Setiap tahun rutin bercuti ke luar negara menjadi kemestian buat pemuda itu yang juga merupakan salah satu habuan buat dirinya sendiri.
Bekerja di sektor swasta, Hakimi (bukan nama sebenar) memberitahu setiap negara yang dilawati sememangnya memberikan dia kenangan manis, namun terdapat satu negara yang pernah memberikan dia pengalaman ngeri.
Menurutnya, perkara itu berlaku semasa dia bercuti bersama rakan-rakan ke Chiang Mai, Thailand sekitar lima tahun lalu.
“Chiang Mai merupakan antara lokasi yang sudah lama saya rancang selepas saya tertarik dengan daerah itu menerusi beberapa rancangan televisyen dan drama Thailand

Meskipun begitu saya mengalami satu pengalaman ngeri di sana, ketika menginap di sebuah resort yang ditempah secara dalam talian,” kata lelaki asal Kuantan, Pahang itu.
Kongsinya lagi, semasa menempah secara dalam talian, dia tertarik dengan konsep resort tersebut yang bercirikan perkampungan tradisional Thailand.

Kisah ngerinya bermula sejak hari pertama menjejak kaki di hotel berkenaan, hakimi mengakui dia sudah merasa seram sejuk memandangkan resort yang terletak berdekatan sebuah perkampungan di pinggir bandar Chiang Mai itu kelihatan suram dan sepi.
Katanya, dia dan rakan-rakan membuat tempahan untuk menginap di situ selama dua hari sebelum berpindah ke hotel lain yang lebih dekat dengan kawasan tarikan pelancong.

Semasa dalam proses daftar masuk di kaunter, saya sudah mula merinding melihat hiasan-hiasan di lobi hotel, kebanyakannya merupakan patung pakaian tradisional masyarakat Thailand.
“Sekilas saya melihat satu patung di tepi tangga, kepalanya menoleh ke arah lain secara sendiri, namun pada masa itu saya menidakkan perasaan dan menganggap ia mungkin khayalan kerana lelah menempuh perjalanan jauh dari lapangan terbang,” ujarnya.

Tambahnya lagi, rasa seram yang dirasakan tidak terhenti di situ, dia kemudian merasa seram sejuk selepas memasuki chalet resort yang berada bersebelahan kawasan hutan.
Ceritanya lagi, saat memasuki chalet berkenaan dia sudah rasa lain macam dengan dekorasi bilik yang juga mempunyai patung pakaian tradisional dan topeng etnik masyarakat Thailand.

Walaupun merasa ada yang tidak kena, Hakimi masih mengabaikan perasaannya kerana dalam fikirannya pada masa itu hanya mahu tidur sebelum keluar untuk meneruskan program bercuti bersama rakan-rakan.
“Semasa saya sedang tidur, saya merasakan ada orang yang sedang mengusap rambut saya, saya fikir salah seorang rakan saya datang mengusik tetapi bila saya buka mata kedua-dua mereka juga sedang tidur.

Saya merasa pelik tetapi masih tidak mengendahkan pekara itu dan meneruskan tidur, semasa sedang melelapkan mata saya mendengar bunyi pintu almari terbuka, pada ketika itu perasaan kurang enak saya semakin kuat,” kongsinya.
Kata Hakimi lagi, kemudian dia mendengar ada bunyi kanak-kanak berlari di kawasan ruang tamu, sejurus selepas itu dia merasa kakinya seperti direntap.

Merasa terkejut dengan perkara itu, Hakimi terus tersentak dan menjerit hingga menyebabkan rakannya terkejut.
Kedua-dua rakannya terus menghampiri dan bertanya kepadanya apa yang berlaku, Hakimi menjelaskan apa yang terjadi, namun ditertawakan oleh rakannya yang mengatakan dia mungkin bermimpi kerana terlalu penat.
Tidak mahu memanjangkan cerita, Hakimi dan rakannya kemudian bersiap untuk keluar makan dan bersiar-siar di kawasan sekitar.

Kemuncak insiden seram menginap di resort berkenaan berlaku pada sebelah malam semasa Hakimi sedang membuat suntingan video untuk dikongsikan di laman Instagramnya.
Ujar Hakimi, waktu ketika itu menunjukkan pukul satu pagi dan dua rakannya yang lain sudah tidur.

Ketika saya sedang leka menyunting video, tiba-tiba saya merasa ada orang menghembuskan nafas di telinga, ketika saya menoleh tiada siapa di sebelah.
“Kemudian saya melihat ada sosok manusia sedang berjalan di ruang tamu, saya fikirkan dia salah seorang rakan saya, kerana takut saya terus memanggilnya tetapi tidak diendahkan,” katanya.

Hakimi yang takut ketika itu cuba mendekati sosok berkenaan, namun tidak disangka ia bukanlah rakannya tetapi satu makhluk menyeramkan dengan muka seakan patung pakaian tradisional Thailand.

Dirinya kaku melihat makhluk tersebut, mulutnya seolah terkunci, Hakimi yang sangat takut cuba melarikan diri namun terjatuh di ruang tamu.
Dek kerana terlalu takut dia menjerit sekuat hati menyebabkan rakannya terbangun dan terus datang kepadanya.

“Semasa rakan saya ke ruang tamu mereka juga terpaku melihat makhluk berkenaan, salah seorang daripada mereka kemudian mula melaungkan azan dan membaca ayat kursi, makhluk itu kemudian terus hilang daripada pandangan.

“Kami kemudian memutuskan untuk terus keluar daripada chalet berkenaan dan mencari hotel lain untuk menginap pada malam itu,” ceritanya.

Pada keesokan harinya, Hakimi dan rakan-rakannya terus mendaftar keluar dan mencari hotel lain di kawasan bandar.
Hal itu dibuat kerana tidak mahu lagi berdepan dengan insiden lain yang lebih menyeramkan di hotel berkenaan.
