
Oleh SITI SARAH NURUL LIYANA
KAMAL (bukan nama sebenar) tidak begitu teruja untuk menghadiri perjumpaan semula sekolah menengahnya setelah 20 tahun tidak bersua dengan rakan-rakan.
Lelaki berusia 37 tahun itu berkelana ke Australia untuk menyambung pengajian dan seterusnya bermastautin di negara tersebut.

Bagaimanapun, dia tetap hadir dengan hati yang berat memandangkan rakan karibnya, Hamidin telah bersusah payah menganjurkan majlis tersebut.
Majlis diadakan di dewan sekolah di Negeri Sembilan pada sebelah malam setelah semua aktiviti persekolahan berakhir.
Ketika dalam keramaian, Kamal ternampak sosok wanita yang pernah menjadi kekasihnya ketika zaman sekolah dahulu, Sofia.

Kongsi Kamal, hatinya berdegup kencang ketika melihat rupa sofia masih awet muda sama seperti sewaktu mereka masih menjadi pasangan kekasih 20 tahun lalu.
“Sofia duduk berseorangan di meja paling belakang, mukanya merenung tajam kepada saya sambil tersenyum.

Tanpa berfikir, hati saya tergerak untuk bertemu dengannya. Tiba-tiba, dia bangun dan keluar dari dewan.
“Saya fikir mungkin dia enggan berbual kerana dipandang rakan-rakan lain memandangkan kami pernah bercinta,” katanya kepada Cita Rasa.

Namun semakin laju Kamal melangkah, semakin laju rentak Sofia yang tampak anggun memakai kebaya berwarna merah.
Sepanjang mengejar, lelaki yang kini bertugas sebagai pakar pediatrik tersebut terhidu wangian bunga menusuk hidung.

Apabila mereka berada jauh dari pandangan ramai, Kamal menjerit nama Sofia dan langkah wanita itu berhenti.
Kamal berlari ke hadapan Sofia, sebelum wanita kacukan Cina-Melayu itu menunduk ke bawah tanpa mengeluarkan sebarang suara.

Tiba-tiba, Kamal ternampak air mata bekas kekasihnya itu jatuh ke lantai dan bunyi esakan tangisan mula kedengaran.
Kata Kamal, dirinya kaku melihat keadaan wanita tersebut kerana tidak tahu reaksi yang bersesuaian dalam keadaan tersebut.

Saya tak pasti apa patut saya lakukan kerana saya tidak tahu apa statusnya sekarang sama ada sudah berkahwin atau masih bujang.
“Saya juga hairan sebab dia menangis, sedangkan dia yang berhenti berkomunikasi dengan saya dahulu,” katanya.

Kamal tersentak apabila tangisan tadi tiba-tiba berubah menjadi ketawa kecil seakan-akan Sofia sedang mempermainkannya.
Bosan dengan permainan keanak-anakan, Kamal bertindak mendongak dagu Sofia untuk melihat wajah wanita itu.

Alangkah terkejut Kamal apabila melihat wajah wanita itu penuh dengan darah yang mengalir dari bahagian atas kepala.

Akibat terlalu terkejut, Kamal pengsan dan hanya sedar apabila Hamidin bersama rakan-rakan lain merenjis air ke arahnya.

Kata Kamal, rakan-rakannya semua terkejut apabila dia bercerita tentang pengalamannya bertemu Sofia.
“Saya hairan kenapa muka Hamidin pucat apabila saya menyebut tentang Sofia seakan-akan saya bertemu hantu.

Tapi saya yang terkejut besar apabila diberitahu Sofia telah pun meninggal akibat kemalangan kereta 17 tahun lalu.
“Sehingga hari ini, saya tak pasti perlu berasa sedih atau seram apabila mengingati cinta pertama saya itu,” katanya.
Kisah ini telah disiar di akhbar Kosmo! Ahad • Ilustrasi janaan AI
