MMToon

DIINTAI LEMBAGA PUTIH DARI LUAR BILIK

Oleh KHAIRIYAH HANAFI

LEWAT malam itu, Aina duduk di meja belajarnya untuk menelaah pelajaran. Seperti biasa, gadis kelahiran sebuah negeri di Utara tanah air itu membuka sedikit tingkap bagi membiarkan udara malam masuk ke dalam asramanya itu.

Pertama kali melanjutkan pengajian di menara gading, Aina begitu teruja dan berazam untuk belajar bersungguh-sungguh supaya berjaya memperoleh keputusan cemerlang.

Jam menunjukkan angka dua pagi, bulu romanya tiba-tiba meremang apabila mendengar hembusan angin kuat dari arah luar tingkap. Tidak tahu apakah perasaan yang dialaminya itu, anak kedua daripada lima orang adik beradik ini tidak mengendahkan dan terus mentelaah pelajaran.

Selang beberapa minit kemudian, hidungnya tiba-tiba terhidu bau busuk sebelum melihat satu lembaga putih yang merenungnya dari arah luar tingkap tersebut.

Kata gadis berusia 25 tahun ini lagi, itulah pengalaman pertamanya diganggu makhluk halus sewaktu melanjutkan pengajian di sebuah institut pengajian tinggi di Lembah Klang kira-kira tiga tahun lalu.

Mengimbau kembali pengalaman seram yang dialaminya itu, gangguan tersebut tidak terhenti di situ sahaja kerana selepas insiden tersebut berlaku, dirinya menerima gangguan daripada lembaga yang sama hampir setiap hari.

Sehingga ke satu tahap, Aina pernah demam dan meracau kerana terlalu takut.

Pada asalnya bilik itu dihuni oleh seorang dua orang pelajar senior. Tetapi salah seorang daripadanya membuat pertukaran bilik.

“Kebetulan saya baru sahaja mendaftarkan diri di kolej tersebut. Jadi warden asrama mengarahkan saya memenuhi bilik kosong itu.

“Terletak di aras satu, lokasi bilik yang sangat strategik dan berdekatan dengan surau serta kedai runcit benar-benar membuatkan saya gembira. Tetapi, kegembiraan tersebut hanyalah singgah sebentar sahaja apabila saya mula diganggu dengan macam-macam perkara menyeramkan,” ceritanya.

Bermula dengan bau busuk dan kemunculan lembaga putih di luar tingkap, Aina kemudian diganggu dengan bunyi kanak-kanak ketawa seakan seronok bermain di luar kaki lima biliknya itu.

Pada mulanya, wanita yang kini bekerja sebagai seorang guru tadika itu menyangka ia datang daripada anak-anak warden.

Bagaimanapun apabila bunyi tersebut semakin kerap dan berlaku di tengah malam, hatinya mula tidak keruan.

Kerana inginkan kepastian, Aina membuka tombol pintu biliknya dan menghendap bahagian kaki lima bilik. Alangkah terkejutnya Aina apabila dia melihat lembaga putih yang besar di hadapan pintu bilik tersebut.

Saya menjerit kuat dan tidak ingat apa yang berlaku selepas itu. Sedar-sedar, saya sudah berada di pejabat kesihatan asrama.

“Kata kakak senior, saya menjerit dan rebah tidak sedarkan diri di hadapan pintu bilik,” katanya.

Ceritanya lanjut, rakan sebiliknya itu kemudian menceritakan turut diganggu dengan lembaga yang sama. Bagaimanapun, gangguan yang diterimanya tidak seteruk Aina kerana dia kuatkan semangat dan sudah biasa dengan situasi seram diganggu makhluk halus.

Disebabkan itu juga dia kekal mendiami bilik tersebut dari semester pertama sehingga ke semester terakhir biarpun teman sebiliknya sering bertukar-tukar kerana tidak tahan diganggu.

Katanya lagi, situasi yang dialami Aina tidaklah seseram mana memandangkan dia pernah mengalami keadaan yang lebih teruk daripada insiden tersebut sebelum ini.

Bukan sahaja jelamaan, dia malahan pernah mengalami situasi dicekik ketika sedang tidur.

Tidak mahu diganggu lembaga, Aina mengikut petua nenek moyangnya dahulu dengan meletakkan bawang putih dan lada hitam di keliling bilik tidurnya dengan harapan tidak lagi diganggu.

Telahan wanita ini bagaimanapun meleset kerana situasi yang sama masih lagi berlaku.

Saya mahu menukar bilik, tetapi disebabkan masih lagi berada di dalam kawasan kolej yang sama, saya risau jika dipertemukan lagi lembaga-lembaga menyeramkan itu.

“Saya cuba bertahan sehingga ke penghujung semester. Walaupun perit, tetapi saya gagahkan diri dan bersyukur kerana sering ditemani dan dibantu rakan sebilik setiap kali menerima gangguan tersebut,” ujarnya.

Ujar Aina lagi, tamat semester pertama, dia mengambil keputusan untuk duduk menyewa di luar kolej bersama kakaknya.

Saya dengar bilik tersebut lama dikosongkan kerana tiada pelajar yangs anggup duduk di dalamnya dek gangguan makhluk halus.

“Walaupun telah lama berlalu, namun setiap kali terkenangkannya bulu roma saya akan tegak berdiri. Saya sangat berharap tidak akan berhadapan dengan peristiwa ini lagi pada masa akan datang,” kongsinya.

Kisah seram ini telah diterbitkan di akhbar Kosmo! Ahad. Ilustrasi janaan AI

MMToon dimiliki oleh Media Mulia Sdn. Bhd. yang memegang hak cipta dan menerbitkan akhbar Utusan Malaysia, Mingguan Malaysia, Kosmo! dan Kosmo!Ahad
Tidak dibenarkan menerbitkan semula dalam sebarang bentuk atau dengan apa-apa cara, termasuk fotokopi, rakaman, atau lain-lain kaedah elektronik atau mekanikal
tanpa kebenaran pihak MMToon dan Media Mulia Sdn Bhd.

Hak cipta terpelihara © 2026, MMTOON Media Mulia Sdn. Bhd. 201801030285 (1292311-H)
error: Content is protected !!