MMToon

KEJADIAN ANEH MENDAKI GUNUNG KERINCI

Oleh GHAZALI ALIAS

MELIHAT keindahan alam yang hijau ketika berasa di puncak gunung merupakan kepuasan yang sukar untuk digambarkan.

Hal itu menjadi sebab kenapa pemuda itu gemarkan aktiviti mendaki yang menjadi minatnya sejak berada di universiti.

Katanya yang dikenali sebagai Zul (bukan nama sebenar) hampir setiap minggu dia akan melakukan hobinya itu sama ada mendaki bukit sekitar Selangor dan Kuala Lumpur atau mengambil cuti panjang untuk meneroka gunung.

Saya sering mengikuti kumpulan mendaki, malah pernah ke luar negara untuk memanjat
gunung-gunung di sana.

Namun, ada satu pengalaman yang tidak dapat saya lupakan semasa mendaki sebuah gunung di Sumatera Barat, Indonesia,” katanya ketika dihubungi K2! baru-batu ini.

Kongsinya lagi, ketika itu dia mengikuti kumpulan pendaki yang dikenali menerusi laman sosial Facebook ke Gunung Kerinci.

Awalnya pemuda berusia awal 30-an itu amat teruja untuk ke gunung tersebut meskipun awalnya dia tidak pernah tahu tentang lokasi itu.

Dek kerana kesibukkan sebelum hari kejadian (terbang ke Indonesia) dia tidak sempat membuat sebarang kajian seperti sebelumnya.

Apa yang dia tahu hanyalah cerita tentang keindahan pemandangan di puncak gunung yang diceritakan oleh rakan-rakan pendaki

Saya sentiasa teruja kalau mahu pergi mendaki tetapi untuk perjalanan kali ini entah mengapa ada kalanya hati ini terasa kurang senang.

“Namun, apabila tiba harinya saya tidak mengendahkan perasaan itu dan fokus untuk mendaki gunung,” ujar pemuda asal Sungai Buloh, Selangor itu.

Katanya lagi, selepas tiba di kaki Gunung Kerinci, pendakian bermula lancar sehingga dia sampai ke hentian ketiga.

Ketika itu dia terasa seperti mahu membuang air kecil dan mengatakan kepada rakan pendaki lain supaya bergerak terlebih dahulu.

Selepas membuang air kecil dia kemudian meneruskan pendakian untuk menyusuli rakan-rakan lain.

“Selepas beberapa minit, saya bertemu kembali dengan rakan pendaki yang lain dan meneruskan perjalanan dengan mereka.

“Namun, saya merasakan ada sesuatu yang pelik kerana mereka semua tidak “semeriah” seperti awal mendaki dan hanya diam sepanjang perjalanan,” ceritanya.

Tambahnya lagi, dia ada cuba berborak dengan salah seorang rakan tetapi tidak diendahkan.

Oleh kerana itu dia meneruskan perjalanan tanpa sebarang kata sehingga hari menjelang senja.

Oleh kerana perjalanan ke puncak mengambil masa dua hari satu malam, Zul sudah menjangkakan mereka akan berkhemah di salah satu hentian yang ditetapkan.

Namun sebaliknya, kumpulan pendaki itu tidak menunjukkan tanda mahu berhenti bermalam tetapi hanya membisu meneruskan perjalanan.

Zul, kemudian cuba bertanya kepada salah seorang pendaki yang juga ketua pasukan, namun tetap tidak diendahkan.

Merasa tidak sedap hati, dia kemudian berhenti ditengah pendakian dan membiarkan pendaki lain meneruskan perjalanan.

Walaupun saya ketinggalan, mereka tidak peduli atau berpatah balik untuk bertanyakan keadaan saya. Namun, keadaan semakin gelap dan saya juga sedikit takut kerana pada ketika itu saya sudah bersendirian,” kongsinya.

Zul kemudian meneruskan perjalanan untuk mengejar rakan pendaki yang lain, namun selepas beberapa minit, kelibat yang lain tidak kelihatan.

Tidak lama kemudian, dia melihat ada satu tapak perkhemahan dengan beberapa orang yang sedang memasang khemah.

Dia kemudian pergi ke tapak tersebut dan kemudian melihat di situ semua rakan-rakan pendaki sedang sibuk memasang khemah masing-masing.

Melihat keadaan itu, dia terus menyapa semula ketua kumpulan pendaki dan bertanya tentang situasi yang berlaku semasa mendaki.

Ketua bingung dengan soalan saya dan berkata bahawa sepanjang perjalanan mendaki tadi saya yang hanya membisu tanpa sepatah kata.

“Saya agak terkejut dengan kata-katanya dan menceritakan semula apa yang terjadi, malah ketua juga mengatakan bahawa setibanya di tapak perkhemahan dia melihat saya pergi ke kawasan hutan,” katanya.

Mengetahui hal itu, saya merasa seram sejuk dan terfikir siapakah kumpulan yang mendaki bersama sebelum ini.

Sehingga hari ini, Zul masih teringat kejadian itu, namun ia tidak pernah memadamkan minatnya untuk mendaki.

Namun, selepas kejadian itu dia sentiasa beringat untuk mempersiapkan diri agar tidak diganggu oleh sebarang anasir mistik.

Kisah ini telah disiar di akhbar Kosmo! Ahad . Ilustrasi janaan AI

MMToon dimiliki oleh Media Mulia Sdn. Bhd. yang memegang hak cipta dan menerbitkan akhbar Utusan Malaysia, Mingguan Malaysia, Kosmo! dan Kosmo!Ahad
Tidak dibenarkan menerbitkan semula dalam sebarang bentuk atau dengan apa-apa cara, termasuk fotokopi, rakaman, atau lain-lain kaedah elektronik atau mekanikal
tanpa kebenaran pihak MMToon dan Media Mulia Sdn Bhd.

Hak cipta terpelihara © 2025, MMTOON
Media Mulia Sdn. Bhd. 201801030285 (1292311-H)

error: Content is protected !!