
Oleh HARIS FADILAH AHMAD
“Nyaris saya dan rakan home guard lemas di Jeram Seto, Sungai Jelai. Allah masih memanjangkan hayat kami,” cerita bekas home guard (pengawal kawasan), Kamarudin Li, 84.

Kamarudin berkata, kejadian itu berlaku pada 1954 ketika dia bertugas sebagai pemandu bot membawa rakan home guard membuat rondaan di sepanjang Sungai Jelai bermula dari bandar Kuala Lipis hingga ke Kampung Kuala Medang yang memakan masa kira-kira enam jam perjalanan.
Kamarudin yang mempunyai lima orang anak berkata, setap kali memandu bot ke Kuala Medang, ingatannya kerap kali di kawasan laluan Jeram Seto berdekatan Kampung Tanjong Gahai antara kawasan yang cukup berbahaya.

Ia mempunyai air dalam, sempit, curam dan berbatu sekiranya berlaku kesilapan sudah tentu mengundang nahas seperti bot akan karam dan membahayakan penumpang.
Katanya, oleh kerana laluan jeram amat sempit dan berbahaya, setiap buah rakit dan bot bergilir-gilir melalui ‘alur’ di situ yang berbatu dan sempit dan dia (Kamarudin) tidak terkecuali terpaksa menunggu giliran.

“Ketika giliran saya mula melalui alur (laluan) Jeram Seto, tiba-tiba saya ternampak sebuah lembaga yang besar dan hitam melintasi di hadapan kawasan itu sehingga membuat pandangan saya menjadi gelap.

Kejadian yang pantas berlaku menyebabkan saya gagal mengemudi (memandu) dan bot kami berubah haluan malah dalam beberapa minit sahaja karam di tengah Jeram Seto,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Katanya, berdepan kejadian diganggu lembaga hitam di Jeran Seto yang hampir meragut nyawanya itu masih segar dalam ingatannya sehingga kini.
Malah katanya, kewujudan lembaga hitam di Jeram yang mempunyai arus deras dan dalam itu sememangnya menjadi bualan penduduk di situ sehingga ke hari ini selepas ramai yang turut terserempak.
Katanya, keadaan itu membuatkan sesiapa sahaja yang lalu di kawasan itu khususnya nelayan sungai akan sentiasa berhati-hati dan berwaspada bagi mengelakkan tragedi.

Dia memberitahu beradasarkan cerita lembaga hitam besar seperti gergasi itu menjadikan jeram berkenaan sebagai laluannya tetapi ia tidak mengganggu orang ramai.
Walaupun tidak mengganggu tetapi perasaan takut sememangnya ada ketika lalu di kawasan itu apatah lagi bagi mereka yang pernah ternampak kelibat lembaga besar hitam seperti gergasi itu.
“Bagi saya yang masih terus menggunakan laluan itu untuk menangkap ikan saya sering berhati-hati dan berpesan kepada rakan-rakan kerana kita tidak tahu bila ia akan lalu,” ujarnya
