HOBI mengumpul barang-barang antik atau pelik bukan boleh dilakukan sesuka hati tanpa mengetahui asal-usul kewujudannya di dunia yang fana ini.
Tambahan pula ia melibatkan koleksi barang antik yang berusia ratusan tahun.
Kisah Mitos kali ini diceritakan oleh seorang peminat barang antik yang ingin dikenali sebagai Alif Abdullah,60, dari Kapar Selangor yang memiliki cincin batu serai yang didakwanya memiliki khadam.
Menurut Alif, peristiwa menyeramkan yang berlaku 10 tahun lalu itu masih tertancap teguh di mindanya.
“Sememangnya minat saya mengumpul barang-barang antik dari seluruh dunia termasuk nusantara diketahui oleh rakan-rakan saya.
“Satu hari sahabat saya seorang lelaki bukan Islam berusia lebih kurang sebaya menghubungi saya dalam keadaan cemas. Katanya dia ada ‘barang’ untuk diberi kepada saya,”katanya.
Sahabatnya itu kata Alif, kebiasaannya akan bercakap dalam nada gelak ketawa, namun kali ini suaranya di hujung talian jelas gementar.
Kata Alif lagi, sejak sahabatnya itu bekerja dalam bidang perniagaan import beliau memang jarang bertemu empat mata dengannya.
“Kawan saya itu ingin bertemu dengan saya pada sebelah malam kira-kira pada pukul 10 di sebuah restoran mamak.
“Semasa dia tiba di restoran tersebut saya tengok wajahnya cengkung dan tubuhnya yang berisi nampak susut seolah-olah dilanda penyakit yang kronik,”katanya.
Selepas bertanya khabar Alif berkata, sahabatnya mengeluarkan sebentuk cincin yang bertatahkan batu kuning yang cantik dan bergemerlapan.
Tanpa disuruh jelas Alif, dia mengambil cincin tersebut dan menyarungnya ke jari manisnya di sebelah tangan kiri.
“Kawan saya terus bercerita tentang cincin tersebut dengan wajah cemas. Katanya kau ambillah cincin berharga RM2,000 ini secara percuma.
“Dia berkata cincin itu mempunyai khadam yang menjaganya dan khadam itu seakan tidak rela kawan saya menjadi pemilik cincin tersebut,”katanya.
Jelas Alif lagi, sejak sahabatnya membeli cincin dari seorang penjual cincin di sebuah negara jiran hidupnya jadi tidak keruan.
Pada sebelah malam, cerita Alif sahabatnya diganggu pelbagai jenis makhluk pelik di mana sahaja dia pergi.
“Cincin berbatu kuning itu seperti ‘menarik’ makhluk halus yang berada di setiap tempat persinggahan sahabat saya.
“Pernah sekali dia tinggal di hotel beberapa hari selepas dia membeli cincin tersebut. Dia terjaga pada waktu tengah malam dan melihat satu makhluk seperti jin bermata satu berdiri di hujung katilnya dengan pandangan mengerikan.
“Bayangkan badan tengah penat ada pula gangguan di tempat dia beristirahat. Malam itu juga kawan saya keluar dari bilik hotel tersebut dan tidur di lobi hingga hari siang,”jelasnya.
Pada mulanya jelas Alif lagi, sahabatnya itu tidak mengesyaki gangguan makhluk seperti jin tersebut berpunca daripada cincin yang dikatakan cincin batu serai.
Ini disebabkan kata Alif lagi, sebelum ini sahabatnya itu sudah beberapa kali membeli cincin termasuk cincin berlian dan zamrud hingga mencecah puluhan ribu ringgit.
“Namun setelah diganggu makhluk aneh seperti penampakan perempuan berwajah pucat dan ditindih makhluk berat dan berbulu barulah dia perasan ada sesuatu yang tidak kena dengan cincin ‘puaka’ tersebut.

Segalanya bermula beberapa hari selepas dia memakai cincin tersebut untuk bertemu dengan klien baharu.
“Selepas menyimpan cincin tersebut di dalam bekas khas gangguan tersebut berakhir. Apabila dia balik ke negara ini dia bertemu dengan seorang pengamal perubatan alternatif untuk mencari penyelesaian kepada masalahnya,”ujarnya.

Pengamal perubatan itu jelas Alif, mencadangkan kepada sahabat saya untuk menghadiahkan cincin tersebut kepada seseorang yang beragama Islam dan itu yang menjadi asbab dia dihubungi.
Alif yang sudah 10 tahun memakai cincin cantik tersebut berkata, ramai yang menawarkan harga yang tinggi untuk membeli cincin itu darinya.
Namun kata Alif lagi, beliau amat menyayangi cincin tersebut dan tidak akan sesekali menjual cincin pemberian sahabatnya itu.
“Sebenarnya saya bimbang jika pemilik baharu cincin tersebut turut diganggu seperti yang dialami pemilik asal.
“Walaupun saya tidak diganggu (mungkin kerana serasi), sebenarnya tahun pertama selepas saya dihadiahkan cincin tersebut sahabat dan isteri saya yang mendapat bahana,”katanya.
Mengulas lanjut Alif memberitahu, pernah seorang kawan yang menumpang tidur di rumahnya diganggu oleh lembaga hitam dan besar di ruang tamu.
Tambahnya lagi, kawannya itu seorang bukan Islam dan merupakan sahabat lama sejak dari kecil lagi.
“Sebelum itu kawan saya itu ada mencuba cincin tersebut semasa kami berbual. Kasihan dia, diganggu bukan sahaja setakat nampak tetapi turut ditindih hingga kelemasan.
“Kawan saya berkata, dia menjerit hingga perit tekak tapi saya seakan tidak dengar. Nasib baik saya keluar bilik untuk minum air apabila saya lihat dia meronta-ronta seperti dicekik,”katanya.
Rentetan daripada kejadian yang berlaku akibat kehadiran cincin tersebut jelas Alif lagi, dia kini berhati-hati untuk berkongsi setiap barang antik yang dimilikinya.
Setiap sesuatu yang berlaku kata Alif, membuktikan kewujudan makhluk ghaib atau jin yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar.
“Pernah ada yang menawarkan hingga dua kali ganda iaitu RM4,000 untuk saya serahkan cincin tersebut.
“Saya beritahu kisah seram di sebalik keindahan cincin tersebut yang menyebabkan mereka membatalkan niat memilikinya,”katanya.
Sebaiknya, akhiri Alif lagi, duit yang dimiliki untuk membeli cincin mahal tersebut digunakan untuk melakukan perkara kebajikan membantu asnaf.
Kisah ini telah disiarkan di akhbar Kosmo! Ahad. Ilustrasi janaan AI
