterinya, tiba-tiba matanya terpandang ke arah seorang pekerja warung sedang membawa sebuah dulang yang penuh berisi tulang dan sisa makanan ke arah sebuah pokok besar di belakang warung tersebut.

Dilihatnya pekerja tersebut mencurahkan sisa-sisa makanan di perdu pokok besar tersebut. Sahrul hanya memandang dari jauh tanpa sebarang reaksi. Fikirnya mungkin pekerja tersebut sekadar membuang sisa makanan di situ.
Sebaik sahaja selesai berbual dengan isterinya dan ingin melangkah untuk menyambung makan, tiba-tiba telinganya menangkap satu bunyi aneh dari arah belakang warung tersebut.


Krohhhh… Krohhhh… krohhhhhh…
Seolah-olah bunyi dengkuran sambil sesekali diselangi rengusan yang kuat.
Sahrul tersentak. Dia amati bunyi tersebut dengan teliti. Matanya masih mencari-cari dari mana datangnya arah bunyi tersebut. Risau juga dia kalau-kalau bunyi tersebut datangnya dari binatang buas dari hutan di belakang ini.

Sedang matanya melilau itulah tiba-tiba dia terpandang ke arah pohon ketapang yang berada di belakang warung tersebut.
Dalam suram cahaya bulan, Sahrul dapat melihat ada sesuatu yang tidak kena dengan pokok tersebut. Dahan-dahannya bergoncang kuat seperti ada sesuatu yang menggegarkannya di atas sana.


Ketika bola matanya leka melihat apa yang berlaku di atas pokok tersebut, tiba-tiba dia tergamam. Matanya serta merta terbeliak. Tubuhnya menggeletar. Dengan jelas dia dapat melihat objek seakan lidah berwarna hitam yang sangat panjang sedang terjulur keluar dari celah rimbunan daun di atas pokok sambil menjilat-jilat sisa makanan yang dibuang oleh pekerja warung tadi.


Dia terpaku. Tubuhnya serta-merta dibasahi peluh. Dia menggosok mata berkali-kali seolah-olah tidak percaya dengan apa yang dilihatnya ketika itu. Dari celah rimbun dedaunan di atas pokok pula jelas kelihatan sepasang mata berwarna merah seperti bola api seolah-olah memerhatikannya. Tanpa berlengah dia lantas angkat kaki dan bergegas menuju ke warung.


Sahrul tidak bernafsu untuk menghabiskan makanannya yang masih berbaki di meja. Dengan wajah pucat lesi dia terus ke kaunter dan membayar harga makanannya. Setelah itu dia lantas masuk ke kereta dan memecut pergi.


Dalam perjalanan pulang otaknya ligat memikirkan syaitan apakah yang dilihatnya tadi. Adakah makhluk tersebut merupakan penunggu hutan tersebut ataupun ia merupakan belaan tuan punya warung tersebut? Dia keliru.


Namun hatinya kuat mengatakan makhluk tersebut adalah belaan tuan warung tersebut memandangkan perbuatan pekerja tadi yang sengaja mencampakkan sisa makanan dan tulang di perdu pokok tersebut, seolah dia tahu segalanya. Kalau tidak lebih baik dia kumpulkan kesemua sisa makanan tersebut dan masukkan sahaja ke dalam tong sampah. Mungkin juga makhluk tersebut merupakan ‘pelaris’ warungnya.


Shahrul tidak dapat memandu dengan tenang. Fikirannya masih dihantui oleh kejadian tadi. Walaupun perutnya masih lapar namun dia tidak berhasrat untuk berhenti lagi di mana-mana warung selepas ini. Dia rela menahan lapar hingga sampai ke rumah nanti.

Kisah ini telah disiar di akhbar Mingguan Malaysia bertarikh 27 September 2020

MMToon dimiliki oleh Media Mulia Sdn. Bhd. yang memegang hak cipta dan menerbitkan akhbar Utusan Malaysia, Mingguan Malaysia, Kosmo! dan Kosmo!Ahad
Tidak dibenarkan menerbitkan semula dalam sebarang bentuk atau dengan apa-apa cara, termasuk fotokopi, rakaman, atau lain-lain kaedah elektronik atau mekanikal
tanpa kebenaran pihak MMToon dan Media Mulia Sdn Bhd.

Hak cipta terpelihara © 2026, MMTOON Media Mulia Sdn. Bhd. 201801030285 (1292311-H)
error: Content is protected !!