APABILA teringat semula pengalamannya yang pernah terserempak dengan pocong di rumah kediaman neneknya, bulu roma gadis yang hanya mahu dikenali sebagai Wawa itu berdiri dan dadanya terasa sempit.
Menurut Wawa, 34, bukan dia sahaja yang pernah terserempak dengan kelibat menyeramkan itu, malah adik perempuannya juga turut pernah mengalami kejadian serupa, menyebabkan dia tahu bukan bermimpi.
Jelas pekerja sebuah syarikat swasta di selatan tanah air itu, perkara tersebut berlaku ketika dia berusia 15 tahun.

Pocong tersebut menurutnya, memiliki saiz seorang wanita dewasa dengan wajahnya dipenuhi darah, ketika sedang berjalan kaki pulang daripada sekolah menuju ke kediaman neneknya.
Memandangkan dia sudah cukup terbiasa dengan laluan itu, gadis bertubuh tinggi lampai itu memberanikan diri untuk berjalan seorang diri.
“Biasanya, saya akan pulang ke rumah nenek bersama adik perempuan namun pada hari itu, adik tidak ke sekolah kerana kurang sihat,” katanya.
Namun, hari itu, angin tiba-tiba bertiup sedikit kuat, menyebabkan tubuh kurus Wawa terasa seram sejuk.
Wawa kemudian menoleh sekilas ke belakang dan sebaik sahaja menyedari tiada apa-apa yang luar biasa, di kemudiannya meneruskan langkah menuju ke destinasinya.
Namun, baru melangkah dua tapak, dia kemudian melihat kelibat pocong yang berbaring kaku betul-betul di hadapan rumah neneknya.
Pocong itu juga sedang merenung tepat ke matanya, seperti sedar dirinya ‘boleh dilihat’ oleh Wawa.
Tubuh Wawa terasa seram sejuk, malah degupan jantungnya pula seakan-akan terhenti.
Langkah kakinya turut mati dan ketika itu, Wawa hanya mampu menyebut kalimah Allah dengan nada yang amat perlahan.
Ketika itu, saya hanya terfikirkan nenek dan dua orang adik yang ada di dalam rumah itu kerana pocong tersebut betul-betul berbaring di hadapan pintu masuk menuju ke rumah nenek.”

Saya kemudian menelan air liur yang terasa kelat sebelum memejamkan mata. Namun, sebaik sahaja saya membuka mata, pocong tersebut hilang daripada pandangan,” kata gadis itu.
Wawa kemudiannya cepat-cepat masuk ke dalam rumah neneknya dan mengakui tidak boleh tidur sepanjang malam kerana masih teringatkan pertemuannya dengan hantu menyeramkan itu.
Keesokan harinya, gadis itu cuba melupakan kisah seram yang berlaku kepadanya dan meneruskan kehidupan seperti biasa.
Wawa juga tidak menceritakan kisah tersebut kepada adik-adiknya kerana bimbang mereka akan menganggap dia bergurau.
Namun, adik perempuannya pula membuka cerita ada terlihat satu kelibat menyeramkan di tepi sebatang pokok mangga yang terletak di hadapan rumah nenek mereka.
“Adik perempuan kemudian menceritakan kepada saya bahawa dia ada terlihat satu lembaga putih ketika mahu menuju ke sekolah.
“Biarpun ketika itu sudah siang, langit yang masih gelap menyebabkan suasana jalan itu terasa agak menyeramkan,” ujar Wawa.
Wawa mengakui terkejut dengan cerita adik perempuannya itu.
Bagaimanapun, dia kemudiannya yakin bahawa apa yang dilihatnya itu bukanlah satu mimpi memandangkan adiknya juga turut mengalami keadaan sama.
“Saya tidak menceritakan apa yang saya lihat ketika pulang daripada sekolah, namun saya yakin pocong itu memang benar-benar memunculkan dirinya di hadapan kami berdua.
“Saya hanya mendiamkan diri kerana enggan adik berasa semakin takut,” tutur Wawa.
Biarpun perkara tersebut sudah berlaku hampir 20 tahun yang lalu, ia masih segar dalam ingatan, menyebabkan Wawa sentiasa berasa tidak sedap hati sekiranya terpaksa pulang ke kampung untuk melawat neneknya.
“Sejujurnya, selepas mula bekerja di negeri lain, saya ada mengelak untuk pulang ke rumah nenek dengan memberikan pelbagai alasan memandangkan saya sukar melupakan apa yang telah dilihat,” jelasnya.
Selepas kematian neneknya pada 2016, rumah tersebut sudah pun dirobohkan dan Wawa tidak lagi mendengar kisah-kisah seram yang dikaitkan dengan kawasan tersebut.
